Monday, November 21, 2011

PITIS RM100

Mengikut Kamus Dewan, pitis bermaksud mata wang pada zaman dahulu, duit, wang. Dalam dialek Kelantan, disebut pitih. Maksudnya sama juga - duit atau pitis.

Sehari dua ini ramai orang bercakap tentang pitih yang kerajaan bagi kepada murid-murid sekolah tu. Pitih RM100 yang diberi kepada murid melalui ibu bapa. Ibu bapa/ penjaga kena hadir sendiri untuk mendapatkan pitih itu. Jika tidak datang, sekolah tidak boleh ambil atau simpan pitih itu. Kena kembalikan semula ke kantung pihak yang memberi, iaitu kerajaan....

Saya ada juga mendapat khabar, ada murid yang menerima pitih RM100 melalui ibu bapanya dan disumbangkan semula kepada pihak sekolah. Mungkin individu tersebut berasa mereka tidak layak menerima bantuan tersebut dan dalam masa yang sama ingin membantu sekolah. Ada
, tetapi mungkin tidak ramai. Rasanya di sekolah saya, tak ada yang begitu. Tak apalah, itu hak mereka.

Suasana di sekolah seluruh negara menjadi meriah tiba-tiba dengan kehadiran ibu bapa / penjaga ke sekolah untuk menuntut pitih RM100 tu. Ada ibu bapa yang datang ke sekolah buat kali pertama semasa mendaftarkan anak mereka masuk ke sekolah untuk Drj. 1 atau Ting. 1, baru kini pula mereka melewati pintu pagar sekolah dan masuk ke kawasan sekolah.... bertemu guru... Semuanya gara-gara pitih RM100...!

Sebenarnya, bukan semua ibu bapa begitu. Ada segelintir ibu bapa yang sangat prihatin dengan perkembangan akademik anak-anak mereka dan tidak lokek untuk memberi sumbangan dari segi material serta buah fikiran untuk membantu sekolah. Walau bagaimanapun, saya berani mengatakan bahawa lebih daripada 60% ibu bapa tidak pernah masuk ke kawasan sekolah bertemu dengan guru anak-anak mereka selepas hari pertama menghantar anaknya mendaftar diri di sekolah berkenaan. Ini berlaku atas pelbagai
alasan....Mereka sahajalah yang tahu sebabnya.

Semoga selepas menerima pitih RM100 ini, sekurang-kurangnya sehingg
a anak mereka tamat belajar di sekolah tersebut, mereka akan terus datang jika ada program yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Semoga mereka akan dapat mencari pintu pagar sekolah jika ada jemputan untuk hadir ke Mesyuarat Agung PIBG, program gotong-royong perdana di sekolah, Hari Pelaporan Akademik Murid dan pelbagai aktiviti lagi yang membutuhkan kehadiran mereka...!

Harap-harap pitih RM100 yang diterima itu akan digunakan sebaik-baiknya untuk persiapan persekolahan anak-anak sesi 2012 nanti. Beli uniform sekolah, beli buku dll. Kalau nak dikira, tak cukup sebenar
nya dengan pitih RM100 tu, tetapi sekurang-kurangnya ini dapat meringankan beban ibu bapa membuat persiapan awal tahun, apatah lagi kalau ada 3 atau 4 atau lebih anak yang masih bersekolah....!

Janganlah pula apabila sekolah dibuka pada awal 2012 nanti, masih ada murid yang memakai baju sekolah lusuh, baju yang dipakainya sejak 2 tahun lepas; masih dengan kasut yang sudah haus tapaknya; masih dengan beg sekolah yang hampir putus talinya...! Untuk ibu-ibu dan bapa-bapa, gunakanlah pitih RM100 itu dengan sewajarnya. Kita seharusnya bersyukur dengan pemberian tersebut.

Mungkin ini merupakan pemberian bantuan persekolahan yang pertama dan terakhir untuk semua murid tanpa mengambil kira pendapatan ibu bapa.... kalau saya silap, minta maaf ajelah. Kalau tahun depan dan tahun-tahun berikutnya masih ada bantuan sebegini, lagi baik. Alhamdulillah.

Sungguh, seumur hidup saya... saya yang akan menjangkau umur setengah abad tahun depan, tidak pernah dengar murid-murid diberi pitih RM100 pada akhir tahun, yang kononnya untuk persiapan persekolahan pada tahun berikutnya.... Apa-apa pun, langkah ini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban ibu-ibu dan bapa-bapa dengan keadaan harga barangan keperluan yang makin meningkat setiap masa....

Yang seronoknya, secara tidak langsung kami juga menjadi antara penyumbang penting pitih RM100 dalam menjayakan misi kebajikan ini kerana kami merupakan pelanggan LHDN yang penting dan tidak pernah lari daripada membayar cukai pendapatan....!




No comments: