Thursday, February 3, 2011

Nostalgia Raya Cina di Pendek & Teluk Kandis


Setiap tahun menjelang Tahun Baharu Cina, pasti kenangan semasa zaman persekolahan dulu menjengah minda tanpa sedar.

Tahun ini kami sebenarnya sudah merancang untuk memenuhi undangan daripada sahabat lama, Wee Saw Lan di Kg Pendek untuk beraya di rumahnya sempena CNY. Disebabkan beberapa orang kawan termasuk kakak saya sendiri yang dijemput tidak dapat hadir kerana ada urusan keluarga, jadi rancangan tersebut terpaksa ditunda pada masa yang lain. Selain suami dan anak-anak, saya bercadang untuk bawa Mama dan Papa sekali dan 2 orang adik (Anggerek dan Nadia) yang kebetulan balik kampung sempena cuti Tahun Baharu Cina ini. Terima kasih, Saw Lan atas jemputan itu.

Sebenarnya, tidak jauh dari rumah saya di Kg Kota, terdapat beberapa petempatan masyarakat Cina yang lebih dikenali sebagai Cina kampung. Penempatan ini letaknya di Kg Teluk Kandis dan di Kg Pendek. Ada antara anak-anak mereka yang sebaya dengan kami dan menjadi rakan baik semasa bersekolah, antaranya ialah WEE SAW LAN dan KANG GEK NEE, 2 orang sahabat yang nama mereka masih dalam ingatan. Beberapa orang rakan lelaki yang sama-sama bersekolah sehingga di SIC, saya sudah lupa nama mereka.... termasuklah rakan sekelas semasa di Ting.5 yang juga menetap di Kg. Pendek @ Kg. Teluk Kandis.

Saw Lan yang kini bermastautin di Singapura, berasal dari Kg Pendek, Jalan Salor, KB. Menurutnya, neneknya tinggal di Pasir Mas. Saw Lan merupakan kawan baik kakak saya dan senior setahun semasa di SRJK (I) Kota, SMK Kota dan di SIC. Kami sama-sama ‘graduate’ pada tahun 1985 di UM.

Gek Nee pula yang dikenali sebagai ‘Ani’ di kampungnya merupakan rakan sekelas saya semasa di sekolah menengah rendah. Sudah lebih 30 tahun lamanya kami terpisah. Selepas LCE saya meneruskan persekolahan di SIC dan Gek Nee kekal di SMK Kota. Kami terus terputus hubungan setelah tamat Tingkatan 5.

Gek Nee tinggal di Kg Teluk Kandis. Saya dan beberapa orang kawan selalu berbasikal untuk ke rumah Gek Nee, melalui lorong berbatu kecil (kini sudah bertar) menghala ke tebing Sungai Kelantan. Lorong ini hanya muat sebuah kereta dan tidak boleh berselisih. Dari jalan utama, iaitu Jalan Salor, lebih kurang 400 meter ke dalam, kita akan sampai di sebuah perkampungan masyarakat Cina, yang kami kenali sebagai Cina kampung…

Salah seorang penghuni keturunan Cina di sini, yang kami kenali dengan nama Melayunya 'Mek Gok', mempunyai hubungan yang agak rapat dengan keluarga saya. Mek Gok merupakan seorang peraih di Pasar Besar Kota Bharu. Mek Gok sudah agak berumur pada masa saya masih bersekolah. Setiap hari dia akan berulang-alik ke KB dengan teksi/ beca roda tiga. Masih jelas tergambar dalam ingatan senyuman Mek Gok yang manis, setiap kali teksi @ beca roda tiga yang ditumpangi Mek Gok lalu di depan rumah kami. Biasanya teksi tersebut sarat dengan barangan yang akan dijual di pasar Kota Bharu nanti.

Apabila tiba Hari Raya Cina, saya bersama beberapa orang kawan sekelas akan berbasikal ramai-ramai ke rumah Gek Nee. Kami mengambil masa selama lebih kurang 20 - 30 minit untuk sampai ke destinasi. Sekarang, jika menaiki kenderaan bermotor, dalam masa kurang daripada 10 minit sampailah kita ke Teluk Kandis. Lebih 30 tahun dulu, jalan raya tidaklah sesibuk sekarang. Di rumahnya, kami dihidangkan dengan pelbagai jenis makanan kering, buah limau mandarin dan air oren atau sarsi atau lemonade atau ice cream soda di dalam botol (botol warna hitam seperti botol kicap). [Dulu, di rumah kami sendiri pun, hidangan air dalam botol seumpama ini, juga menjadi kemestian semasa hari raya]. Kami akan diberi ‘ang pau’ sebelum beredar pulang.

Sebenarnya, kaum Cina di Kelantan terbahagi kepada dua golongan, iaitu Cina Peranakan dan Cina Bandar. Orang Melayu memanggil golongan Cina Peranakan sebagai Cina kampung, Cina Kelantan atau Orang Cina kita. Bagi golongan Cina yang tinggal di bandar, mereka dipanggil Cina benua atau Cina Bandar.

Bagi saya, Mek Gok, ‘Mek Yah’ dan ‘Ani’ mewakili masyarakat Cina kampung yang mengamalkan budaya Melayu. Dulu, mereka bercakap dialek Kelantan sesama sendiri, bercucuk tanam, berbual di anjung rumah, memakai kain pelikat bagi lelaki, dan memakai kain batik bagi kaum wanita. Ada juga yang berkelubung kepala jika keluar rumah. Cina Peranakan ini juga makan budu dan ulam-ulaman. Mereka juga menggunakan nama Melayu, seperti Che Husin, Che Hassan, Mek Su dan nama-nama lain yang mencerminkan proses asimilasi telah merubah dan membentuk budaya tersendiri dalam kalangan masyarakat tempatan.

Jangan terkejut, Saw Lan pandai memasak nasi kerabu Kelantan ala Siam, walaupun sudah lebih 20 tahun bermastautin di Singapura…!

Walau bagaimanapun, mereka tetap mengamalkan budaya mereka sendiri ketika berada di dalam rumah. Mereka masih lagi mengekalkan budaya Cina seperti sembahyang, adat perkahwinan dan juga upacara pengkebumian.

Dulu, bila berkunjung ke perkampungan masyarakat Cina kampung di Kg Teluk Kandis atau di Kg Pendek, (banyak lagi tempat lain di Kelantan sebenarnya) kita akan dapat melihat senibina rumah asal Cina yang amat unik dan menarik. Rekabentuk, jenis kayu, malah ukiran yang dipahatkan adalah seni Melayu, cuma tulisan kaligrafi Cina yang mempunyai ciri ke”Cina”an menghiasi ruang tamu dan anjung. Namun begitu, kini, kesenian dan kehalusan senibina rasanya sudah tidak ada lagi kerana kebanyakan rumah sudah dibina semula dengan reka bentuk moden.

terkenang semasa dulu....

Foto : 'pinjam' daripada album Kak Mimi. Saw Lan bergambar kenangan dengan Kak Mimi dan Kak Roslena ketika berkunjung ke rumah Kak Roslena tahun lepas...

No comments: