Wednesday, June 29, 2011

Bemban dan Sembang-sembang pagi...

Sebenarnya, jarang-jarang kami berkesempatan bersembang antara satu sama lain, kecuali jika berkebetulan bertemu di kantin....



Pagi tadi, saya bersama Megawati, Ekelida, Suhana, Zulfazila dan Marina kebetulan berada di meja yang sama. Sambil menjamah sarapan (sebenarnya 'brunch' - breakfast + lunch), keluarlah pelbagai topik sebagai selingan mengisi 'ruang waktu' di meja makan. Bermula dengan cerita ikan patin... lepas tu tentang keenakan 'ikan darat', seperti sepat, keli, pepuyu yang suatu ketika dahulu terdapat di baruh atau bendang selepas musim menuai atau semasa musim menanam padi'; bukannya yang dibela di dalam kolam...!

Kisah ikan hilang begitu sahaja, dan timbul pula cerita buah-buahan 'kampung' yang sering menjadi 'makanan ringan' kami ketika zaman kanak-kanak, sambil bermain-main dengan rakan-rakan sekampung...ada cerita tentang buah kerian, sentol, sekiat, larak, buah kemunting, jambu biji berwana merah jambu, dan lain-lain. Panggilan buah ini mungkin berbeza mengikut tempat. Dalam bercerita tentang buah-buahan nadir itu, keluarlah pula cerita tentang pohon bemban.


Mega kata, dia tidak biasa dan tidak berapa kenal pohon bemban....mungkin faktor persekitaran rumahnya yang bercirikan urban tidak sesuai dengan pohon bemban. 

 
Nama saintifik pohon bemban ini ialah Donax Grandis. Bemban merupakan sejenis tumbuhan berumpun dengan batang yang kelihatan seakan-akan pokok buluh. Daunnya yang agak besar dan berbentuk oval itu mempunyai permukaan yang cantik berkilat. Batangnya tinggi dengan daunnya terletak di bahagian hujung batang. Bunganya berwarna putih dan menghasilkan bau wangi yang tidak kuat. Buahnya berbentuk bulat dan bersaiz kecil. Bemban mudah membiak melalui anak yang terhasil dari rumpunnya dan boleh dibiakkan melalui pecahan rumpun.

Saya masih ingat lagi, nenek gunakan kulit batangnya yang telah dibelah nipis untuk menjahit atap rumbia. Selain itu, ia juga boleh dianyam untuk dijadikan bakul. Perkataan bemban itu sendiri memberi maksud perangkap ikan sesuai dengan kegunaan batangnya yang boleh dianyam dan digunakan untuk menangkap ikan.

Saya juga pernah melihat nenek menggunakan kulit batang pokok yang telah dibelah, untuk mengikat anak-anak pokok padi atau kami panggil semai supaya senang dibawa ke petak semaian. Tapi sekarang zaman sudah berubah... orang dah tak pakai cara ni lagi. Petani-petani sekarang sudah tidak tanam anak padi, sebaliknya terus tabur benih padi di petak semaian. 

Bemban juga merupakan habitat utama bagi kelip-kelip. Ia juga sesuai dijadikan tumbuhan hiasan yang memaparkan ciri-ciri tropika.

Dulu, pohon bemban ini banyak terdapat di belakang rumah Mama, bersebelahan telaga We Tok Mek (nenek Mama). Pohon bemban ini menjadi sempadan antara rumah Mama dengan telaga tersebut. Kami selalu gunakan batang bemban ini untuk dijadikan senapang mainan... Daunnya yang agak lebar itu boleh digulung untuk dijadikan serunai. Serunai daun bemban menghasilkan bunyi yang merdu dan menjadi permainan kanak-kanak kampung.
Kami mulakan sembang-sembang pagi dengan imbauan kenangan zaman kanak-kanak... dan diakhiri dengan isu semasa yang menjadi bualan warga Kuantan, iaitu isu Lynas....

No comments: