Sunday, April 26, 2009

BANK KERAPU ?


Tahukah anda bahawa Bank Kerapu merupakan sebuah bangunan bersejarah di negeri Cik Siti Wan Kembang.

Bangunan ini terletak di sebelah hilir Padang Merdeka, Kota Bharu, Kelantan. Pada tahun 1912, bangunan ini siap dibina dan mula digunakan sebagai bank oleh "The Mercatile Bank of India Ltd". Bangunan ini merupakan bank pertama yang dibuka di Kelantan.

Tahukah anda, bangunan ini juga merupakan sebuah binaan bangunan batu yang pertama di Kelantan.

Masyarakat tempatan Kelantan lebih mengenali bangunan ini sebagai bangunan Bank Kerapu kerana sebahagian daripada permukaan bangunaan ini disimen dengan menggunakan batu-bata kecil yang menyebabkan permukaannya tidak rata dan menggerutu. Dalam dialek Kelantan keadaan tidak licin itu disebut 'kerapu'. Daripada itu bank tersebut telah dikenali sebagai Bank Kerapu hinggalah sekarang ini.

Bank Kerapu dibina di atas sebidang tanah yang dimiliki oleh Nik Yusoff bin Nik Abd. Majid yang bergelar Dato' Sri Paduka Raja. Beliau lebih dikenali dengan Pak Nik Soh Pak Nik Ad atau disebut juga Sri Paduka Nik Yusoff atau Nik Sri Paduka. Beliau adalah seorang Pembesar Kelantan yang terkenal sejak zaman pernerintahan Sultan Ahmad (1886-1889) dan zaman Sultan Muhammad 111 (1889-1890). Beliau telah dilantik menjadi Menteri Besar Kelantan dari tahun 1894 hingga 1900.

Tanah tapak bangunan itu telah dibeli oleh syarikat bank "The Mercantile Bank of India Limited" untuk dibina sebuah bangunan bank cawangannya di Kelantan. Bangunan bank itu dibina dan siap serta digunakan pada tahun 1912. Pengurusnya yang pertama ialah Encik Muir iaitu seorang Inggeris.

Semasa Perang Dunia Kedua, pasukan polis rahsia Jepun telah menggunakan bangunan ini sebagai ibu pejabat mereka. Bangunan ini juga dijadikan penjara, tempat siasatan, tempat penderaaan dan lain-lain aktiviti keganasan mereka. Apabila Jepun menyerah kalah dan Inggeris kembali memerintah negeri ini, bangunan ini digunakan semula sebagai bank.

Pada tahun 1977, nama bank tersebut bertukar kepada "The Hong Kong & Shanghai Banking Corporation", dan pada 1981 bangunan ini dijadikan pula sebagai Balai Seni Lukis dan Kraftangan Kelantan. Mulai tahun 1992, bangunan ini digunakan sebagai Memorial Perang Dunia Ke II di Kelantan

Bermula pada tahun 1992, bangunan ini digunakan sebagai Memorial Peringatan Perang Dunia Kedua sebagai mengenang peristiwa pendaratan tentera Jepun di Tanah Melayu yang bermula di Pantai Sabak, Pengkalan Chepa Kelantan pada 8 Disember 1941.

Memorial ini memiliki dan mempamerkan lebih daripada 1,000 bahan pameran yang berkaitan dengan peperangan yang terdiri daripada gambar-gambar, artikel dan artifak. Pameran lain termasuk foto Sultan Ismail Petra sebagai Kolonel Kehormat Rejimen Artileri DiRaja Malaysia, sejarah hubungan Kelantan-Thai sebelum kemerdekaan Tanah Melayu, dan kehidupan rakyat British di Kelantan sebelum dan selepas perang.

Basikal yang pernah digunakan oleh tentera Jepun semasa memasuki bandar Kota Bharu juga dipamerkan di sini.

Mengenali sejarah, memperkasa akar budaya bangsa...

1 comment:

QueAe said...

Salam kak
tumpang tanya,berapa byrn masuk ke bank kerapu ni?
sy merancang satu lwtn ke sini