Thursday, September 30, 2010

Majlis Solat Hajat di SMKTP

Saya baru sahaja balik dari program Solat Hajat dan Bacaan Yaasin yang diadakan di Dewan Terbuka sekolah, anjuran Panitia Pendidikan Islam. Hadirin mula berkumpul seawal 6.30 petang.

Selepas azan Maghrib berkumandang, para hadirin terus mendirikan solat Maghrib dan diikuti oleh Solat Hajat. Seterusnya, bacaan surah Yaasin dilakukan beramai-ramai sebelum tazkirah disampaikan sementara menunggu solat Isyak. Selepas solat Isyak, Tuan Pengetua yang ENCIK MOY WAH GOON telah mengambil kesempatan untuk memberi kata semangat kepada murid-murid yang bakal menduduki peperiksaan PMR minggu hadapan & SPM tidak lama lagi. Sebelum bersurai, para hadirin dijemput menjamu selera....

Kehadiran ibu bapa, murid dan guru-guru tadi bolehlah dikatakan sangat menggalakkan. Terima kasih kepada mereka yang telah hadir. Sesungguhnya program tahunan ini bertujuan untuk mendedahkan kepada murid tentang kepentingan sikap mengharap dan bertawakkal kepada Allah s.w.t setelah segala usaha dilakukan selama ini. Aktiviti ini juga boleh dijadikan sebagai medan untuk menanam dan membina budaya hidup dan kecintaan Islam dalam diri murid-murid.

Kesempatan mengumpulkan murid-murid serta ibu bapa mereka memberi peluang kepada penceramah dalam sesi tazkirah untuk memberi tips dan perkara-perkara yang patut diberi perhatian serta dipraktikkan oleh ibu bapa dan anak-anak menjelang peperiksaan PMR dan SPM 2010 nanti.

Semoga kejayaan akan mengiringi anak-anak didik kita hendaknya. Insya Allah.



1 comment:

teratai said...

solat hajat tahun ni, saya tak dapat hadir sebab menjaga ayah yang terlantar di hospital.