Thursday, September 23, 2010

Memadaikah sekadar gaya...?

Menurut Kamus Dewan, antara maksud 'gaya' ialah kombinasi kesajakan, keanggunan dan keterampilan yang menarik perhatian.

Lazimnya, 'gaya' lebih merujuk kepada penampilan fizikal seperti fesyen, pakaian atau perhiasan. Bagaimana pula Islam melihat penampilan fizikal? Ya, tiada salahnya bergaya, asalkan kena dengan syarak. Islam sendiri merupakan agama yang indah yang menuntut umatnya tampil dengan keindahan dan memanfaatkan segala nikmat yang telah dikurniakan kepada mereka.

Dalam hal ini Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
" Sesungguhnya Allah cantik dan suka kecantikan." (Riwayat Muslim)

Islam tidak menolak fesyen kerana itu merupakan sebahagian daripada keindahan dan kecantikan, dengan syarat, haruslah tidak lari daripada ciri-ciri pakaian Muslim dan Muslimah. Antara ciri pakaian Muslimah termasuklah :

1. Menutup tubuh @ aurat seperti yang diperintahkan syarak.

2. Pakaian yang longgar dan tidak jarang kerana pakaian seumpama ini boleh menimbulkan fitnah dan menarik perhatian lelaki.

3. Bukan pakaian untuk menunjuk-nunjukkan kemegahan. Umpamanya kita memakai pakaian untuk menunjukkan kita orang kaya dan orang yang berkuasa.

4. Tidak keterlaluan berwangi-wangian. Bukanlah bermakna kita tidak boleh langsung memakai haruman sehingga tubuh berbau peluh dan menimbulkan rasa tidak selesa kepada orang sekeliling. Namun yang utama, berpada-pada agar wangian di tubuh tidak menimbulkan perasaan berahi kepada lelaki bukan mahram.

5. Pakaian yang dikenakan bukan bertujuan berhias-hiasan, sebaliknya pakaian itu dikenakan sebagai syarat untuk menutup aurat. Jika kita berpakaian untuk perhiasan, tentulah kita akan mengenakan secara berlebih-lebihan, sebaliknya jika niat kita adalah untuk menutup aurat, secara tidak langsung kita akan sedar bahawa kita tidak harus bergaya berlebih-lebihan.

6. Tidak menyebabkan pembaziran. Umpama mengenakan perhiasan yang tidak perlu, membeli pakaian yang amat mahal sedangkan pakaian yang sederhana sudah memadai.

Bagi wanita, perhiasan seperti gelang, cincin atau subang tidak ditegah kerana perhiasan seumpama itu sememangnya digemari manusia. Apatah lagi emas dan sutera sememangnya diciptakan Allah untuk perhiasan wanita. Malah, wanita juga dibenarkan berhias dan berwangi-wangian di hadapan suami dan keluarga supaya menimbulkan rasa kasih sayang dan hormat.


Antara ciri pakaian lelaki muslim pula ialah :
1. menutup seluruh tubuh antara bahagian pusat dan lutut
2. longgar dan tidak menampakkan apa-apa yang perlu ditutup
3. fabrik yang tebal sehingga tidak menampakkan kulit dan anggota yang tidak sepatutnya
4. tidak menyerupai pakaian wanita
5. tidak berpakaian yang boleh menyebabkan dia disangka orang kafir
6. berpakaian bukan bertujuan untuk mencari kemegahan
7. tidak mengenakan pakaian atau perhiasan emas atau sutera


Pakaian dan solekan yang sesuai tentu sahaja akan memberikan gaya yang kemas dan menarik kepada kita, sekali gus boleh meningkatkan daya pengaruh kepada kita. Namun begitu, gaya semata-mata belum memadai untuk menjadikan kita sebagai individu berpengaruh. Penampilan semata-mata tidak selama-lamanya akan menjadi pakej sempurna, sebaliknya harus dilengkapkan pakej itu dengan akhlak, pendidikan, personaliti, dan keperibadian. Ketika itu barulah kita bangga menyatakan bahawa kita ada gaya dan kita juga ada pengaruh!


...mengingatkan diri sendiri... sama-samalah kita muhasabah diri....

Dipetik dan diubahsuaikan daripada : Rahsia Rohani, NONA Julai 2010...




1 comment:

Kak Kiah said...

assalamualaikum

pakaian:
menutup aurat?
membalut aurat?
pakaian wanita beriman?
pakaian wanita bertaqwa?

semuanya berbeza....jadi persoalannya, apakah bentuk pakaian kita. Siapakah kita