Saturday, November 13, 2010

Ikan Budu....




Musim-musim hujan begini, teringat akan ikan budu. Bukannya ikan + budu @ ikan cicah budu ... tetapi ikan yang dijeruk @ diperap dengan garam kasar dan disimpan dalam tempoh tertentu sehingga sebati dengan isi ikan. Tidak ada kena mengena dengan budu sebenarnya..! Tetapi mungkin disebabkan proses membuatnya itu hampir sama dengan cara membuat budu, jadi dapatlah gelaran ikan budu. Ada yang dibuat daripada ikan kembung dan ada juga daripada ikan aya @ tongkol. Ikan ini dijeruk @ diperap lama sebelum musim tengkujuh tiba. Ikan ini hanya dijual pada musim tengkujuh atau musim bah di Kelantan. Selain musim bah, memang tak ada ikan budu ini....

Kesempatan balik KB sempena cuti Deepavali yang lepas, saya ke Pasar Siti Khadijah untuk 'mencari' ikan budu. Terdapat beberapa gerai yang menjual ikan budu. Kami bukannya mahir untuk memilih ikan budu yang elok isinya. Yang elok, biasanya isi ikan 'gebu' setelah digoreng; isinya tidak keras..... Kami singgah di sebuah gerai. Ada satu besen ikan budu. Menurut adik yang menjual ikan budu tu, ada yg dari Thailand dan ada yang tempatan. Saya memilih ikan budu tempatan... ikan aya @ ikan tongkol. Pada pengamatan kami, nampak elok...

Satu 'bunga', satu riyal kata adik yang menjual ikan budu tu.... Saya memilih 6 ekor ikan budu @ ikan aya jeruk... buat dua bungkus... setiap satu bungkus 3 ekor. 1 bungkus saya bawa balik ke Kuantan, dan satu bungkus lagi saya berikan kepada Mama. 6 ekor tu setelah ditimbang, beratnya 8 'bunga' lebih. Jadi, adik yang menjual itu kata, dia genapkan menjadi 8 ringgit untuk 6 ekor ikan aya yang telah dijeruk menjadi ikan budu.

3 ekor ikan budu yang dibawa balik ke Kuantan. Satu ekor sekali goreng. Ikan budu digoreng dengan telur = telur dadar ikan budu. Sudah dua ekor ikan budu menjadi 'mangsa'... tinggal seekor sahaja lagi yang menanti giliran...

Resepi ikan budu goreng ini lebih kurang seperti berikut :

Bahan-bahannya :
- telur ayam (3 atau 4 biji)
- seekor atau sebelah ikan budu
- bawang merah (dihiris /mayang)
- cili (dihiris)

Cara memasak :
- Pecahkan telur ayam. Masukkan hirisan bawang merah dan cili.
- Ikan budu dibelah secara melintang dan dipotong kecil-kecil. Masukkan ikan budu ini ke dalam telur dan gaulkan supaya agak sebati.
- Campuran telur + ikan budu tadi digoreng dengan menggunakan minyak yang banyak (untuk mendapat kerangupan telur tadi); boleh juga digoreng seperti biasa (minyak yang sederhana). Biar garing sedikit dan pastikan isi ikan @ telur betul-betul masak.

Sedia untuk dihidangkan. Boleh juga diperah asam limau jika mahu. Enak dimakan dengan nasi yang masih panas.... Pasti membuka selera terutama sekali pada musim hujan...!



No comments: