Friday, February 13, 2009

biji saga & pokok sena



Lama tak tengok bunga sena dan buah saga.

Tadi masa bertugas di Check Point 13 untuk Acara Larian Desa, kami berteduh di bawah sebatang pokok saga. Buah saga yang berwarna merah bertaburan di atas jalan berdekatan. Dulu-dulu, dekat madrasah tempat kami mengaji Quran ada pokok saga. Balik ngaji Quran kami selalu mengutip biji saga ni. Biji saga kecil (bulat?) keras, berwarna merah. Tak ingat pula lepas tu kami buat apa dengan biji saga ni.

Di seberang jalan (berdekatan Pejabat MPK tempat check point)ada pokok sena yang sedang berbunga berwarna kuning. Pokok sena ialah nama Melayu bagi Angsana (nama saintifiknya : Androcarpus Indicus). Pada suatu ketika dahulu, pokok sena biasa didapati di sepanjang sungai (sungai berfungsi sebagai jalan perhubungan tradisional) sebelum jalan raya diperkenalkan. Kini, ia banyak ditanam di sepanjang jalan raya dan juga kawasan pejabat sebagai pokok teduhan.

Dulu, di tepi jalan raya depan rumah nenek, ada dua batang pokok sena yang besar. Di tengah-tengah antara pokok sena itu terdapat sebuah gertak (titi) merentangi parit kecil bagi menghubungkan jalan raya untuk masuk ke kawasan rumah. (Lihat foto yang diambil pada tahun 1964 - bersama Papa - bersandar di pokok sena, Mama dan adik - Noni yang masih kecil di atas riba Mama).

Kalau musim pokok sena berbunga, bertaburan bunga sena di halaman rumah. Macam permaidani berwarna kuning. Baunya agak harum. Semasa saya darjah dua (1970) saya masih ingat lagi, di bawah pokok sena depan rumah Mama inilah Tok Che' (ayah kepada atuk sebelah Mama) buat bekas untuk isi padi (yang diletakkan dalam baluh / rumah kecil untuk simpan padi) daripada kepingan buluh yang diraut licin. Saya tidak ingat bila pokok sena itu ditebang, tapi rasanya dalam pertengahan tahun 1970-an. Selain itu, pokok sena juga menjadi tanda pengenalan kepada mereka yang pertama kali berkunjung ke rumah kami.

Daripada cerita Moyang /We Tok Mek (emak kepada atuk sebelah Mama - lihat foto, gambar We Tok Mek, 1981), pada zaman dahulu, di belakang rumah We Tok Mek ada sebuah wakaf berdekatan sebatang pokok sena. Pada masa itu jalan raya belum lagi dibina (jalan yang ada dipanggil denai - mungkin sebelum Zaman Jepun). Menurut We Tok Mek, Wakaf itu menjadi tempat persinggahan untuk pejalan kaki atau pengguna kereta lembu (terdiri daripada pengguna biasa, pengembara atau peniaga) sebelum mereka sampai di Sungai Kelantan (lebih kurang 1km dari wakaf itu)untuk ke seberang - Kg Kutan.

Daripada wakaf di bawah pokok sena inilah dulu kampung saya dikenali sebagai Kg Wakaf Sena, Kota - (nama yg biasa digunakan oleh orang-orang lama di kg ni). (Selain itu, kampung ini juga pernah dikenali sebagai Kampung Wakaf Zin. Nak kena selidik macam mana dapat nama itu...) Kini, tempat saya dilahirkan ini dikenali sebagai KAMPUNG KOTA.

Jumpa lagi...

No comments: