Friday, May 4, 2012

Nostalgia 4 MEI...SM Ahmad


Pagi tadi semasa sesi taklimat E-Operasi di Makmal Komputer, saya terperasan hari ini, 4 MEI... pada tarikh yang sama 26 tahun yang lalu... 4.5.1986, saya melaporkan diri di SM Ahmad, Pekan untuk memulakan kerjaya sebagai seorang pendidik... bermula sebagai Guru Sandaran Terlatih.

Pada 16 MEI 2010 sempena Hari Guru yang kebetulannya jatuh pada hari Ahad, saya telah ke SMK Ahmad Pekan untuk menjejak kenangan yang telah lama ditinggalkan.

SM Ahmad merupakan sekolah premier di Daerah Pekan. Bangunan asal, iaitu bangunan kayu satu tingkat masih kekal. Di sinilah letaknya Pejabat Pentadbiran dan Bilik Guru. Terdapat beberapa blok bangunan yang baru dibina bagi memenuhi keperluan murid yang kian bertambah. Dewan sekolah juga baru siap dibina. Yang jelas, ciri-ciri asal SM Ahmad masih ada di sana-sini. Bilangan guru tidaklah ramai sangat, sesuai dengan bilangan murid. Selain SM Ahmad, sebuah lagi sekolah menengah yang berdekatan ialah SM Abdullah.

Di Pekan, tidak ada kenderaan awam yang masuk ke jalan-jalan kampung. Beca roda tiga pun tak ada. Kereta sewa hanya ada di pusat bandar Pekan. Ketika itu, saya belum mampu memiliki kenderaan sendiri. Lesen memandu pun belum ada pada waktu itu. Saya ke sekolah awal-awal pagi. Berjalan kaki. Walaupun sarat mengandung, tetapi saya rasa sihat dan bertenaga. Maklumlah masa tu masih muda belia....saya anggap itu sebagai aktiviti riadah di pagi hari.

Seminggu selepas itu, Ramadan menjelang tiba. Satu cabaran juga sewaktu balik dari sekolah kerana saya terpaksa berjalan kaki. Kadang-kadang rasa penat dan termengah-mengah juga. Nasib baik ada seorang guru senior di sekolah tu (lupa namanya) sering menumpangkan saya hingga ke persimpangan jalan untuk masuk ke rumah saya. Syukur alhamdulillah.

Itulah secebis kenangan yang mewarnai perjalanan hidup sebagai seorang insan yang baru bergelar Cikgu di rantauan, jauh daripada orang yang tersayang...

 

syukur kepada Ilahi kerana sehingga saat ini saya masih diberi kesempatan untuk berbakti kepada nusa dan bangsa....



No comments: