Sunday, May 29, 2011

seketika di SIC : Pengetua (1)....

Selama 4 tahun di SIC (1978 - 1981), saya berada di bawah pimpinan 2 orang Pengetua.

Pengetua pertama semasa saya di SIC ialah Encik Yusof Abdullah, yang menjadi Pengetua SIC mulai Ogos 1977 hingga Disember 1979.


Ada beberapa kenangan yang masih terlekat dalam ingatan...

Saya masih ingat lagi secebis kisah pada tahun 1978... ketika itu, Almarhum DYMM Sultan Yahya Petra baru sahaja dilantik sebagai YDP Agong. Sekitar pertengahan tahun 1978, baginda berangkat pulang ke Kelantan buat pertama kalinya setelah menjadi YDP Agong. Satu upacara sambutan besar-besaran diadakan. Pelajar perempuan Tingkatan 4 dari beberapa buah sekolah di sekitar bandar KB (SIC, SMZ, SMKB, SMIP, Puteri, Maktab Kadir Adabi...) dipilih untuk menjadi penyambut (agaknya mereka ini akan berbaris di sepanjang laluan di lapangan terbang sambil menabur bunga rampai....!) dan pemilihan tersebut tentu sekalilah berdasarkan ciri-ciri tertentu.... cantik, tinggi, berkulit cerah (mungkin), dll....

Di SIC, Tuan Pengetua sendiri yang menentukan siapakah pelajar yang layak menyertai 'perbarisan' tersebut. Ini bermakna, beliau akan 'juri' dan melihat terlebih dahulu calon yang bakal dipilih. Salah seorang sahabat saya yang terpilih yang mempunyai ciri-ciri yang diperlukan ialah CHE NORIZAM ISMAIL. Saya ingat lagi, mereka dikehendaki memakai baju kebaya labuh berwarna merah dan berkain songket.

Semasa saya di Tingkatan 5 (1979), beliau mengajar kami subjek Sejarah. Jarang-jarang beliau sempat masuk ke kelas kerana banyak terlibat dengan urusan pentadbiran dan mesyuarat yang perlu dihadiri oleh beliau. Seingat saya, ketika itu beliau hanya sempat mengajar Bab 1, iaitu Sejarah Indonesia, itupun bahagian awal... VOC, Sultan Agong, Amangkurat I, Amangkurat II... Hamangubuwono, Perang Jawa dll.... nota pun hanya beberapa muka surat... Jadi, untuk mengatasi defisit pembelajaran, kami perlulah berusaha sendiri untuk menghabiskan tajuk-tajuk dalam buku teks yang padat dengan tulisan dan amat tidak menarik itu....!

Beliau yang saya ingat, mempunyai ciri-ciri seperti seorang 'bapa' kerana mungkin kerana beliau sudah agak berumur ketika itu. Ketika itu beliau baru sahaja menamatkan zaman solonya. Dari pandangan mata kasar, kita nampak beliau seperti kurang mesra dan agak tegas, tetapi apabila kita mengenali beliau dengan lebih dekat, sebenarnya beliau seorang yang penyayang dan suka juga bercerita. Bercerita tentang kisah hidup beliau yang sarat dengan pengalaman.....

Masih jelas dalam ingatan, dulu selalu juga ketika beliau masuk ke kelas pada waktu subjek Sejarah, banyaklah majalah yang (dibawa dari rumahnya) diedarkan kepada kami. Pelbagai jenis majalah yang kebanyakannya berbahasa Inggeris. Majalah itu tidak perlu dipulangkan. Diberi terus kepada kami. Terlintas juga difikiran nakal anak remaja....
".... ini sudah tentu suri hidupnya hendak melupuskan semua majalah yang banyak terdapat di rumahnya itu... sebelum ini, beliau hidup bersendirian, tidak ada sesiapa pun yang kisah. Pasti ruang kosong yang dahulunya diisi dengan majalah digantikan dengan peralatan rumah yang baru.....!"
Jadi, waktu Sejarah, kami habiskan dengan membelek-belek majalah....!

Kalau saya tidak silap, jika di luar waktu bekerja, atau ketika datang meninjau sekolah pada waktu petang, beliau suka memakai seluar pendek paras lutut, kembang dengan stokin panjang paras betis dan berkasut kulit... dengan paip @ pipa yang tidak pernah lekang di bibirnya itu, beliau kelihatan sangat klasik, seperti "manager estet" zaman colonial....sangat unik nostalgia ini.

Tuan Hj Yusof berkhidmat di SIC sehingga Disember 1979 dan kemudiannya berpindah ke SMK Mahmood Muhyidin, Pasir Pekan mulai awal 1980. Beliau digantikan oleh Encik Ahmad Merican Othman, seorang pengetua yang amat meminati bidang sukan....


Foto Badan Pengawas SIC 1979 : Tn Hj Yusof diapit oleh Cikgu Mokhtar dan Cikgu Alias....ada bersama di barisan hadapan ialah Pak Yew Pun, Nik Hafiez, Fauzi Hanipi....




No comments: