Sunday, January 23, 2011

BUAH CERMAI





Masih ada lagikah di kawasan kampung atau di kawasan kejiranan anda pohon @ pokok buah CERMAI?

Beberapa hari lepas, rakan sekolah, Ustazah Bahijah ada membawa buah cermai. Dia suruh Zie buat halwa cermai. Dapatlah saya merasa halwa cermai yang masam-masam manis itu… sedap!

Pokok Cermai (Malay gooseberry) atau nama sainsnya ialah Phyllanthus acidus merupakan satu-satunya pokok dalam keluarga Phyllanthus yang boleh dimakan. Dulunya pokok cermai bukan main banyak lagi di kampung. Namun begitu, sejak belakangan ini, pokok buah nadir ini semakin pupus. Tak tahu ke mana menghilang. Buah cermai ini sedap dibuat jeruk atau dicicah dengan garam.

Buahnya yang kekuningan menjadi tarikan sesiapa sahaja yang memandangnya. Cermai ni kalau dah matang rasaya masam + manis. Buah cermai yang muda atau belum matang berwarna hijau pekat dan rasanya pahit pula. Tentu ada kasiat ubat…maklumlah yang pahit itu ubat… Namun begitu, jika dimakan sudah tentu anda akan mengerutkan dahi dek kerana rasa masamnya. Buah cermai ini ada juga jenis yang tidak brapa masam...Dahan pokok ini rapuh dan mudah patah….

Buah cermai adalah kenangan semasa zaman kanak-kanak… pokoknya hidup segar di tepi telaga rumah We Tok Mek, belakang rumah Mama. Apabila tiba musim cermai berbuah, buahnya yang kekuningan warnanya bertaburan gugur setelah masak @ matang. Cermai yang sudah masak ini tidaklah masam sangat… Kami akan kutip dan basuh bersih-bersih sebelum dibawa pulang untuk dicicah dengan garam + gula + kicap + cili padi. Kami akan duduk berhimpun untuk menikmati 'colek' cermai.


Dulu-dulu apabila habis musim kemarau, ketika hujan mula turun, pucuk-pucuk cermai bertunas dengan segarnya….Kadang-kadang ada yang jadikan pucuk cermai ini sayur lemak putih + udang.

Selain itu, buahnya juga sedap dibuat rojak dan jem. Caranya, jika nak buat rojak, hiris buah cermai dan buangkan biji, tumbuk kasar sedikit dan perah air masamnya, gaulkan dengan cili tumbuk , udang kering tumbuk, bawang merah hiris halus, gula sedikit, garam sedikit ikut rasa sedap tekak sendiri, kalau jem hiris isi dan buangkan biji, tumbuk isi dan perah air buah cermai (jangan kering sangat), masak dengan gula, air, seperi membuat jem nenas, masuk gula hangus masak hingga kering seperti jem.




Daun atau pucuk cermai dan getahnya sebenarnya mempunyai banyak khasiatnya selain untuk dimakan sebagai colek @ rojak @ pencuk.

Teringat pesanan Nenek, daun cermai ini boleh ditumbuk halus+bedak sejuk untuk dijadikan penawar demam campak (chicken pox) kerana ia bersifat sejuk. Boleh hilangkan parut. Selain itu, daunnya boleh direbus untuk dimandikan kepada bayi-bayi yang kuning selepas lahir Daunnya juga boleh digunakan untuk merawat demam panas. Pucuknya dikisar halus + bedak sejuk dan dilumurkan pada badan seketika hingga kering bagi tujuan untuk mengurangkan panas badan. Daunnya jika direbus dan diminum, dipercayai boleh mengurangkan penyakit darah tinggi.

Getah daripada kulit kayu pokok cermai mujarab untuk dijadikan ubat sakit gigi. Selain itu, kulit pokok itu diambil, dikeringkan sedikit dan direbus. Air rebusan yang telah sejuk boleh digunakan untuk berkumur

Yang pasti, buah cermai ni mempunyai pelbagai kegunaan selain dimakan sebagai jeruk…

Terkenang pokok-pokok hutan di kampung yang sudah pupus. Namanya agak pelik seperti khiyak, cupu, kandis, teraje dan kuchil. Maaf namanya semua dalam loghat Kelantan. Untuk memberitahu anak-anak cucu tentang kewujudan spesis inipun susah kerana pokok-pokok ini sudah tiada lagi di kampung.



No comments: