Monday, August 27, 2012

Tidur yang berkualiti....


Aidilfitri sudah seminggu berlalu.  Sekolah sudah dibuka semula setelah lebih seminggu bercuti.... Perjalanan yang agak lama dari KB - KT - Kuantan agak memenatkan.... 



Hari ini, keletihan saya sudah berkurangan, walaupun masih lagi dihimpit masalah tidur yang tidak berkualiti. Apa yang saya dapat rasakan beberapa hari kebelakangan ini, saya mempunyai kualiti tidur yang kurang baik. 

Jika sebelum ini, saya dapat bangkit pada awal pagi, badan terasa segar dan dapat melakukan segala kerja yang patut. Tetapi sekarang kebiasaan tersebut sudah berubah, saya akan bangkit dari tidur hampir waktu subuh dalam keadaan badan yang masih terasa letih dan mata masih lagi mengantuk.

Tidur juga berkaitan dengan minda.  Kualiti tidur dipengaruhi pelbagai faktor, termasuk fizikal, mental dan spiritual.  Bukan berdasarkan jumlah jam yang kita tidur, sebaliknya  tidur dinilai melalui perasaan selesa, ketenteraman jiwa serta kepuasan diri yang kita peroleh.

Kadangkala , saya teringat satu kata-kata, tilam yang empuk belum pasti dapat memberikan kita tidur yang lena. Saya benar-benar setuju, kerana saya mempunyai habit boleh tidur di mana-mana asalkan saya mengantuk, jadi tilam empuk sudah tidak penting lagi.

Berbalik pada kualiti tidur. Apa yang dimaksudkan dengan kualiti tidur, kita boleh tidur dengan lena, walaupun dalam masa yang singkat. Apabila bangkit dari tidur, badan kita akan berasa segar, gembira dan tenteram.

Apabila kita tidur, minda separa sedar, akan berada di peringkat theta.  Tetapi apabila kita tidur dengan lena minda kita akan berada diperingkat delta.  Kalau nak rasa peringkat delta, buat operation, kerana selepas dibius, anda akan tidur dengan betul-betul lena. 

Apa pun, tidur yang berkualiti penting untuk kesihatan, selain menjaga pemakanan , tidur juga perlu kita jaga.   Jagalah kualiti tidur anda.

 Hari ini , hari pertama kami berpuasa sunat bulan Syawal.


No comments: