Tuesday, June 5, 2012

Hari Bertugas di sekolah....

Hari ni saya bertugas di sekolah.  Saya sampai di pekarangan sekolah pada pukul 8.00 pagi.  GPK yang bertugas pada hari ini ialah Encik Tan Kia Leng.  


Dari luar pintu masuk sudah nampak ada sebuah bas sekolah berwarna kuning.  Medan letak kereta pula kelihatan murid-murid yang saya tidak kenal sedang sedang duduk memenuhi ruang sambil tekun mendengar taklimat.  Daripada pengalaman tahun lepas, saya dapat meneka bahawa kemungkinan ini merupakan Kem Kewartawanan anjuran akhbar  Sin Chew... tekaan saya tepat sekali.   Ramai juga peserta yang terlibat. 

Semasa saya meninjau-ninjau kawasan persekitaran, saya berseliseh dengan para peserta kem ini.  Bukan seorang dua.  Ramai.  Berseliseh ketika mereka hendak ke kantin.  Bertembung ketika mereka naik turun tangga.  Bersua muka di laluan hadapan pejabat dan bilik guru.....  Mereka berjalan berkumpulan dan beriringan.  Ada yang berjalan berseorangan.  

Yang anehnya, mereka seolah-olah tidak nampak kehadiran saya walaupun dari jauh saya sudah melemparkan senyuman kepada mereka.  Maklumlah, sebagai tuan rumah kita hendaklah menunjukkan kemesraan kepada tetamu kita....  tetapi pelik sungguh.   Saya rasa nak tulis juga di sini walaupun mungkin ada yang kurang bersetuju. 

Ada sesuatu yang membuat saya rasa agak terkilan.  Mereka (mewakili sebahagian besar peserta yang jumlahnya pada mata kasar hampir 200 orang.... hanya seorang dua sahaja yang terkecuali) seolah-seolah tidak nampak "tuan rumah" yang tua ini.  Tuan rumah yang usianya jauh lebih lama daripada mereka.  Agaknya senyuman saya tidak cukup manis untuk mereka membalasnya dengan senyuman juga....!    Sebahagian besar daripada peserta kem itu seolah-olah tidak endahkan langsung kehadiran saya dan beberapa orang warga SMKTP yang ada di sekitar.  Mereka  memandang kami seperti orang asing dari planet lain....!  

Betullah, saya bukan Cikgu mereka.   Mereka tidak kenal saya.  Saya pun tidak kenal mereka, malah inilah kali pertama mereka lihat muka saya dan saya melihat wajah mereka.    Agaknya mereka ingat saya ini tukang sapu di sekolah ini.  Walau tukang sapu sekalipun, apa salahnya mereka senyum.  Tak luak sikit pun dan mereka tak rugi apa-apa.    

Sebenarnya, inilah hakikat yang berlaku dalam kalangan kebanyakan remaja kini.    Tidak tahu menghormati orang yang lebih tua.  Tidak tahu membawa diri di tempat orang.  Pada hal, daripada ampaian di bilik darjah yang mereka 'tumpang' dan daripada beg pakaian yang mereka bawa, saya rasa mereka akan berkampung beberapa hari di SMKTP....!  Tetapi sangat aneh, mereka boleh berkelakuan begitu dengan 'tuan rumah'.... Yelah, siapalah sangat kita ni.  Bukan Cikgu mereka pun....   Ah, biarlah.  Budak-budak.... Biarkan Si Luncai terjun dengan labu-labunya....biarkan...biarkan....!!!!

Di kawasan persekitaran kelihatan pekerja sekolah menjalankan tugas-tugas menceriakan sekolah.  Mencabut rumput, mengecat, menyiram pokok bunga dan lain-lain lagi.    Encik Lokman C.C tekun di pejabat.  Kelihatan juga kelibat En Saberi dan En. Param....

Puan Renuha, Puan Sakina dan Pn Letchumy juga hadir ke sekolah mengendalikan latihan pasukan Choral Speaking dan Drama Panitia BI yang akan bertanding pada minggu pertama sekolah dibuka.   

Mr. Koh dan Encik Firdaus juga ada di sekolah membuat persiapan apa-apa yang patut untuk Kejohanan Padang dan Balapan yang akan diadakan pada minggu ketiga selepas sekolah dibuka...dan...saya sudah diberitahu tugasan pada hari kejohanan tersebut....!

Selepas meninjau-ninjau buat seketika, saya menghabiskan masa di Bilik Guru.   Menyemak kerja kursus Sejarah PMR.  Waktu berlalu begitu pantas.  Sedar-sedar jam sudah menunjukkan pukul 12.30 pagi.   Saya kemudiannya ke dewan blok baru melihat latihan drama BI....




Cuti sekolah sebenarnya banyak kerja sekolah yang boleh dibuat dan perlu dibuat....

No comments: