Sunday, February 2, 2014

Bertemu Cinta Hati...


Terkenang akan keletahnya yang makin galak, rindu menjadi semakin sarat.  Jarak dan ruang waktu tidak mengizinkan kami kerap bertamu untuk bertemu Hannan.  Hanya gambar yang dititip bisa mengubat rindu yang sering bersarang di hati kami.


Dini hari awal Februari yang nyaman.  Usai solat Subuh kami terus bertolak ke Banggol Peradong, buat memenuhi undangan majlis kesyukuran sempena perkahwinan Dik Sue, puteri kepada besan kami, Abe Him dan Kak Ha.  Tidak sabar rasanya untuk sampai ke sana.  Di sana, ada Cintahati kami... Hannan, Emi dan Na.... Ingin cepat-cepat kuleraikan rindu ini, tak terdaya lagi hendak kukendung.   


Seperti yang dijangka, saat awal pertemuan, Hannan susah untuk kami dekati....kami amat faham dan sentiasa bersedia, inilah hakikat yang perlu kami terima.  Sabarlah wahai hati.

Rindu kami terlerai jua akhirnya pabila melihat kelibat Hannan dan mata bertemu mata, biarpun belum boleh dipangku, dipeluk dan dicium....


Dalam keriuhan majlis yang meriah itu, dapat juga kupujuk Hannan untuk berada di sampingku.  Duduk di atas ribaanku, bergurau senda buat seketika sambil melayan keletahnya.  


Walaupun berat hatiku untuk meninggalkan Cintahati kami, tetapi kami terpaksa beredar juga ketika matahari sudah mula condong ke barat.  Kami meninggalkan BP tatkala Hannan diulit mimpi siang hari yang indah di bilik peraduannya.  


Pastinya seperti ada yang tertinggal di sana....




No comments: