Monday, August 3, 2009

Dari KB ke Pantai Valley

Mengimbau kenangan pada tahun 1982...buat tatapan adik-adik dan anak-anakku yang hadir dalam keadaan yang serba selesa...

Walaupun sudah lama berlalu, kenangan ini tetap segar dalam ingatan.

Hampir 30 tahun yang lalu, perhubungan KB - KL terasa jauh sekali. Apatah lagi bagi kami yang hidup serba sederhana ini. Masa tu belum ada lebuh raya seperti hari ini. Untuk ke KL, kita perlu melalui Terengganu dan Pahang ikut jalan lama. Jalan Gua Musang - KL hanya boleh dihubungi mulai tahun 1987, itupun tidaklah seelok hari ini. Perjalanan KB - KL mengambil masa yang lama. Selain menggunakan bas ekspress, kita juga boleh menggunakan perkhidmatan KTM. Boleh naik di stesen Wakaf Baru ataupun di stesen Pasir Mas.

Sebagai seorang remaja yang mempunyai cita-cita untuk ke menara gading, aku teruja sekali untuk sama-sama menghuni kampus biru di Lembah Pantai. Aku menerima surat tawaran selepas tamat minggu orientasi di Batu Rakit. Aku hanya sempat berada di sana selama seminggu....

Aku ke KL bersama Papa. Perjalanan kami bermula pada awal pagi dari KB dengan menaiki kereta sewa menuju ke Kuantan. Kami singgah dan bermalam di rumah Ayah Chik (adik Papa) & Mama Chik di Taman Pauline, Kuantan (dekat Semambu). Masa tu, Ayah Chik bekerja di JPJ Kuantan. Inilah kali pertama aku menjejakkan kaki di bumi Pahang, khususnya Kuantan. Kami dibawa ke Pantai Teluk Chempedak. Alang-alang sudah berada di Kuantan, Ayah Chik ambil kesempatan bawa kami ke rumah salah seorang waris - Left Kolonel Nik Mohd Zaki - di kem Bt. 10. Aku tidak berapa kenal, tetapi Papa mempunyai hubungan yang rapat semasa mereka sama-sama berada di kampung!

Setelah 2 malam di Kuantan, pada pagi Sabtu yang permai, kami pun bertolak ke KL dengan Ayah Chik sekeluarga. Masa tu anak-anak Ayah Chik masih kecil. Adik Wan pun rasanya belum setahun lagi umurnya. (Kini, dengar jauh-jauh dah menjadi Raja Sehari pada 1 Ogos lepas...- Selamat Pengantin Baru Adik Wan) Di KL kami menumpang di rumah saudara Mama Chik di flat Jalan San Peng, KL. Sempatlah kami ke rumah Pakcik Abu (Atuk sepupu sebelah Papa) di Bandar Tun Razak (dulu dikenali sebagai Kg. Congo).

Keesokannya, pagi-pagi lagi kami bertiga (aku, Papa & Ayah Chik) bertolak ke Lembah Pantai untuk urusan pendaftaran masuk bagi penuntut baru. Semua urusan selesai menjelang tengah hari. Papa meninggalkan aku di asrama dengan hati yang berat. Inilah kali pertama Papa akan berpisah dengan anak perempuannya, jauh di rantau orang - tiada sanak saudara yang rapat. Nampak kesayuan di mata Papa. (Pada masa ni kalau nak berhubung hanyalah melalui surat). Selepas bersalaman dengan Papa & Ayah Chik, merekapun terus berlalu untuk balik ke Kuantan. Aku naik ke bilik setelah kereta Ayah Chik hilang dari pandangan mataku.

Tinggallah aku di Kolej Kedua (kini dikenali sebagai Kolej Tuanku Bahiyah), UM untuk meneruskan cita-citaku ...

Jasa Ayah Chik dan Mama Chik akan tetap dikenang sehingga akhir hayat. Hanya Allah s.w.t sahaja yang dapat membalasnya. Terima kasih.

Foto : Di Taman Pauline, Kuantan bersama Adik Wan (1982)

1 comment:

Shamzulazzwan Zakaria said...

salam, kak la.. saye la 'adik wan' tu.. hehe.. lame dh tak jumpe kak la.. kalo ada masa lapang, dtg la ker trg 8 ogos ni (majlis sambut menantu).. kehadiran kak la sekeluarga amat di alu-alukan..