Saturday, July 3, 2010

Kadir Adabi (3) : tulisan-tulisannya....


sambungan...

Sangat jelas betapa gigihnya Abdul Kadir. Dalam tempoh hampir suku abad mulai 1921, beliau tidak henti-henti bekerja dengan caranya tersendiri; menerbitkan majalah, mengarang novel, aktif dalam gerakan belia dan budaya, dan kemudiannya politik.

Tulisan-tulisan Abdul Kadir menyentuh pelbagai tema dan mengenai berbagai-bagai isu. Tetapi tumpuan utamanya ialah kritik masyarakat dan buah fikiran ke arah memartabatkan bangsa Melayu.

Beliau juga banyak menulis mengenai pendidikan dan usaha-usaha yang patut diambil bagi meningkatkan kesedaran bangsa Melayu. Apabila Maktab Perguruan Sultan Idris dibuka di Tanjung Malim, Perak pada tahun 1922, beliau telah menulis sebuah rencana di dalam majalah ‘Pengasuh’ bertajuk “Bolehkah diadakan sebuah kolej di Kelantan?”.

Tulisan ini telah menerima pelbagai pandangan dan reaksi daripada masyarakat pembaca. Kemuncaknya, pada 20hb Mac 1923, beliau telah menulis surat kepada DYMM al-Sultan Kelantan memohon kiranya al-Sultan dapat mengusahakan penubuhan bukan hanya sebuah kolej, akan tetapi sebuah universiti di Kelantan. Setakat yang dapat dikesan, inilah cadangan pertama mengenai penubuhan sebuah universiti di Tanah Melayu pernah dikemukakan.

Sehingga ke akhir hayatnya, Abdul Kadir telah menghasilkan tidak kurang daripada 110 buah rencana, 3 buah novel asli dan sebuah novel saduran bertajuk “Persemburan Darah di Bawah Lipatan Takdir”. 3 buah novel aslinya, iaitu ‘Acuman Mahkota”, Sebelas Rejab” dan “Melati Kota Bharu” memperlihatkan keupayaan beliau menanggapi suasana dan kehidupan masyarakat Melayu Kelantan sebelum Perang Dunia Kedua.

Selain gambaran tentang politik, novel-novel beliau juga menyorot kebangkitan semangat nasionalisme Melayu yang amat ketara, tetapi dilukis dalam pembinaan imej-imej alam secara simbolik. 3 buah novel ini telah mengangkat nama Abdul Kadir Adabi sebagai seorang novelis yang amat tajam, setanding dengan Ishak Haji Muhammad dan Harun Aminurrashid pada tahun-tahun sebelum Perang Dunia Kedua.

Tidak syak lagi bahawa Abdul Kadir Adabi merupakan nama besar yang pernah dilahirkan di bumi Cik Siti Wan Kembang Tanah Serendah Sekebun Bunga.

Dengan mengenangkan semua peranan yang pernah dimainkan serta buah fikiran yang pernah dikemukakannya demi kebangkitan dan kemajuan bangsa Melayu, pada akhir tahun 1969, sekumpulan siswazah Kelantan berasa terpanggil untuk menubuhkan sebuah kolej atau maktab swasta di Kota Bharu atas namanya – MAKTAB KADIR ADABI.

Manakala, pada awal tahun 2001 pula, kerajaan Negeri Kelantan, atas saranan Yang Amat Berusaha Tuan Haji A.Aziz Deraman (sekarang Dato’) Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka ketika itu, dalam ucapannya pada majlis perasmian Bangunan DBP Wilayah Timur pada 9 September 2000, bersetuju menamakan sebatang jalan yang bermula dari persimpangan Jalan Dusun Muda hingga ke persimpangan Jalan Long Yunus dengan nama “Jalan Abdul Kadir Adabi" (dahulunya, sambungan Jalan Hospital).

Jasa A.Kadir Adabi terus tersemat dalam ingatan, lebih-lebih lagi dalam kalangan 'ore-ore Klate....'

Rujukan : Ikhtisar SEJARAH KELANTAN, Pustaka Aman Pres, KB - 2005

No comments: