Thursday, June 27, 2013

TEMASYA KALI YANG KE-44...

Hari ini, 27 JUN 2013, selesailah sudah temasya Kejohanan Padang dan Balapan Tahunan SMK Tanah Putih kali yang ke-44.  Tahun ini merupakan kali kedua temasya ini dilangsungkan di Kompleks Sukan UIAM, Kuantan.  Sebelum ini, kejohanan yang sama diadakan di Stadium Darul Makmur.
 

Seperti mana tahun lepas, pada tahun ini saya masih ditugaskan di meja JURUHEBOH..... 

Pada tahun ini, upacara pembukaan perasmian dijalankan tanpa perbarisan lintas hormat Pasukan Unit Beruniform dan Pasukan Rumah Sukan yang bertanding.   Ini bertujuan untuk memendekkan masa berada di tempat terbuka kerana jerebu yang masih belum 'pergi' sepenuhnya.  Jadi, pihak sekolah telah mengambil keputusan untuk 'meringkaskan' upacara pembukaan.   



Walau bagaimanapun, kemeriahan dan kehangatan temasya tetap dirasai oleh warga SMK Tanah Putih.  Pasukan pancaragam sekolah dengan uniformnya yang baru terus segak memainkan muzik mengiringi lagu Negaraku, Lagu Negeri Pahang dan Lagu Sekolah.

ucapan perasmian temasya oleh YH Dato' Seri Peter Cheah...

Seperti biasa, temasya pada kali ini juga dirasmikan oleh YH Dato' Seri Peter Cheah, Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah.  Upacara melafazkan ikrar kejohanan pada tahun ini disempurnakan oleh SAUDARA TAY VILLON dari Tingkatan 5M2 yang kemudiannya muncul sebagai Olahragawan Harapan Kategori A di akhir temasya Kejohanan Padang dan Balapan tahun ini.

Acara pertama pada pagi ini, iaitu acara 100 meter akhir Lelaki dan Perempuan Kategori A, B dan C dimulakan tepat pada pukul 8.30 pagi.  Matahari yang memancar terik seawal pukul 8.30 pagi memaksa kami meneruskan acara tanpa berhenti rehat untuk membolehkan temasya bersurai lebih awal.    Acara terakhir iaitu acara 4 x 400 meter Lelaki A tamat lebih kurang pada pukul 11.20 pagi.    
ucapan penutupan oleh YDP PIBG SMK Tanah Putih....

Ucapan penutupan temasya kejohanan Padang dan Balapan SMKTP kali ke-44 ini disampaikan oleh Yang Berbahagia ENCIK CHIANG SEE HON, YDP PIBG SMK Tanah Putih.  Beliau seterusnya menyempurnakan upacara penyampaian hadiah khas kejohanan.  



Hadiah untuk acara larian yang dilangsungkan pagi tadi dan juga acara padang yang diadakan sebelum ini akan diadakan di dewan sekolah semasa perhimpunan pada minggu hadapan bagi mengelakkan para atlet dan pelajar berjemur lebih lama di bawah panahan terik matahari.


Berikut ialah senarai pemenang hadiah utama kejohanan :

1) OLAHRAGAWAN HARAPAN  - KATEGORI C - Mohamad Amirul Hazwan (Hijau)
2) OLAHRAGAWATI HARAPAN - KATEGORI C - Chong Chuo Tong (Hijau)
3) OLAHRAGAWAN HARAPAN - KATEGORI B - Hoe Man Teck (Merah)
4) OLAHRAGAWATI HARAPAN - KATEGORI B - Vinashini a/p Bhaskaran (Biru)
5) OLAHRAGAWAN HARAPAN - KATEGORI A - Tay Villon (Merah)
6) OLAHRAWAWATI HARAPAN - KATEGORI A - Wee Pei Voon (Biru)
7) OLAHRAGAWAN SMKTP 2013 - Sritharan (Biru)
8) OLAHRAGAWATI SMKTP 2013 - Choi Yi Ling (Merah)
 
KEPUTUSAN KESELURUHAN :

JOHAN - RUMAH BIRU (216)
NAIB JOHAN - RUMAH MERAH (199)
TEMPAT KETIGA - RUMAH HIJAU (173)
TEMPAT KEEMPAT - RUMAH KUNING (138)


Sekalung tahniah diucapkan kepada semua atlet yang bertanding.  Walaupun tidak banyak latihan dijalankan oleh para atlet, namun begitu pada kejohanan kali ke-44 ini banyak rekod baru sekolah tercipta.  Tahniah sekali lagi diucapkan kepada para pemenang.

Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menjayakan temasya Kejohanan Padang dan Balapan kali ke-44 ini.

Selesailah sudah satu babak....ada beberapa babak lagi yang menanti.....


 

No comments: