Monday, May 16, 2011

SM Kota : Kenangan yang masih tersisa... (3)


Saya cuba mengingati beberapa nama untuk menyambung catatan kenangan bersama guru-guru yang pernah mendidik saya di SM Kota. Tidak banyak yang masih saya ingat tentang guru-guru yang mengajar saya semasa di Form 3. Entahlah, mungkin faktor masa sudah tidak memihak kepada saya

Pada mulanya saya cuba mengingati nama guru kelas saya, iaitu guru Form 3 Red, tetapi gagal. Ada 2 orang nama yang pada mulanya tidak tersenarai atau tidak terlintas langsung dalam minda saya. Nasib baiklah, sehari selepas saya post entri SM Kota : Kenangan yang masih tersisa...(1), bekas murid SM Kota, iaitu Zamini Seman yang juga rakan sekampung dan sebaya dengan adik saya, Noni telah memberi respon terhadap entri tersebut. Dalam komen Zamini, dia telah menyelitkan 2 nama ini yang memang hilang terus daripada ingatan saya. Dua orang guru suami isteri itu ialah Cikgu Kamariah dan Cikgu Isa. Terima kasih Mini kerana mengembalikan kenangan yang sangat bermakna kepada saya.

Berikut antara kenangan yang masih tersisa sebelum saya meninggalkan SM Kota pada penghujung 1977....


1) Cikgu Kamariah

Beliau menjadi guru kelas 3 Red. Sederhana tinggi dengan rambut pendek potongan "bob" paras leher, berkulit agak cerah. Rasanya Cikgu Kamariah memakai tudung berbentuk segi tiga, yang menutupi sebahagian atas rambutnya....agaknya trend ketika itu. Matanya yang agak juling menjadikan wajahnya tambah manis. Kadang-kadang semasa mengajar, kami tidak pasti kepada siapakah pandangan ditujukan oleh beliau. Mudah tersenyum dan tidak pernah meninggikan suara. Beliau mengajarkan mata pelajaran Sejarah. Sebenarnya Cikgu Kamariah tinggal tidak jauh daripada rumah Atok Che Daud di Kg. Kota.

2) Cikgu Hassan Dagang

Tinggal di Kg. Kota, tak sampai 1km jaraknya dari rumah saya. Sejak kecil, kami mengenali beliau dengan panggilan Cikgu Hassan Dagang... tak tahu bagaimana dapat gelaran "dagang" di hujung nama beliau. Dikenali sebagai orang kuat UMNO di Kg. Kota, sejak dulu, kini dan agaknya selamanya...! Beliau mengajarkan mata pelajaran Geografi. Muka Cikgu Hassan agak kelakar dan suka berjenaka.... tidak kering gusi dibuatnya....kami sangat seronok dengan cara beliau yang santai.

Pada tahun 1990-an beliau menjadi Pengetua di SMK Kangkong, Pasir Mas. Kalau tak silap, di bawah kepimpinan beliau, sekolah tersebut telah mencapai banyak kemajuan dan muncul Sekolah Harapan Negara bagi kategori Sekolah Luar Bandar.

3) Mr. Chong


Orangnya tinggi lampai, sentiasa berkemeja lengan panjang, berseluar slack potongan "bell-bottom" yang popular ketika itu... dan berambut lurus berbelah di tepi. Beliau mengajarkan subjek English (dan kalau tak silap, Modern Maths juga...). Sesuatu yang paling saya ingat tentang Mr. Chong ialah, beliau suka "bermain-main" dengan gigi palsu (bahagian hadapan) dengan lidahnya sambil menunggu murid menjawab soalan yang dikemukakan....

4) Cikgu Isa 


Beliau ialah suami kepada Cikgu Kamariah. Bagi saya, Cikgu Isa seorang yang agak pendiam dan kurang bercampur dengan masyarakat setempat. Saya berpendapat sedemikian kerana di kampung beliau jarang-jarang berada bersama dengan masyarakat setempat sekiranya ada sesuatu aktiviti, seperti bekwah kenduri kahwin, gotong-royong pindah rumah dll. Dulu, jika pindah rumah, maksudnya memindahkan rumah dari satu tapak ke satu tapak yang lain dan tidaklah terlalu jauh. Beliau mengajar kami subjek Bahasa Melayu lebih kurang selama 5 atau 6 bulan sebelum beliau menyambung pelajaran ke peringkat ijazah... kalau tak silap beliau bercuti setahun untuk menamatkan pengajian luar kampus beliau di USM. Sepanjang tempoh beliau mengajar kami, Cikgu Isa sebenarnya baik orangnya dan mudah didekati...

5) Cikgu Mustafa


Beliau menggantikan Cikgu Isa dan mengambil alih subjek Bahasa Melayu di kelas Form 3 Red pada penggal kedua persekolahan. Seorang yang berkulit sawo matang, sederhana tinggi, sentiasa nampak segak dan kemas sejak beliau mengajar di SK Kota lagi. Rambutnya agak kerinting dan dipotong pendek. Beliau seorang yang tidak kedekut dengan senyuman membuatkan murid-murid cukup senang dengan beliau.

Semasa saya di sekolah rendah, Cikgu Mustafa mengajar di SK Kota (bersebelahan dengan sekolah saya ... SRJK (I) Kota). Isteri beliau juga mengajar di situ. Rumahnya juga di Kg. Kota, lebih kurang setengah batu jauhnya dari sekolah. Beliau telah menyambung pelajaran ke peringkat ijazah selama 3 tahun di UM.

Setelah tamat pengajian, beliau ditempatkan di SM Kota untuk mengajarkan subjek Bahasa Melayu. Peringkat awal beliau mengambil alih kelas kami daripada Cikgu Isa sekembalinya beliau daripada melanjutkan pelajaran, selalulah beliau bercerita tentang pengalaman beliau di UM. Pelbagai cerita kehidupan di kampus yang indah dan menarik. Kami asyik dan terpegun mendengarnya...lalu, tersimpan jauh di lubuk hati impian untuk menjejakkan kaki di Lembah Pantai... dan 5 tahun selepas itu, impian seorang murid biasa di sekolah menengah harian biasa telah menjadi kenyataan....


Kini, Cikgu Mustafa masih menetap di kampung yang sama, di rumah yang sama di tepi jalan raya menuju ke rumah saya di Kg. Kota. Setiap kali melintasi di hadapan rumahnya, yang sudah beberapa kali diubah suai itu, dalam hati sentiasa berbisik...."suatu ketika dahulu, aku pernah berguru dengan tuan rumah agam ini.... semoga Cikgu Pa sekeluarga terus diberi kesejahteraan dunia dan akhirat...." 

Tidak lengkap rasanya catatan ini tanpa menyebut dua orang peneraju sekolah selama 3 tahun saya di SM Kota. Beliau ialah :

CIKGU IDRIS, Penyelia Petang @ sekarang dikenali sebagai GPK Petang 


Daripada anakandanya NORHAYATI BT. IDRIS, yang merupakan rakan sekelas untuk beberapa tahun sejak di sekolah rendah dan menengah rendah, saya mendapat tahu bahawa ayahanda beliau sudah beberapa tahun pulang ke rahmatullah (alfatihah untuk arwah). Sebenarnya, saya "mengenali" Cikgu Idris (sebagai ayah kepada rakan sekelas) sejak di bangku sekolah rendah lagi kerana kerap ke rumah beliau di Kg. Surau Kota atau ke dusun durian milik keluarga beliau atas ajakan anakandanya, Tie. Beliau ialah seorang yang sentiasa kelihatan tenang, berwibawa dan lembut tutur katanya. Semoga arwah ditempatkan di tempat yang tinggi darjatnya bersama-sama mereka yang beriman dan yang beramal soleh.

MR. BACHAN SINGH, Guru Besar SM Kota (kini disebut Pengetua).


Daripada pandangan sisi seorang murid peringkat menengah rendah, Mr. Bachan seorang yang kelihatan tegas kerana beliau tidak banyak bercakap. Kami boleh dengar suara beliau semasa perhimpunan rasmi, dan bukannya diadakan pada setiap minggu seperti sekarang....! Sebenarnya, kami tidak berani berhadapan dengan beliau. Seingat saya, selama di Form 2 dan Form 3, hanya beberapa kali beliau masuk ke kelas kami.... Beliau yang berkereta Peugeot model seperti kereta "Superman" berwarna putih kekelabuan itu menjadi antara yang terawal sampai awal ke sekolah pada setiap pagi... Lama juga beliau menjadi HM di SM Kota.

Sebenarnya, ada satu peristiwa yang telah membawa kami ke rumahnya di Jalan Telipot, melalui jalan kecil bersebelahan Maktab Sultan Ismail @ SIC....

Sebelum tahun 1978, biasanya semua murid English Medium dari SM Kota akan menyambung pelajaran Ting. 4 ke SIC, sama ada aliran Sastera ataupun aliran Sains. Kami merupakan kumpulan terakhir yang menduduki peperiksaan LCE... Semasa kami pergi mendapatkan keputusan LCE penghujung 1977, kami juga diarah untuk melaporkan diri di SIC.

Pada awal 1978, seperti tahun-tahun sebelumnya, bersama slip keputusan peperiksan, kami ramai-ramai ke SIC untuk melaporkan diri, waktu itu lebih kurang pukul 1.30 tengah hari, bermula waktu persekolahan sesi petang. Kami bersama-sama murid baru dari sekolah lain, seperti dari SMKB, SM Tumpat, SIS Pasir Mas, SM Hamzah Machang, SMYP Kuala Krai dan lain-lain diminta berkumpul di foyer dewan SIC. Setelah tiba giliran kami di tempat pendaftaran (sebenarnya, tak ada meja pun, hanya melaporkan diri kepada guru yang bertugas di luar pintu dewan SIC) , kami dimaklumkan bahawa, nama-nama murid dari SM Kota tidak terdapat dalam senarai nama murid baru yang dihantar oleh pihak PPD Kota Bharu. Kami agak terkejut atas makluman tersebut.

Apa lagi, kami pun beramai-ramai ke rumah Mr. Bachan Singh (kalau tak silap, salah seorang guru SIC yang memberitahu kami lokasi rumah HM kami itu)... ketika itu, beliau baru sahaja balik dari sekolah dan baru keluar dari kereta. Beliau tidak dapat memberi kepastian kerana beliau juga tidak dimaklumkan oleh pihak yang berkenaan. Jadi, beliau meminta kami balik dahulu dan datang ke SM Kota pada esok pagi. Beliau berjanji untuk menghubungi pihak PPD atau JPN.

Pada keesokan paginya, kami ke SM Kota...barulah jelas duduk perkara yang sebenarnya. Kami dimaklumkan bahawa murid aliran Sains lepasan LCE 1977 dari SM Kota akan kekal di SM Kota dan murid lepasan LCE 1977 aliran Sastera akan meneruskan pelajaran Tingkatan 4 di SIC...

Begitulah antara kenangan yang masih tersisa dalam ingatan setelah sekian lama melangkah keluar dari SM Kota. Kadang-kadang kenangan itu datang dan pergi bersilih ganti; sekejab timbul; sekejab tenggelam... sehingga tidak sempat dikutip untuk disimpan dalam memori.... Walau bagaimanapun, sedikit kenangan yang masih tersisa itu masih terlekat kukuh alam minda.

Kenangan bersama-sama guru yang telah membimbing kami dengan ikhlas dan tidak jemu-jemu mencurahkan segala ilmu buat bekalan masa depan kami, lebih-lebih lagi pada setiap kali tibanya SAMBUTAN HARI GURU, akan tetap kami kenang selagi hayat dikandung badan.... "terima kasih, Cikgu...."

menyusul nanti... pengalaman dan secebis kenangan di SIC (1978 - 1981)....

Foto : sebahagian daripada guru SMK Kota (1975/1976) dipinjam daripada album Wee Saw Lan... Mr. Amir Thalingam, Mr. Peter Poh, En. Ariffin (Lab Ass) dan Mr. Chong... yang lain-lain tak berapa jelas....

9 comments:

Anonymous said...

Assalamuaalaikum, hebat ingatan demo. Ado simpan diari ko, Good nostalgia. Azman Talib, Manjung Perak

Anonymous said...

salam La ,ingatan ku kembali mengingati rakan lama seperti azman talib , kamaruddin , adnan husin , norazma , norhayati , haslin ,faizah , nasir bakar , wan nizam , suriani,sarimah ,norberi , nasir yunus ,abdullah sabri ,ku jan , ku bakar ,nik azmi , ku midah ....you have a good memory my friend
I remember cikgu Sharifah dari perlis mengajar kita...comel orangnya..

Anonymous said...

lupa nak bagi tau yang komen sebelum ni ialah.......

capt (rtd) nik fauzi dari kolej kejuruteraan MARA Balik Pulau Penang 0179612599

rakan2 yang teringin nak makan durian yang
" branded" pls call me

Anonymous said...

Raya tahun lepas saya ada jumpa dengan suhaidi hamzah adnan hussin dan isterinya yati, nasir yunus, norberi yusof ahmad zaki jaafar hassan.

hanila said...

Salam Azman, tak perasan you ada singgah di sini... memang kenangan semasa persekolahan sentiasa indah untuk diingati... mana-mana yang saya ingat tu akan saya coretkan di sini...

Saya pernah jumpa suhaidi di Kuantan 10 tahun lepas rasanya. Tak berani nak tegur takut tersalah orang. Hanya cakap dng suami, "itu kalau tak silap, classmate i dulu..."...

Kalaulah kita dapat berkumpul sekali dalam usia kita meniti ke 1/2 abad ini...kena suruh member2 di KB uruskan...

Kalau balik kg tu, balik Gaung ke? Kita tak pernah jumpa selepas you transit skjb di SIC sebelum fly ke UK dulu... kalau tak silap lah...

Anonymous said...

Dulu pergi US, lepas balik terus kerja dengan LLN/TNB sehinggalah sekarang. Kerja kat Loji Janakuasa TNB di Hidro Kenyir dan Kitar Padu di Paka. Kat Terengganu selama 24 tahun dan dipindahkan ke Loji arangbatu yang terbesar TNB di Seri Manjung Perak. Baru satu setengah tahun disini. Kawan-kawan lama yang saya jumpa walaupun lama tak jumpa, perangai dan sikap mereka tak berubah sedikitpun. Masih mesra, boleh sharing the same joke and nostalgia. Jika dapat no hp kekawan kita saya akan terus call just to tell them that I'm still alive and to rekindle our silatur rahim. Jika ada sesiapa yang dapat arrange just a simple reunion it'll be nice. Selalu balik Gaung, mak sihat lagi.
Azman.

Anonymous said...

agreed , a simple reunion will be nice... perhaps raya ni buat gathering kat horizon pun ok...just to see each other again after so many years..man , din , ila , nizam & nasir bakar dah ok doh for a start...
nik fauzi

hanila said...

Azman, Fauzi, Agaknya apabila usia sudah semakin senja ni, ada sedikit kelapangan kerana anak-anak sudah meningkat dewasa, berserta dengan kemajuan ICT, membolehkan kita berhubung antara satu sama lain. Syukur kepada Ilahi... tak terfikir bahawa kita dapat 'bertemu' begini.

Beberapa hari lepas, saya ada tel Norhayati Abdulah @ Nab yg rumah dia dkt round about tu, suruh member2 yg duduk KB arrange reunion... next yr kita akan melangkah ke usia 1/2 abad... sesuai sekali.

Raya nanti Nor Azma nak menyambut menantu. Kenduri tu di rumah Mama dia di Kg Kota... dia tanya no. tel kawan2 yg saya ada. Dia nak hubungi...

Anonymous said...

salam to all ...pada 2/9/11 saya , kamaruddin , ahmad zaki , tg norizan dan nab pergi kemajlis menyambut menantu norazma di pintu geng...seronok jumpa geng lama. nab cadang buat gathering raya haji ni di rumah dia di taman guru... perhaps kawan2 yang ada kelapangan dan berada di kb boleh join kita orang... see u soon....yg ada skg .. nik fauzi , tg jan , nab , kamaruddin , dr wan nizam ,tg midah .. haslina zainuddin.
nik fauzi