Wednesday, March 18, 2009

Dalam Kenangan ... Al-fatihah


Ayahanda Che Abe kembali ke rahmatullah, lebih kurang pada pukul 1.00 tengah hari - Hari Isnin 16 MAC 2009. Banyak kenangan semasa zaman kanak-kanak bersama Che Abe...

Masih ku ingat ... Che Abe ada sebuah basikal tua. Banyak jasa dan kenangan basikal tua ini.

Arwah Che Abe bersama cucu saudara.... Abe & Emi....
Masa darjah 2, kadang-kadang aku pergi ke sekolah membonceng (bergendong) basikal dengan Che Abe dalam perjalanannya ke tempat kerja di Stor MPKB di Kampung Putih, KB. Masa tu dia guna basikal 'tua' yang mempunyai 'carrier' yang besar di belakang. Kadang-kadang aku duduk atas galang di depan, Abe Yie atas 'carrier'. Basikal tu kemudiannya jadi 'kenderaan' untuk punggah padi dari bendang semasa musim menuai untuk disimpan dalam baluh (rumah padi). Ini tugas Papa selepas balik dari pejabat waktu petang.

Dengan basikal tua inilah juga aku mengajar Noni menunggang basikal masa aku dalam darjah 4 dan Noni pula darjah 2. Aku sendiri pun sebenarnya belum pandai menonggang basikal pada masa tu. Noni terseliuh siku/ lengan kerana jatuh semasa cuba-cuba menonggang basikal yang berat ini. Agak teruk juga, tp nasib baik atuk (Che Daud)merupakan tukang urut tersohor semasa hanyatnya. Rahsia ini tersimpan antara aku dan Noni untuk beberapa tahun lamanya...

Masa aku dalam djh 5, Che Abe guna basikal baru, dan aku 'ditumpangkan' setiap pagi untuk pergi ke sekolah. Kalau tidak dengan Che Abe, aku membonceng dengan Pok Nik Dir... Jasa kedua-dua orang Bapa Saudara dan Atuk Saudaraku ini akan kukenang sampai bla-bila. Kini mereka sudah kembali ke rahmatullah. (Semasa Drj 4 aku sekolah petang, tak boleh tumpang, jadi aku berjalan kaki ke sekolah... aku naik teksi/ trishaw hanya semasa darjah 1,2 dan 3).

Kenangan yang lain, aku dan Noni (serta sepupu lelaki) sering 'mengekori' / mengikut Che Abe pada waktu petang terutama masa cuti sekolah, pergi menangguk udang / ikan di tali air... Alangkah indahnya zaman kanak-kanak.

Satu lagi yang istimewa tentang Che Abe, beliau merupakan tukang jahit pro di Kg. Kota pada tahun-tahun 60-an - awal 70-an (mungkin lebih awal daripada itu). Masa tu belum banyak pakaian 'ready made' terutama untuk lelaki (dewasa dan kanak-kanak). Kalau ada pun tentu mahal harganya. Semua orang pergi upah jahit seluar panjang atau pendek (utk kerja / uniform sekolah) dan kemeja serta baju Melayu di rumahnya. Aku masih ingat ada 2 mesin jahit yang digunakan untuk tujuan itu. Biasanya Che Abe melakukan aktiviti menjahit selepas balik kerja / hujung minggu...


Sesungguhnya, beliau merupakan seorang bapa saudara yang peramah, penyayang dan sentiasa senyum... tak pernah tengok dia marah...

Kini, semuanya hanya tinggal kenangan. Daripada-NYA kita datang, kepada-NYA kita akan kembali. Al Fatihah...

No comments: