Sunday, August 14, 2011

kuih tradisional nenek moyang....

Kesempatan balik ke kampung halaman hujung minggu lepas, saya tidak melepaskan peluang untuk menempah kuih tradisional daripada Hjh Nik Mariam di Jalan Kelocor, Kota Bharu. Beliau pakar dalam menyediakan pelbagai kuih tradisional dan tersohor di KB. Antara kuih dihasilkan ialah ialah jala mas, buah tanjung, taikitik, pauh dilayang, piana, dan akok...

Saya telah menempah akok, jala mas dan pauh dilayang. Buah tanjung dan taikitik diberi percuma oleh Hjh Nik untuk saya rasa....

Sebenarnya, saya lebih suka jala mas berbanding yang lain. Rasanya manis dan lemak. Kena makan sikit-sikit, lepas tu simpan dalam peti ais. Rasa buah tanjung atau kuih mas sejemput sama dengan jala mas. Saya tidak berapa suka rasa kuih taikitik yang berasaskan putih telur tu. Tapi makan juga kerana ada dibekalkan oleh Hjh Nik Mariam. Yang belum dirasa ialah kuih pauh dilayang. Menurut Pn. Hjh Nik kuih itu sedap dimakan dengan susu cair... manis berlemak....

Sebenarnya, kini kuih-kuih ini mudah didapati di pasar lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan ini (berbanding dulu yang hanya disediakan untuk golongan bangsawan atau untuk majlis-majlis istimewa). Walau bagaimanapun, rasanya tidaklah sama dengan kuih yang dihasilkan oleh orang yang pakar dalam menyediakan kuih-kuih tradisional ini. Rupa sama tetapi rasa agak berbeza....

Kuih jala mas merupakan sejenis hidangan kuih tradisional Melayu yang lemak manis yang dihasilkan dengan menggunakan kuning telur yang dimasak dalam air gula, sama seperti buah tanjung atau kuih mas sejemput, tetapi mempunyai cara penyediaan dan rupa yang berbeza.

Kuih jala mas disediakan dengan kuning telur yang diurai ke dalam air gula yang menggelegak. Selepas beberapa lama apabila masak, adunan itu diangkat dan kemudiannya ditompokkan pada bahagian kecil atau juga boleh diletak begitu sahaja dalam bekas.

Kuih jala mas mempunyai bentuk yang berjurai seperti mi halus. Pada kebiasaannya telur itik digunakan kerana ia mempunyai saiz kuning telur yang lebih besar. Selain itu, ia biasanya dihasilkan bersama kuih tahi itik kerana mengelakkan pembaziran putih telur yang berbaki.

Kuih jala mas ini lebih popular di sebelah pantai timur, terutama di Kelantan dan Terengganu. Pada masa dahulu, ia biasanya dikhaskan bagi hidangan raja dan kaum bangsawan. Ini disebabkan kos penghasilan yang mahal dan cara menghasilkannya yang rumit.

Nama jala mas mungkin diambil dari warnanya yang kuning keemasan dan bentuknya seperti jala. Secara tradisi, dalam kebudayaan Melayu tradisi, warna kuning keemasan dikhaskan bagi golongan raja-raja sahaja.

Kuih jala mas kurang popular di negeri lain di Malaysia, disebabkan rasanya yang agak manis. Ia mempunyai rasa bertali dari juraian kuning telur yang disira dalam air gula. Sebagaimana mas sejemput, ia dihidangkan secara atas darat (tidak berkuah) dan dihias.

Kini, kuih jala mas kurang dikenali oleh golongan muda. Mungkinkan disebabkan oleh rasanya yang manis atau kerana terdapat pelbagai jenis makanan 'moden' di pasaran hari ini....



No comments: