Tuesday, August 7, 2012

TKA : Apa kata mereka... Ini kata saya....


Hari ini hari ke-18 umat Islam berpuasa.  Hari ini ada sedikit kelapangan dan ada 'mood' untuk mencatat sesuatu... berkaitan dengan buah tangan Puan Raudzah @ Roza Roslan... 

Travelog ke-3 Roza, 'Travelog Kehidupan Abadi: Perjalanan Menuju Dewasa' sudah selesai dibaca.  Dibaca dengan hati dan perasaan.  Saya tidak pernah jemu menatap dan menghayati setiap baris tulisan helai demi helai sehingga nokhtah terakhir.

Travelog ini merupakan siri ketiga selepas Travelog Cinta Abadi dan Travelog Impian Abadi...

Sebenarnya saya "mengenali" Roza sejak tahun 2009 melalui blognya "Hidup itu Indah : Kenangan cerita diri..." itu pun setelah "bertemu" dengan "Kehidupan Ringkas Tapi Signifikan" (KRTS) yang menjadi destinasi 'wajib singgah' pada setiap hari sejak 2009.  

Sekitar pertengahan 2010....saya berasa sangat bertuah kerana dipelawa oleh Roza untuk membaca manuskrip Travelognya (akhirnya menghasilkan TIA dan TKA) selepas TCA dan saya diminta memberi sedikit pandangan.  Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, saya terus menerimanya...ibarat kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan....!  

Ini kata saya ....
...Roza bercerita dengan gaya mudah dan bersahaja.  Ia seolah-olah air sungai yang mengalir tenang, sesekali bergelombang apabila dihalang oleh batu-batu sungai.  Ia kembali tenang, bergelora semula, dan berselang-seling sehingga tidak langsung menyedari bahawa air yang mengalir itu sudah sampai ke muara sungai....

Dalam santai bercerita, Roza sentiasa menyelitkan unsur-unsur ketuhanan dan kemanusiaan yang menyentuh jiwa.  Malah, mesej yang mahu disampaikan begitu tersirat.  Di sana-sini ada teguran spontan tetapi sinis berupa kritikan sosial yang dapat dijadikan pengajaran kepada pembaca pada semua peringkat umur.

Itu kekuatan sebenar Travelog Kehidupan Abadi : Perjalanan Menuju Dewasa.

Perkaitan hubungan antara manusia dengan Tuhan dipaparkan secara berterusan dalam setiap penceritaannya.  Ia cukup lembut dan bersahaja.  Setiap kejadian dikaitkan dengan keagungan, kebesaran, dan kekuasaan Allah, serta rasa cinta dan kasih sayang Allah kepada hamba-Nya.  Ia menyebabkan saya dan pembaca terpesan untuk sentiasa mensyukuri rahmat dan nikmat Allah.  Roza sebenarnya berdakwah secara halus!

Kali ini Roza mengakhiri catatannya penuh simbolik.

"Pulanglah... belajarlah berenang.  Awak tidak akan ke mana-mana sekiranya tidak menggerakkan kaki, tangan, dan menggunakan kepala...."

Semoga manifestasi daripada 'pesanan' di atas dapat kita 'temui'  dalam travelog seterusnya.  Tahniah buat Roza....

Itulah kata saya....

Kini, beberapa orang sahabat di sekolah sudah mula 'berkenalan' dengan buah tangan Roza ini.  Mereka cuba mencari TCA dan TIA untuk melengkapkan siri pengalaman hidup yang dilalui oleh penulis.  Kata mereka, beberapa kedai buku di Kuantan sudah dijengok.  Popular Book Store di Megamall sudah, Kedai Buku Ansar di Kuantan Parade juga sudah dijengok, tetapi mereka kata kedua-dua buku itu sudah habis terjual. Nanti saya akan cadangkan kepada mereka supaya mencarinya di Kedai Buku Hamid Bros, manalah tahu kalau-kalau masih ada terselit di rak buku di kedai tersebut....

Kalau tak ada juga, bolehlah pinjam daripada saya.... Memang tidak rugi memilikinya. 

"Anda perlu membaca ketiga-tiganya bagi melihat suatu kembara kehidupan yang mengajar banyak erti cinta, kasih, dan sayang antara sesama manusia dan manusia dengan Penciptanya....  Bacalah dengan minda yang terbuka..!
- Kata Pengantar daripada Prof. Dr. Hatta Azad Khan

No comments: