Saturday, March 26, 2011

Mesyuarat Agung PIBG & Kenangan



Setiap tahun antara bulan Mac - April, atau selewat-lewatnya Mei, semua sekolah akan sibuk membuat persiapan untuk Mesyuarat Agung PIBG termasuklah di SMKTP. Mesyuarat agung PIBG SMKTP akan diadakan esok, Ahad 27 Mac 2011... (AGM PIBG tahun lepas juga diadakan pada 27 MAC, jatuh pada hari Sabtu)

Esok, semua guru dikehendaki berbaju batik dan perlu berada di sekolah seawal pukul 8.00 pagi. Mesyuarat yang dijangka tamat pada pukul 10.30 pagi itu akan diikuti dengan majlis pelaporan kemajuan akademik murid / majlis bertemu pelanggan (ibu bapa) sebaik sahaja selesai majlis jamuan ringan. Semua guru tingkatan akan berada di kelas-kelas yang telah ditetapkan. Majlis tersebut dijangka berakhir pada pukul 1.00 tengah hari. Harap-harap kehadiran ibu bapa untuk majlis esok lebih baik berbanding tahun-tahun sebelum ini...

Menyentuh tentang PIBG, sebenarnya sambutan terhadap kegiatan PIBG adalah berbeza-beza antara sekolah. Terdapat PIBG yang aktif dan ada yang kurang aktif. Di SMKTP,PIBG memainkan peranan yang penting dan dominan di samping Lembaga Jemaah Pengelola Sekolah yang banyak memberikan sumbangan serta menjadi tunjang terhadap kemajuan SMKTP. Pengetua SMKTP sentiasa akan melibatkan PIBG dalam usaha-usaha mencapai hasrat sekolah.

Kita semua sedia maklum bahawa, adalah penting bagi PIBG mempunyai pasukan ahli jawatankuasa yang bersedia dan berminat untuk menjayakan program-program sekolah. Kepimpinan PIBG yang berinovasi dapat merancang pelbagai strategi untuk menentukan kejayaan sekolah.

Sesungguhnya, persekitaran sosial hari ini mencabar guru dan institusi pendidikan dalam melahirkan insan yang bukan sahaja seimbang keperibadiannya tetapi juga menjadi teras dan aset kepada negara.

Murid dididik supaya berpakaian sopan dan baik tingkah laku, tetapi keperibadian pelakon yang dipaparkan melalui media masa, khususnya media elektronik, berpakaian tidak senonoh dan menjolok mata, ini tidak termasuk lagi adegan ganas, tahyul dan seks. Sesetengah perlakuan pelakon dan penghibur idola sama ada dalam atau luar negara menjadi ikutan murid-murid.

Oleh itu,sokongan moral dan kerjasama daripada ibu bapa melalui PIBG dapat memainkan peranan untuk membangunkan generasi yang lebih gagah dan berdaya tahan. PIBG memerlukan kehadiran pemimpin dan pengikut berwibawa serentak. Dengan adanya pemimpin dan pengikut sedemikian, pelbagai perancangan dan tindakan yang dilaksanakan boleh mencapai kejayaan yang diinginkan.

... terkenang majlis seumpama ini sewaktu berkhidmat di Felda Jengka hampir 8 tahun yang lalu. Pada hari tersebut, semua guru memakai baju batik sekolah. Kehadiran ibu bapa sangat memberangsangkan. Melimpah dewan besar SMKJ2.

Antara strategi untuk menarik ibu bapa yang rata-ratanya terdiri daripada peneroka di J2, J3, Ulu Jempol, Sg Jerik dan sekitarnya, cabutan bertuah diadakan berselang-seli dengan majlis penyampaian hadiah. Atas inisiatif PIBG dan Pengetua pada waktu itu Pn. Hjh Maimunah Bt. Hj Taib - (kini Ketua Sektor Penilaian & Peperiksaan JPNP), banyak hamper disediakan (sumbang daripada PIBG dan beberapa pihak tertentu). Walaupun nilainya tidak seberapa, tetapi ibu bapa sanggup menunggu sehingga majlis berakhir dengan harapan mendapat hadiah cabutan bertuah. Mereka berasa sangat seronok dan berpuas hati, terasa diri dihargai oleh pihak sekolah.

Begitulah masyarakat 'kampung', ... berbeza dengan masyarakat di bandar. Selain itu, ibu bapa/ penjaga dibekalkan dengan bungkusan makanan & air kotak semasa mereka mendaftar diri di meja pendaftaran.


Memang, suasana amat berbeza antara di bandar berbanding dengan di kawasan perkampungan felda, khususnya di Felda J2. ... Lain padang lain belalangnya….


No comments: