Thursday, August 16, 2012

Nostalgia Hari Raya : Ibu Kek & Rumah Terbuka


Dua hari lagi seluruh umat Islam akan meraikan Hari Raya Aidilfitri.  Mereka yang berada di perantauan sudah mula beransur pulang ke kampung untuk meraikan hari kemenangan ini bersama keluarga tercinta....  

Dulu-dulu, kalau berkunjung ke rumah orang untuk berhari raya, pasti saya akan terpandang sesuatu yang menarik dihidangkan di atas meja. Benda yang menarik itu ialah kek icing yang cantik yang digelar 'ibu kek'. Ibu kek itu tidak boleh dipotong, apatah lagi dimakan! Ia sekadar menjadi penyeri meja. Di atas kek itu tertulis "Selamat Hari Raya..." Tidak semua rumah ada 'ibu kek'. Keluarga yang menyediakan 'ibu kek' ini dianggap golongan berkemampuan...!

Tapi kini zaman sudah berubah, 'ibu kek' sudah tidak menjadi keutamaan lagi.... digantikan dengan pelbagai jenis juadah yang 'mewah'....

2 Syawal 1432... Wee Saw Lan, sahabat lama datang berkunjung
Dulu-dulu, aktiviti kunjung-mengunjung ke rumah saudara-mara atau sahabat handai untuk meraikan hari raya dilakukan dengan cukup meriah. Kini, aktiviti tersebut masih diteruskan, sekurang-kurangnya untuk beberapa hari pertama bulan Syawal. Cuma, bezanya dulu tidak ada istilah 'Rumah Terbuka'.

Kini, keadaan sudah sedikit berubah.... semua orang sibuk dengan 'rumah terbuka' terutama sekali masyarakat bandar. Bagi perantau yang pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing, setelah mereka kembali ke bandar @ kota tempat mereka mencari rezeki, bermulalah 'majlis rumah terbuka'. Aktiviti pada setiap hujung minggu sehingga berakhirnya Syawal dipenuhi dengan undangan ke majlis 'rumah terbuka'....

Bagaimana jika ada sahabat handai atau sanak saudara yang tidak diundang ke majlis rumah terbuka....? Betulkah yang dijemput sahaja yang akan @ boleh hadir ke majlis tersebut...?

berkumpul beramai-ramai... 2 Syawal 1432
Sebagaimana tahun-tahun sebelum ini, keluarga kami akan berkumpul di 'rumah hinggap' kakak sulung kami (tidak jauh dari rumah Ayahanda Bonda) pada hari raya yang tertentu mengikut kesesuaian masa untuk mengadakan majlis kesyukuran hari raya.  Tahun lepas kami berkumpul pada hari raya ke-2 tetapi tahun ini kami akan berkumpul pada hari raya ke-3... Kami akan menunggu kehadiran sanak saudara, jiran tetangga dan rakan taulan datang beraya.   

Selain meraikan tetamu yang datang berhari raya, majlis kesyukuran hari raya ini akan disempurnakan dengan solat hajat, bacaan tahlil dan doa selamat bersama-sama dengan jemaah Masjid al-Husna Kg Wakaf Sena, Kota yang dijemput khas selepas solat Zohor....

Kami ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri maaf zahir dan batin kepada semua yang sempat 'singgah' di sini.   



No comments: