Tuesday, March 15, 2011

Kita sering diuji....

KITA sering berfantasi... alangkah beruntungnya jika di sepanjang jalan pulang, kita melalui lorong yang luas tanpa liku selekoh atau gunung ranjau yang curam.... kita selalu membayangkan, alangkah bahagianya jika kehidupan di dunia selalunya mudah. Segala keinginan kita tersedia tanpa sebarang rintangan... tidak perlu untuk bersusah payah. Namun begitu, suatu hakikat yang perlu kita tempuh ialah kehidupan ini penuh dengan segala rintangan dan cabaran. Kesenangan dan kesusahan datang silih berganti.

Bahkan, Allah menyatakan dalam al-Quran, kehidupan ini akan silih berganti antara kesenangan dan kesusahan. Firman Allah dalam surah Alam Nasyrah ayat 6 yang bermaksud: "Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan."

Tidak ada jalan mudah bagi manusia. Sebagai makhluk yang lemah, kita terpaksa mengharungi semua rintangan untuk mencapai sesuatu matlamat atau untuk meneruskan kehidupan. Lebih-lebih lagi sebagai manusia biasa kita sememangnya terpaksa bergantung dan berhajat kepada orang lain dalam memenuhi keperluan kehidupan di dunia ini.

Sebenarnya segala masalah dan rintangan ini mengandungi suatu hikmah yang amat besar manfaatnya kepada manusia...yang menyedarkan kita, betapa kita merupakan hamba Allah yang sentiasa bergantung harap kepada-Nya dan berkeadaan serba kekurangan dan kelemahan.

Kita tidak dikurniakan segala macam kesempurnaan oleh Allah dalam mengharungi hidup ini. Bahkan kita perlu menempuhnya dengan pelbagai ujian. Dengan segala masalah, tekanan dan ujian ini manusia menyedari bahawa mereka hanya seorang hamba yang daif di sisi Tuhan Yang Maha Kaya.

Firman Allah dalam surah Al-Mulk ayat 2 yang bermaksud: "Tuhan yang mencipta kematian dan kehidupan untuk menguji kamu, siapakah antara kamu yang paling baik amalannya. Dan Dia Maha Mulia dan Maha Pengampun."

Kehidupan dan kematian juga adalah suatu ujian yang telah Allah tetapkan. Ujian yang kita harungi bukanlah sebagai suatu yang sia-sia, sebaliknya adalah satu proses peningkatan darjat dan kedudukan kita yang lebih tinggi di sisi Allah. Kesabaran, kecekalan dan tawakal dalam menghadapi segala macam pancaroba kehidupan menjadikan seseorang itu beroleh pahala yang banyak dan berganda berbanding orang lain yang tidak diuji dengan ujian dan cabaran itu. Akhirnya kita akan bertambah hampir kepada Allah disebabkan pahalanya itu dan kerana banyak berhubung dengan-Nya melalui doa daripada tawakal.

Atas sebab itulah, darjat mereka yang diuji dengan masalah dan rintangan lebih tinggi dan mulia di sisi Allah, sehinggalah ke satu tahap mereka benar-benar diterima sebagai manusia yang mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah. Oleh itu, seharusnyalah kita bersyukur di sebalik menerima segala permasalahan kerana ia mengandungi hikmah dan rahmat... menyedarkan kita siapa diri kita dan juga mengingatkan diri kita bahawa kita mempunyai tanggungjawab yang perlu ditunaikan kepada Allah s.w.t.

Apabila kita menyedari dan menghayati hakikat ini nescaya kita akan kembali kepada Allah setiap kali menghadapi masalah. Dengan cara ini masalah yang kita hadapi akan menjadi ringan, kerana masalah yang mendatang itu tidak lagi dirasakan sebagai beban bahkan dianggap sebagai jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah...peluang memperbaiki kesilapan dan medan meningkatkan kedudukan kita di sisi Allah. Kita tidak boleh berputus asa dengan hidup ini dan putus harap dengan rahmat Allah.

Orang yang tidak kembali kepada Allah akan mencari cara penyelesaian yang lain, yang bukan sahaja bercanggah dengan tuntutan agama bahkan menyalahi fikiran yang waras. Manusia yang tidak menjadikan agama sebagai cara hidup, akan bergantung kepada akal semata-mata dalam menyelesaikan segala permasalahan dan kesulitan yang dihadapi di dunia ini. Kebingungan, tekanan perasaan, kecelaruan pemikiran dan sebagainya yang biasanya menimpa mereka yang ditimpa masalah akan menjadikan mereka mengambil keputusan penyelesaian yang kurang bijak, terburu-buru dan mengikut perasaan yang jauh daripada lunas-lunas agama dan etika moral.

Orang yang beriman pula akan kembali kepada Allah dengan berdoa, membetulkan kesilapan, memohon rahmat, bertawakal dan seterusnya menyerahkan keputusan untung nasibnya kepada Allah. Mereka juga menyedari bahawa segala masalah yang menimpa adalah tanda kasihnya Allah kepadanya iaitu masalah itu menjadi penyebab kepadanya untuk mendekatkan diri kepada Allah daripada kelalaian dan keterlanjuran. Dengan itu, mereka berkesempatan memperbetulkan kesilapan dan keterlanjuran itu sebelum ajal dengan pintu rahmat dan pintu keampunan sudah tertutup.

Itulah hikmah dan rahmat di sebalik segala ujian dan kesulitan yang sering manusia lupa....

No comments: