Monday, April 20, 2009

EJAAN BARU

Tahun 1972, untuk pertama kalinya saya dan rakan-rakan seangkatan bersekolah di sebelah petang.  Ini merupakan tahun pertama dan terakhir kami di sesi petang sepanjang 6 tahun di SRJK (I) Kota.  

Mulai darjah 4 saya ke sekolah berjalan kaki. Pukul 11.30 saya dah mula bertolak dari rumah. 30 minit perjalanan, sampailah ke sekolah. Kawan-kawan sekampung ramai yang sekolah pagi. Mereka bersekolah di Sekolah Kebangsaan Kota, satu sesi - pagi sahaja. Jadi, saya akan jalan kaki sorang-sorang sehinggalah separuh perjalanan, barulah ada kawan-kawan yang menyertainya, biasanya Zanita dan Wan Hasmah. Begitu jugalah semasa balik dari sekolah. 

Noni yang baru darjah 2, juga sekolah petang, tapi dia naik beca ke sekolah sebab ‘masih kecil' lagi.  Saya yang sudah darjah 4 ketika itu, terpaksa berjalan kaki kerana Pok Mat beca roda tiga tidak terima budak sekolah yang sudah besar....

1972 - perkara penting yang akan saya atau kami ingat sampai bila-bila ialah perubahan Sistem Ejaan bahasa Melayu.


 
Sistem Ejaan Baru telah dirasmikan pada 16 Ogos 1972. Ini bermakna sudah hampir 37 tahun ejaan baru dilaksana dan digunakan. Sistem Ejaan Rumi yang dilaksanakan pada tahun 1972 itu adalah hasil kesepakatan Majlis Bahasa Indonesia-Malaysia, bagi pihak kerajaan Malaysia dan pemerintah Indonesia. Badan yang ditugaskan menyelaraskan ejaan tersebut ialah Jawatankuasa Tetap Bahasa Malaysia yang dilantik oleh Menteri Pelajaran, dan Jawatankuasa ini diletakkan di bawah Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ini bermakna semasa kami di Std 4, merupakan era peralihan dalam mempelajari sistem ejaan - dari sistem lama kepada sistem baru. Rasanya, tidaklah mengambil masa yang lama untuk menguasainya.


Perubahan dan penyusunan semula ini telah dapat membantu pengguna Bahasa Melayu mengeja atau menulis kata-kata dengan ejaan yang betul dan tepat. Apa yang jelas ialah pelaksaanaan sistem ejaan baru itu telah banyak membantu mempertingkatkan lagi martabat bahasa Melayu itu sendiri.

Satu perkara yang menarik dalam sistem ejaan baru bahasa Melayu ini ialah perubahan dari Sistem Ejaan Rumi Za’aba, atau ejaan lama kepada bentuk ejaan baru (1972). Walaupun begitu perubahan sistem ejaan ini tidaklah banyak atau jauh berbeza, kecuali beberapa perubahan dan penyelarasan yang telah dibuat.

Salah satu perubahannya ialah huruf gabungan yang digunakan dalam sistem ejaan Rumi Za’ba, iaitu ch, dh, dz, sh, dan th telah diubah menjadi "c, d, z, sy, dan s".

Contoh: chinchin = cincin / dharab = darab / dzalim = zalim / sharat = syarat / mithal = misal / ranchangan = rancangan
contoh lain : ayer = air



Selain itu, angka 2 untuk kata ganda, tanda (- ) untuk kata sendi telah digugurkan.  Tanda (-) kekal untuk kata ganda.

Tapi yang peliknya, murid-murid sekarang suka sangat guna angka 2 untuk kata ganda ...


"Bahasa Jiwa Bangsa", jumpa lagi .



No comments: