Monday, September 28, 2009

Perkahwinan : Satu Tanggungjawab


Cuti raya banyak sangat kenduri kahwin atau majlis pertunangan dilangsungkan dalam kalangan keluargaku. Walau bagaimanapun, aku tidak berkesempatan untuk hadir kerana terpaksa memendekkan cuti hari raya….

Bercerita tentang majlis pertunangan hari ni, sesetengah keluarga beriya-iya sangat membuat persiapan. Banyaknya belanja yang telah dikeluarkan untuk majlis itu. Itu baru bertunang, belum lagi kenduri.

Dalam bab belanja pula, kadang-kadang memeranjatkan juga. Sejumlah wang hantaran yang agak besar nilainya disebut oleh bapa si gadis dan kadang-kadang ia tak sepadan dengan pekerjaan bakal pengantin lelaki. Tapi biasanya kedua2 pihak setuju dengan jumlah itu. Kononnya jaga 'prestij'. Lepas kahwin, mulalah pening kepala… hakikatnya di sinilah bermulanya tanggunggjawab yang sebenarnya….!

Mengimbau kembali majlis ‘merisik @ pertunangan’ kami dulu (sebenarnya tak bertunangpun…), semuanya ringkas. Suami datang bersama ibu, kakak, dan ibu saudara. Papa juga simple orangnya. Suatu yang mungkin amat suami bimbang ialah jika Papa akan minta wang hantaran yang besar jumlahnya. Tapi tidak rupanya.

Papa tidak menyebut pun tentang wang hantaran. (Semua adik-beradik yang lainpun sama, Papa tak sebut juga…). Perbincangan hanya tentang berapa lama dan bila majlis akan berlangsung. Saya juga tak tahu berapa suami akan bagi sebagai wang hantaran.

Semasa majlis ‘berunding’ dijalankan aku berada nun jauh di Lembah Pantai… Semuanya Papa & Mama serta keluarga sebelah suami uruskan, termasuk tarikh perkahwinan kami. Aku tak ambil kisah langsung… akhirnya aku dapat tahu tarikh perkahwinan ditetapkan pada 19-09-1985 – sama dengan tarikh lahirku yang ke-23 tahun!

Aku juga tak ingat berapa dulang aku beri kepada suami dan berapa suami beri kepadaku. (yang pasti tidak kurang daripada 9 dulang). Semua tu tak penting bagi kami. Kami masing2 tidak tahu pun apa barang hantaran yang kami akan dapat. Kami tidak berbincang apa-apa yang kami nak beri sebagai hadiah. Kebiasaannya bagi bakal pengantin, mereka akan keluar bersama untuk mencari barang2 hantaran. Kami tidak begitu. Terpulang kepada kami berdua apa nak diberi sebagai barang hantaran.

Wang hantaran semuanya kuserah kepada Mama & Papa untuk majlis kenduri. Aku akur dengan kesederhanaan hidup keluarga kami pada masa itu. Tambahan pula, pada masa itu tanggungan Papa masih banyak. Adik-adik ada yang masih kecil. Aku sendiripun masih belum habis belajar, sedang buat diploma pendidikan… (Niat asal memang nak kerja dulu, baru kahwin. Tapi apa nak buat… jodoh sampai awal…)

Pada asalnya, aku tidak mahu bersanding, tetapi Kak Long (kakak sulung suami) hendak sangat adik lelakinya ni bersanding memandangkan abang & adik lelakinya yang lain semua bersanding di atas pelamin yang dihias indah. Untuk tidak menghampakan hajat Kak Long, aku bersetuju untuk bersanding tanpa pelamin. Hanya ‘bersanding’ di bilik pengantin…. bergambar kenangan.

Bagi pihak keluargaku, majlis perkahwinanku inilah yang paling simple., walaupun ia merupakan majlis yang pertama bagi Papa & Mama. Aku tidak mahu berlebih2an sehingga berlaku pembaziran, ada yang lebih utama lagi yang perlu didahulukan.... Untuk majlis perkahwinanku, tidak ramai tetamu yang diundang, tetapi rombongan daripada pihak suami memang ramai betul….

Kata Papa & Mama, "kita mesti utamakan tetamu & rombongan pengantin yang hadir, biarlah belanja lebih untuk jamuan; biarlah mereka dijamu dengan hidangan yang istimewa. Kata Mama lagi, biar tetamu yang hadir balik ke rumah dengan hati yang puas dan akan ingat sampai bila-bila….".

Apa yang penting dalam perkahwinan ialah bagaimana suami isteri itu akan melayari bahtera kehidupan berkeluarga. Ia bukan tanggungjawab satu pihak sahaja. Kedua2nya ada peranan masing2. Anak2 adalah buah dari cinta dan kasih sayang sepasang suami isteri yang datang bersama amanah yang terpikul di bahu.

Sedar tak sedar, kini sudah genap 24 tahun kami hidup bersama, meredah pahit manis kehidup an berkeluarga.…

Ya Allah, berkatilah kehidupan kami. Tunjukkan kami jalan yang lurus dan jalan yang KAU redhai. Amin.