Monday, April 27, 2009

BANK PITIS


Bank Pitis merupakan sebuah bangunan batu tertua yang terletak di luar pintu masuk ke Istana Balai Besar, Kota Bharu, Kelantan. Bangunan ini telah dibina pada zaman pemerintahan Sultan Muhammaad III (Long Kundur bin Sultan Ahmad 1889- 1890). Tujuan utama bangunan ini adalah untuk menyimpan pitis-pitis (pitis dalam dialek Kelantan bermaksud wang) perbelanjaan negeri Kelantan pada masa itu.

Bangunan ini berbentuk empat segi sama dengan berukuran 12 kaki lebar dan tingginya 12 kaki. Daun pintunya diperbuat daripada kayu cengal dan dipasang dengan tiga penyelak (kunci) yang diperbuat daripada besi.

Pemerintah Kelantan, Sultan Muhammad IV pada tahun 1903 telah menghantar "pohon duit" kepada Raja Siam. Pada masa itu, Kelantan masih merupakan negeri di bawah perlindungan Siam. "Pohon Duit" ini juga dikenali sebagai Pohon Pitis. Berdasarkan dialek Kelantan, "pohon" merujuk kepada "pokok" manakala "Pitis" atau "Pitih" pula merujuk kepada wang. Berdasarkan sejarah, Kelantan menggunakan Pitih sebagai matawang sehingga tahun 1920.

"Pohon Pitis" Kelantan dibuat daripada logam timah yang mengandungi 13 syiling menggunakan teknologi acuan yang diperkenalkan oleh pedagang dari China. Pada bahagian muka syiling tertulis “Thuriba Fi Zul-Hijjah Sanat 1321” bermakna bulan Zul–hijjah 1903 dan dibelakangnya pula tertulis perkataan “Belanjaan Kerajaan Kelantan” untuk mengesahkan bahawa ia adalah mata wang rasmi kerajaan Kelantan.

Sekiranya anda berhasrat ke Bazar Buluh Kubu atau Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu dan meletakkan kenderaan di tempat letak kereta di hadapan Istana Balai Besar, anda akan dapat melihat Bank Pitis ini terlebih dahulu.

Negeriku, negeri warisan budaya zaman-berzaman...

Foto : Bank Pitis

No comments: