Sunday, April 19, 2009

Tok Guru Quran

Bermula dengan - alif - ba - ta - sehingga khatam, kami bertiga (Aku, Kak Ros dan Noni) mengaji Quran dengan beberapa orang Tok Guru.

Sebelum masuk sekolah rendah sehingga darjah 2, kami mengaji Quran dengan Tok Che’ (moyang lelaki sebelah Mama). Daripada apa yang diceritakan oleh Pok Weil, Tok Che' terkenal sebagai Tok Guru mengaji yang garang. Tetapi, seingat aku, tak pernah pula kami kena rotan. Mungkin, peringkat cicit ni, keadaan agak lain sikit.

Setelah Tok Che’ kembali ke rahmatullah pada tahun 1970, kami mengaji pula dengan Che’ Yusof ( Atok sebelah Mama). Kemudian sambung mengaji dengan isteri Tok Wan Dollah (lupa pula namanya…) sehingga habis muqadam atau ‘surah kecil’. Malam-malam, bertemankan lampu suluh, kami bertiga akan berjalan kaki ke rumah Tok Wan Dollah yang selang beberapa buah rumah daripada rumah kami.

Bila dah naik ‘surah besar’ atau Quran, kami adik-beradik mengaji di Madrasah Tok Nik Wil. Kami mula mengaji di situ mulai tahun 1972. Disebabkan saya bersekolah sebelah petang, jadi saya mengaji Quran pada sebelah pagi. Saya pergi berjalan kaki dengan Noni. Kak Ros masa tu sekolah pagi, jadi dia mengaji sebelah petang. Waktu cuti sekolah, kami akan pergi sama-sama pada sebelah petang.

Setiap kali habis Quran, Mama akan buat pulut kuning. Kami akan bawa pulut tu ke madrasah untuk diberi kepada Tok Guru dan sebahagiannya dibahagi-bahagikan kepada rakan-rakan sepengajian. Rakan-rakan yang lain pun akan berbuat perkara yang sama mengikut kemampuan masing-masing.

Sebelum melangkah ke Form 2, saya khatam Quran sebanyak 3 kali (sambil tunggu Kak Ros dan Noni khatam). Kata Mama, jika dah masuk Form 3, sibuk pula dengan kelas untuk menghadapi pep. LCE, tak ada masa nak pergi ngaji di madrasah. Walaupun 3 kali khatam, tetapi masa tu saya belum betul-betul mahir aspek tajwidnya.

Berbeza dengan sekarang, ada kaedah tertentu untuk mempelajari hukum-hukum tajwid. Kini, kanak-kanak telah diberi pendedahan tentang tajwid seawal sekolah tadika atau setidak-tidaknya semasa di sekolah rendah lagi. Beruntungnya mereka...

Cerita pasal anak-anak yang lebih awal belajar tajwid ni, teringat saya semasa anak-anak di sekolah rendah sekitar tahun 1993 - 1994. Abe dan Emi selalu bertanya tentang hukum-hukum tajwid untuk meningkatkan pemahaman. Mak dan Ayah pula tak berapa mahir. Jadi, untuk memberi penjelasan kepada mereka, hubby telah beli buku tajwid dan letak dalam kereta. Setiap hari dalam perjalanan pulang dari pejabat di Shah Alam ke Ampang, masa kereta ‘berehat’ dalam kesesakan jalan raya, dia akan mentelaah hukum-hukum tajwid itu. Nanti malam, mudah nak terangkan kepada anak-anak apabila mereka bertanya. Sejak itu, kami pun mulalah belajar sedikit demi sedikit...

Terasa diri terlalu kerdil apabila mengingatkan banyak lagi yang perlu digali untuk mengenal dan memahami 'permata' yang amat bernilai ini....

No comments: