Monday, September 19, 2011

26 tahun telah berlalu....


Sebenarnya, hari ini 19 SEPTEMBER 2011 ialah hari ulang tahun perkahwinanku yang ke-26.

Dalam meniti 26 tahun usia perkahwinan kami, saya berasa sangat beruntung dan bersyukur kerana suami seorang yang penyabar kepada saya dan anak-anak. Dia menyayangi kedua ibu bapa saya sebagaimana dia menyayangi kedua ibu bapanya dan dia menerima semua ahli keluarga saya. Begitu juga di pihak saya, saya juga menyayangi kedua ibu bapa dan keluarganya. Saya menerima mereka seadanya.

Dalam tempoh itu, pelbagai dugaan dan cabaran telah kami tempuh dalam melayari bahtera kehidupan sebagai seorang ibu dan ayah, yang mendidik anak-anak demi membentuk sebuah keluarga yang bahagia. Bahagia dunia dan akhirat. Semoga jodoh pertemuan kami berkekalan dan diberkati oleh ALLAH s.w.t hingga ke akhir hayat dan dipertemukan semula di syurga Firdaus….

Setelah 26 tahun membina mahligai bahagia, perjalanan yang perlu kami tempuh masih jauh di hadapan. Masih banyak cabaran yang perlu dilalui. Di samping merenung masa depan, sesekali aku menoleh ke belakang mengamati pengalaman 26 tahun silam.

19 September 1985 – 19 September 2011 .

Selamat ulang tahun perkahwinan kami yang ke-26. Syukur kepada Tuhan kerana masih memelihara rumah tangga ini.

Kepada suamiku, terima kasih kerana masih menerima diriku sebagaimana hari pertama aku bergelar isteri. Terima kasih yang tidak terhingga kerana membuatkan diriku sentiasa istimewa di sisimu, sentiasa sabar dengan diriku dan anak-anak. Terima kasih kerana menjadi sahabat yang paling akrab, kekasih yang sentiasa dirindui dan suami yang terus setia bersama dalam susah atau senang....terima kasih atas segala-galanya....

Segalanya bermula tanpa diduga. Segalanya ALLAH s.w.t yang tentukan, kita hanya merancang dan berdoa... Ikatan ini berawal dari hati atas nama cinta. Jalinan ini bermula dari rasa atas nama sayang. Pautan ini berasal dari angan atas nama rindu. Sesungguhnya ini adalah cinta, sayang dan rindu yang akhirnya menyatukan kami berdua...
Sejarah awal pertemuan dan seterusnya membawa kami ke alam perkahwinan sangat ringkas. Biarlah sejarah itu menjadi kenangan kami berdua dan akan tetap diingati setiap saat, tidak hanya pada hari ulang tahun perkahwinan…. Kampus biru menjadi saksi dua hati berbicara dalam rahsia....

Semasa majlis ‘berunding’ dijalankan, aku berada nun jauh di Lembah Pantai… Semuanya Papa & Mama serta keluarga sebelah suami yang uruskan, termasuk tarikh perkahwinan kami. Aku terima sahaja keputusan yang diambil… akhirnya aku dapat tahu bahawa tarikh pernikahan ditetapkan pada 19-09-1985 – sama dengan tarikh ulang tahun kelahiranku yang ke-23 tahun... Papa & Mama akan menerima menantu pertama dalam keluarga untuk puteri mereka yang kedua...

Kami sedar, berkahwin dalam usia muda banyak cabarannya. Sesungguhnya, apa yang penting dalam perkahwinan ialah bagaimana suami isteri itu akan melayari bahtera kehidupan berkeluarga. Ia bukan tanggungjawab satu pihak sahaja. Kedua-duanya ada peranan masing-masing. Anak-anak merupakan buah dari cinta dan kasih sayang sepasang suami isteri yang datang bersama amanah yang terpikul di bahu.

Pernikahan bukan sekadar menghalalkan yang haram tetapi ia lebih daripada itu.

"...Melihat perkahwinan sebagai medan untuk MEMBERI, akan menjadikan kita lebih memikirkan soal PERANAN dan bukannya HAK yang tidak berkesudahan..."

Perkahwinan datang bersama dengan tanggungjawab yang mesti digalas di bahu, saling melengkapi dan saling memerlukan antara satu sama lain....
Sedar tak sedar, kini sudah 26 tahun kami hidup bersama sebagai suami isteri; dikelilingi oleh 3 orang permata hati, MOHD FARIS, MOHD FAHMI & SITI NADIAH yang telah melengkapkan hidup kami sekeluarga.…

Hadiah istimewa menjelang ulangtahun perkahwinan kami yang ke-26 ialah, kami menerima seorang ahli baru - menantu pertama dalam keluargaku - menantu cucu pertama untuk Papa dan Mama.... Sejarah 26 tahun yang lalu berulang kembali apabila anakanda kedua kami MOHD FAHMI NAIN selamat diijabkabulkan dengan gadis pilihan hatinya NURUL AINA AWANG pada 2 SEPTEMBER 2011....
Ya Allah, berkatilah kehidupan keluarga kami. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus dan jalan yang KAU redhai. Amin.


1 comment:

teratai said...

tak sedar masa berlalu begitu cepat!