Wednesday, June 30, 2010

Sejarah Kuantan (5) : Kemudahan Pendidikan


Perkembangan sistem pendidikan di Kuantan pada peringkat awal (zaman sebelum perang) tidaklah semaju di daerah Bentong dan Kuala Lipis. Hal ini demikian kerana kesulitan sistem perhubungan telah mempengaruhi kemudahan pendidikan, di samping pembangunan ekonomi yang kurang, taburan penduduk tidak sekata dan komposisi etnik.

Pada akhir kurun ke-19 dan awal kurun ke-20 wujud syarikat-syarikat Eropah yang mengusahakan ladang getah, perlombongan dan sebagainya. Oleh itu, orang-orang Cina telah menduduki kawasan bijih timah di Sungai Lembing dan Gambang. Di sinilah antara sekolah yang terawal dibina terutama sekolah Cina.

Sekolah Melayu yang awal pula dibina di bandar Kuantan iaitu kira-kira penghujung tahun 1890-an. Tarikh yang diketahui berkenaan sekolah ini ialah 1904 / 1905 apabila sekolah tersebut dipindahkan ke tapak asalnya di sudut tapak pasar lama yang berhampiran dengan Jalan Lebai Ali ke tapak barunya di Padang Lalang. Ketika itu sekolah ini bernama Sekolah Melayu Padang Lalang.

Selepas 1903 hinggalah pendudukan Jepun, 8 buah lagi sekolah didirikan. Dalam tahun 1930 murid-murid lelaki di Sekolah Padang Lalang dipindahkan ke Sekolah Melayu Laki-laki Teruntum, Jalan Gambut dan Sekolah Padang Lalang menjadi sekolah Melayu Perempuan (Tahun 1948 sekolah ini mendapat bangunan barunya di Sekolah Perempuan Galing). Antara tahun-tahun 1945 – 1947, Sekolah Kebangsaan yang didirikan ialah SK Galing (1948), SK Jabor (1950), SK Sungai Ular (1951) dan SK Cherating (1952).

Di bawah kerajaan Inggeris hanya sebuah sekolah Inggeris dibina dalam tahun 1920. Muridnya hanya 10 orang dengan menggunakan Gudang Padi Kerajaan di Jalan Wall. Hanya dalam tahun 1924 dipindahkan ke Jalan Wong Ah Jang dan dinamakan Sekolah Sultan Abdullah. Lain-lain sekolah Inggeris yang awal dibuka oleh mubaligh Kristian ialah Sekolah Perempuan Methodist (1938), Sekolah St. Thomas (1950) dan Sekolah Rendah Asunta Convent (1956).

Asas sekolah Rendah Asunta ini bermula dari kelas tadika yang diajar secara terbuka di sebuah rumah kepunyaan Fr Gullitat yang dibina atas tanah kepunyaan taukey Chan Loon yang terletak di Jalan Gambut Kuantan. Pengendaliannya di bawah kumpulan mubaligh Kristian Franciscan Sister' of Mary. Tarikh penubuhan tadika ini ialah pada 3 Oktober 1955 dengan jumlah murid seramai 23 orang yang diajar oleh dua orang guru yang dibawa khas dari Singapura.

Selepas itu, kerajaan memutuskan untuk menukar pusat pentabdiran negeri dari Kuala Lipis ke Kuantan. Hasil daripada penukaran tersebut kerajaan telah memutuskan untuk mendirikan sekolah terkemuka di Kuantan yang dapat menyediakan pelajaran menengah Inggeris yang menekankan semua kemudahan termasuk asrama bagi murid-murid luar bandar.

Wujudlah Sekolah Menengah Sultan Abu Bakar (SABS) yang dibuka pada tahun 1957 yang menjadi salah sebuah sekolah terkemuka di Pahang dan kemudiannya dapat mengatasi Sekolah Menengah Clifford di Kuala Lipis. Dalam tahun 1963, Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART) pula telah dibuka di samping Sekolah Menengah Alor Akar, Sekolah Menengah Sungai Lembing dan Sekolah Menengah Ubai yang masing-masing dibina pada tahun 1965.

Pendidikan di Kuantan terus berkembang dan menjadi bertambah penting selaras dengan Dasar Pelajaran Kebangsaan yang menekankan sekolah aliran sains, teknik dan vokasional. Muncullah sekolah-sekolah vokasional, Sekolah Menengah Teknik dan Maktab Perguruan. Kepesatan yang sedemikian rupa bermakna Kerajaan terpaksa menyediakan pelbagai prasarana bagi menampung keperluannya yang berkaitan dengan pelajaran, pertambahan bilangan murid dan kakitangannya.

PENUTUP

Semenjak dari pembukaannya yang bermula pada tahun 1950 hinggalah ke tahun 1970, Kuantan terus membangun walaupun pada peringkal awal perkembangannya agak perlahan. Seperti juga di tempat-tempat lain, Kuantan mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Bertolak daripada hanya sebuah penempatan kecil sehinggalah menjadi tempat tumpuan pedagang-pedangang dan akhirnya menjadi ibu negeri, kadar pembangunannya adalah berbeza-beza. Kepesatannya jelas selepas Kuantan dijadikan ibu negeri, yang mana struktur pembangunannya yang lebih sistematik telah menjadikan Kuantan sebuah bandar yang moden. Sekarang, Kuantan terkenal bukan sahaja sebagai bandar utama di negeri Pahang tetapi juga sebagai pusat pelancongan dan pintu masuk ke pantai timur.

Foto : Sekolah Perempuan Methodist (1940)...

1 comment:

PDA said...

Terima kasih membaca tulisan sejarah pembukaan Kuantan ini yang saya tulis pada Tahun 1987 semasa saya berkhidmat di MPK dahulu. Semuga ianya memberikan banyak manfaat kepada generasi Kuantan. Banyak gambar2 lama yang saya kumpulkan dari pelbagai sumber yang tanpa usaha ini mungkin sudah tiada kini