Sunday, May 9, 2010

PERSADA KEGEMILANGAN BAHASA MELAYU....


Berapa ramaikah antara kita yang tahu bahawa bahasa Melayu merupakan satu bahasa yang penting di rantau Kepulauan Melayu pada suatu ketika dahulu? Bahasa Melayu bukan sahaja dipertuturkan oleh jutaan penduduk di rantau ini, malah ia juga pernah melalui sejarah hidup yang panjang sejak kehadirannya puluhan abad yang lalu.

Jika dibaca penulisan oleh para pengkaji tempatan mahupun pengkaji luar, asal-usul dan perkembangan bahasa Melayu sememangnya menawarkan satu tajuk kajian dan perbincangan yang amat menarik. Hal ini demikian kerana kajian ini berkait rapat bukan sahaja dengan asal-usul bangsa Melayu, tetapi juga sejarah asal usul dan perkembangan tamadun manusia di dunia ini. Bahasa sebagai alat perhubungan dan komunikasi utama antara manusia amat berkait rapat dengan sejarah dan ketamadunan manusia itu sendiri.


Sejak abad ke-2M lagi, bahasa Melayu purba dikatakan telah pun wujud di Champa, Vietnam. Pada abad ke-4M, beberapa prasasti atau batu bersurat dalam bahasa Melayu kuno ditemui di Dong Yen Chau, Teluk Tourane, Vietnam serta beberapa prasasti lagi yang ditemui pada abad ke-7M di Sumatera, Jawa, Seberang Perai, Kedah, selatan Thailand, Filipina, Vietnam dan Kalimantan.
Penemuan prasasti bertarikh 1303M di Kuala Berang, Terengganu yang bentuk tulisan Melayu-jawi serta kata-kata pinjaman bahasa Arab membawa tahap baru dalam sejarah perkembangan bahasa Melayu. Ini disusuli penemuan prasasti di antara abad 14-18M di Pengkalan Kempas, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Kelantan, Kedah, Sumatera, Brunei dan Kalimantan serta manuskrip pada kulit-kulit kambing, gading, kulit kayu, kain dan juga kertas.

Bermula awal abad ke-19, orang-orang barat datang membawa bersama pengaruh bahasa luar dan teknologi moden seperti mesin pencetak dan kapal api. Penerbitan pusat buku, akhbar dan majalah berbahasa Melayu dengan tulisan jawi dan rumi di Semenanjung Tanah Melayu, Indonesia dan Singapura, menyumbang kepada bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu. Banyak sekolah Melayu dibuka. Pembelajaran semakin meluas dalam kalangan penduduk, tidak terhad pada lingkungan istana sahaja. Bahasa Melayu mula mencapai tahap bahasa moden dengan perbendaharaan kata, istilah dan gaya penulisan yang baru. Bahasa Melayu dikatakan bertapak dengan kukuh pada abad ini.

Dengan melihat kepada sejarah hidupnya yang panjang bermula sejak abad ke-2M dan masih wujud sehingga ke hari ini, mustahil bahasa Melayu tidak pernah menjadi bahasa yang penting atau mengecapi kegemilangan dan keagungannya yang tersendiri.

Menurut L.C.Damais dalam bukunya, Etudes Javanaises, bahasa Melayu sejak dari abad ke-8 telah menjadi bahasa yang digunakan di seluruh rantau kepulauan Melayu. Bahasa Melayu menjadi bahasa perhubungan di antara penduduk tempatan dengan bangsa asing. Malah orang-orang Cina ketika berdagang dengan orang Jawa, menggunakan bahasa Melayu bukannya bahasa Jawa.


W.Linehan dalam rencananya, The Earliest Word-list and Dictionaries of Malay Language, sebelum kedatangan Portugis pada awal abad ke-16, telah ada sebuah kamus atau kumpulan perkataan Melayu-Cina yang ditulis dengan huruf kanji. Daftar Kata Figafetta Itali-Melayu, sebuah kamus yang terkenal ditulis pada tahun 1521 ketika Figafetta mengikuti pelayaran Ferdinand Magellan mengelilingi dunia. Dengan bantuan seorang anak kapal berbangsa Melayu, Figafetta yang singgah di Pulau Maluku, telah menyenaraikan 426 perkataan dalam bahasa Melayu dengan terjemahan dalam bahasa Itali dan Inggeris.


Sebuah lagi kamus Melayu yang terkenal di Eropah iaitu Spraeck de Woordboek in de Maleysche en de Madagascar Talen ditulis oleh Cornellius de Houtman, seorang Belanda di antara tahun 1595-1602. Buku ini dicetak berulang kali. Penerbitan 12 buah lagi kamus Melayu oleh bangsa asing dalam tahun-tahun 1603 hingga 1708 telah menunjukkan kepada kita betapa giatnya orang-orang Eropah mempelajari bahasa Melayu.


Kedudukan utama bahasa Melayu ini disokong oleh penulisan-penulisan oleh pegawai, pendita dan ahli sejarah Eropah lain seperti Jan Huyghen van Linschoten dan Francois Valentijn. Memetik catatan Valentijn yang pernah melawat Melaka pada awal abad ke-18:


"Bahasa mereka, bahasa Melayu, bukan sahaja dituturkan di daerah pinggir laut tetapi juga digunakan di seluruh Kepulauan Melayu dan di negeri-negeri sebelah Timur, sebagai suatu bahasa yang difahami di mana sahaja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau Latin di Eropah atau sebagai bahasa lingua-franca di Itali dan di Levant. Sungguh luas tersebarnya bahasa Melayu itu sehingga kalau kita tidak memahaminya, tidaklah mungkin kita kehilangan jejak, kerana bahasa itu bukan sahaja dimengerti di Parsi bahkan lebih jauh daripada itu, dan di sebelah timurnya sehingga ke Kepulauan Filipina. Jika sekiranya awak tidak mengetahui bahasa ini, awak dianggap sebagai seorang yang tidak terpelajar di Timur..."

Dari sini kita dapat melihat kedudukan penting bahasa Melayu seawal abad 16 hingga 18 di mana bahasa Melayu telah menjadi bahasa lingua-franca atau bahasa perantaraan, bahasa perhubungan dan bahasa perdagangan di seluruh rantau Kepulauan Melayu.

"Cintailah Bahasa Kebangsaan Kita...."

No comments: