Saturday, May 30, 2009

@ Sentul

Malam tadi sampai Sentul pukul 11.00 malam. Along Aina dan Cik Ha sedia menunggu kami di muka pintu. Cik Anggerik tak ada - kursus BTN di Rembau, hari Isnin baru balik. Kami borak-borak sekejab sebelum mata mengantuk.

Pagi tadi ke Plaza Low Yatt dan Times Square - pergi dengan LRT dan monorail. Beli kasut Adik dan satu dua benda lagi. Hari ni Abe ada kelas. Pagi tadi hubby hantar dan tadi dia balik naik teksi. Belum turun lagi dari Menara Orchid. Nasi bungkusnya masih di atas meja....

Petang ni barulah kami beredar ke Bukit Serdang. Tak sabar untuk jumpa anak buah yang paling 'cute' kat sana. Ika tunggu CikLa ye... Untuk Along Tasya, Cik La ada bawa kertas soalan Peperiksaan Pertengahan Tahun PPD Kuantan. Nanti bolehlah jawab sebagai ulangkaji.

Jumpa di sana nanti....

Friday, May 29, 2009

Selesai sudah...

Semalam, aku telah menyiapkan kerja-kerja pemeriksaan kertas jawapan murid-murid kesayanganku. Ambil masa juga untuk menanda esei/ karangan. Dalam masa 3 hari aku 'pulun' habis-habisan untuk menyiap kertas jawapan bagi 5 kelas - menanda sambil menemankan anak bujang menonton perlawanan MU vs Barca. Kalau tak bangun pukul 3 pagi, risau tak sempat siap nanti. Semua markah telah telah selamat dimasukkan ke dalam Buku Markah tengah hari semalam. Masa cuti nanti S/U Peperiksaan akan 'kerjakan' lah semua markah itu...

Malam tadi aku mula mengemas barang keperluan untuk dibawa nanti. Bila kerja sekolah dah siap, barulah fikiran jadi tenang dan boleh buat kerja lain. Petang ni nak semak kalau-kalau ada yang tertinggal.

Malam nanti kami akan bertolak ke KL. Bermalam di rumah Cik Anggerek dan Cik Ha di Sentul untuk berjumpa Abe. Esok sebelum Asar akan ke rumah Noni di Bukit Serdang. Penerbangan kami pada 31 MEI pukul 3.30 pagi...

Semoga Allah s.w.t permudahkan perjalanan kami pergi dan balik serta memudahkan segala urusan ibadat kami di sana nanti.

Wednesday, May 27, 2009

Mengejar Masa

Peperiksaan Pertengahan Tahun sudah bermula. Aku sudah mendapat semua kertas jawapan. Beberapa hari ini aku terpaksa luangkan lebih masa untuk memeriksa kertas anak-anak didik kesayanganku. Insyaallah aku akan menyerahkan markah sebelum hari Jumaat.

Monday, May 25, 2009

Motivasi Haji - Manfaat Bersama


Pagi tadi, semasa sarapan di kantin sekolah, terdengar sosek-sosek beberapa orang rakan guru bercerita tentang VCD Motivasi Haji Prof Kamil. Ada seorang rakan yang memegang VCD tu, dan aku ternampak ada tandatangan di cover VCD. Aku buat tak kisah aje... dalam hati berkata-kata, alhamdulillah, mereka juga telah 'berjumpa' dengan sebutir lagi 'permata ilmu'. Beberapa minggu lepas, aku ada berikan VCD tu kepada beberapa orang rakan guru dan staf di sekolah. Aku membuat andaian, agaknya ada yang meminjamkan kepada mereka.

Sambil-sambil makan tu, tiba-tiba ada seorang rakan guru menyebut namaku dan bertanya dari mana aku dapat VCD tu, dan di mana boleh mereka beli...? Jadi, aku jelaskanlah lebih kurang kepada mereka. Cuma aku beritahu pesanan istimewa tu dah habis, tawaran sehingga pertengahan Mei saja... Aku suruh mereka cari di kedai buku di sekitar Kuantan ni seperti di Hamid Bros, Pustaka Ansar dan Popular. Aku beritahu mereka bahawa penceramah tersebut pernah datang ke surau Taman Guru bulan Disember lepas. (sebenarnya aku sendiri pun terlepas peluang itu kerana tidak ada di Kuantan masa tu...)

Sebelum balik tadi, PK HEM berjumpa denganku atas urusan program RIMUP. Beliau menceritakan kepadaku aktiviti LADAP pada hari Sabtu lepas. Lalu keluarlah cerita pasal VCD tu... Sebenarnya, Puan PK HEM telah memberi cadangan untuk menayangkan VCD Motivasi Haji di Bilik Tayangan (yang saya hadiahkan kepadanya beberapa minggu lepas) bagi mengisi slot sebelum makan tengah hari pada hari itu.

Akhirnya terjawab teka-teki sewaktu di kantin pagi tadi... Alhamdulillah, saya rasa sungguh berbesar hati dan bersyukur sangat kerana 'sumbangan' yang sedikit itu dapat dikongsi dan dimanfaat bersama rakan-rakan. Sesungguhnya VCD itu memberi motivasi kepada kami semua. Terima kasih Prof !

Balik kampung...


Hari Jumaat lepas, kami balik ke kampung halaman. Ada beberapa perkara yang perlu dibereskan. Sebenarnya pada hari Sabtu ada LADAP (Panitia) di sekolah, jadi terpaksalah mengecualikan diri.

Kami bertolak dari Kuantan lepas Jumaat dan sampai di TMerah menjelang maghrib. Malam tu kami bermalam di rumah Mek Kiah.

Pagi-pagi lagi esoknya, kami ke rumah Ustaz di PMas. Kami di sana sehingga hampir Zohor. Lepas tu, kami singgah di rumah Mama sekejab sebelum ke KB. Emi nak x-ray lututnya, jadi kami ke KBMC. Hubby pula pergi ke klinik pakar kulit untuk mengambil ubat.

Sebelum balik ke rumah Mama, kami singgah di farmasi (sebelah pasar MPKB) untuk beli ubat-ubatan yang diperlukan nanti....

Pagi Ahad, selepas bersarapan dengan nasi berlauk dan kuih cik mek molek, yang Papa beli di kedai Kak Nah, kami ke pejabat lawyer untuk selesaikan beberapa perkara berkait dengan jual beli tanah di Kg. Parit Cina, Padang Sakar, Salor. Alhamdulillah, dalam masa tak sampai 2 bulan semua urusan beres... terima kasih Cik Ngah Intan Juliana.

Sebelum bertolak balik, banyak nasihat dan tunjuk ajar yang diberikan oleh Mama dan Papa... terima kasih, akan kubawa bersama segala ingatan dan panduan yang diberi.

Kami selamat sampai di Kuantan hampir pukul 10.00 malam. Boleh tahan juga penatnya...

Foto : Papa, Mama & Mek Kiah - terima kasih atas doa kalian.

Tuesday, May 19, 2009

Tentang Hati (ii)

Beberapa karakter atau ciri hati yang selamat; iaitu hati tersebut diisi dengan : keikhlasan, ilmu, keyakinan, kecintaan kepada kebaikan dan menganggap kebaikan itu sesuatu yang indah di dalam hatinya, keinginan dan kecintaannya sentiasa mengikuti apa yang Allah cintai, begitu pula hawa nafsunya tunduk mengikut ajaran yang Allah berikan. (lihat Tafsir Al-Karim Ar-Rahman, hal. 593).

Hati tidak akan benar-benar selamat kecuali jika terbebas daripada lima perkara; [1] syirik yang melemahkan tauhid, [2] bidaah yang menyimpangkan dari As-Sunnah, [3] menuruti keinginan nafsu yang membuat seseorang itu berpaling daripada perintah (syariat), [4] kelalaian yang membuat zikir terbengkalai, [5] hawa nafsu yang mengikis kemurnian ibadah dan keikhlasan.

Sebahagian orang bijak mengatakan,

“Bukankah apabila orang yang sakit itu dihalangi dari makan dan minum serta tidak bekalkan ubat maka dia akan mati?”.

Mereka (teman-temannya) menjawab, “Benar.”

Lalu dia mengatakan,

“Maka demikian pula hati; apabila ia terhalang daripada memperoleh ilmu dan hikmah selama tiga hari nescaya hati itu juga mati.”

TENTANG HATI (i)

HATI itu tamsilnya kerikil-kerikil yang keras atau barangkali seperti kerak nasi. Tidakpun, laksana bobok kopi, lebih teruk bak belakang kuali yang hitam berkarat. Atau mungkin seumpama kapas yang putih bersih.

Kalau sudah jadi kerikil, payahlah. Kalau baru melekat di belakang kuali masih dapat dikikis sebelum berkarat dan likat. Alangkah indahnya kalau hati seputih salji atau sehalus dan sesuci kapas di pokok yang belum jatuh ke tanah.

Hati manusia yang paling payah untuk dipimpin sebab hati manusia sentiasa berbolak balik.

Berdoalah setiap masa supaya hati kita sentiasa bersih, putih dan bercahaya dan tidak bolak balik. Nescaya semua pekerjaan menjadi baik belaka.

Saturday, May 16, 2009

Hari Guru 2002 & Abe








Buat pertama kalinya, saya tidak dapat menyambut perayaan Hari Guru Peringkat Sekolah pada tahun 2002. Masa tu, saya menetap di BPJengka dan bertugas di SMK Jengka 2.

Alkisahnya, pada 15 MEI 2002 saya dan hubby membawa Abe untuk mendapat rawatan lanjut di Hospital Pantai Ayer Keroh, Melaka. Masa tu Abe di Ting. 4 di SMK Jengka Pusat. Abe dirujuk ke bahagian Neurologi Hospital Pantai setelah mendapat rawatan awal di Klinik Ghazali, Jengka. Kami menjangkakan setelah pemeriksaan dibuat oleh doktor di sana, kami boleh balik ke rumah pada hari yang sama, tak terfikir Abe akan dimasukkan ke wad. Kami pergi sehelai sepinggang, jadi terpaksalah membeli beberapa helai baju di Jaya Jusco Ayer Keroh. Abe dimasukkan ke wad selama 4 hari.

Akhirnya, saya tidak berkesempatan untuk menyambut Hari Guru di SMKJ2 pada tersebut.

Setiap kali menjelang Hari Guru, saya akan terkenang kepada Abe.

Pada 16 MEI 2002, bermula rawatannya di hospital setelah kesihatannya terganggu sejak pertengahan April 2002. Akibatnya, dia terpaksa menangguhkan pelajarannya untuk beberapa tahun....

Sebenarnya, setelah tiga kali keluar masuk Hospital Pantai, penyakit Abe tidak dapat dikesan melalui rawatan moden. Setelah dirujuk kepada pakar jiwa, dan didapati tiada 'kes', kami disarankan agar berubat secara tradisional. Bermula bulan Ogos 2002, kami berusaha secara perubatan alternatif - perubatan Islam dan tradisional, sehingga membawa kami ke Darul Syifa, Bangi.

Sesungguhnya, kita hanya merancang, DIA-lah yang menentukannya. Ujian dan dugaan ada di mana-mana. Ujian Allah mendekatkan lagi kita kepada-NYA.

Foto : Abe yang sentiasa ceria...

Friday, May 15, 2009

BERGURU



Berguru dengan guru

Berguru dengan Tok Guru

Berguru dengan kitab @ buku

Berguru dengan pengalaman....


" Guru Petunjuk Ilmu -
Guru Pembina Negara Bangsa"


SELAMAT HARI GURU - 16 MEI 2009


Foto : Kenangan bersama Pengetua & guru SMK Taman Maluri 1989

Kenangan Bersama Mama (i)



Dalam menyusuri jalan pulang, banyak peristiwa yang kualami. Ada yang sudah hilang daripada memori, ada yang masih samar-samar dalam ingatan dan ada yang tetap segar seolah-olah baru semalam berlaku.

1968 - walaupun aku baru berusia 6 tahun ketika itu, kenangan tersebut terus kekal dalam memori. Kadang-kadang ia menerjah kotak fikiranku tanpa sedar. Terkenang seorang diri. Kalau Mama bisa membaca coretan ini, aku pasti dia juga akan terkenang akan sebuah ceritera kehidupan yang cukup menguji ketabahan seorang insan. Sesungguhnya semua ujian itu datangnya daripada Allah s.w.t.

Aku tidak ingat berapa haribulan, tetapi waktu itu tinggal beberapa hari lagi menjelangnya Hari Raya Aidil Fitri. Mama membawaku dan Noni (yang ketika itu baru berusia 4 tahun) pergi ke rumah seorang waris di Kg Sungai Keladi, Kota Bharu. Sebelum ni kami tidak pernah ke rumah tu. Kak Ros tinggal bersama Papa di rumah. Jadi, peristiwa ini hanya tersimpan dalam lipatan memoriku. Aku tidak pasti Noni boleh ingat atau masih ingat akan peristiwa ini. K.Ros tentu sekali tidak terkesan dalam hatinya kerana dia tidak bersama Mama ketika itu. (Mungkin dia ada kenangan yang lain bersama Papa) Apatah lagi 6 orang adik yang terkemudian, mereka hanya hadir menceriakan keluarga kami beberapa tahun selepas itu.

Sebagai kanak-kanak, aku berasa seronok juga tinggal beberapa malam di Kg Sungai Keladi. Pada waktu malam ada kanak-kanak pergi mengaji Quran di rumah saudaraku itu. Bunyi mercun berdentam dentum memeriahkan suasana, maklumlah beberapa hari lagi, umat Islam akan menyambut Hari Raya.

Rumah warisku itu letaknya di tepi Sg Keladi, berdekatan dengan Kilang Manchis yang terbesar di Kelantan ketika itu. (Kini, kilang tu dah tak ada lagi, orang pun dah tak ramai guna mancis....)

Rumah tersebut juga berhampiran dengan sebuah jambatan yang menghubungkan bandar Kota Bharu dengan Kg Cina, menghala ke Kampung Penambang dan ke Kg. Semut Api (kini dikenali sebagai Pantai Cinta Berahi). Dulu, jambatan itu dibuat daripada kayu, apabila kenderaan melalui jambatan kayu itu, bunyinya amat membingitkan. Boleh mengganggu tidurku. Terasa asing sangat berbanding dengan tempat tinggalku di Kg. Kota, yang jauh daripada kesibukan kenderaan.

Sungai di belakang rumah itu menjadi tempat untuk mandi manda, membasuh pakaian, dan juga urusan peribadi yang lain. Ada sebuah 'rumah' kecil di tepi tebing sungai itu. Sungainya taklah luas sangat, tak seperti Sungai Kelantan di belakang rumahku di Kg Kota.

Diringkaskan cerita, setelah 2 malam di Kg Sungai Keladi, Mama membawa aku dan Noni ke rumah Atuk saudaraku di Kg. Bukit Panau, Tanah Merah untuk menyambut Aidil Fitri. Tok Nik Seman, satu-satunya atuk saudara sebelah Mama rasanya sudah sedia maklum apa yang berlaku.

Aidil Fitri disambut seperti biasa. Aku dan Noni mengikut Tok Nik ke masjid Bukit Panau dan ke kubur pada sebelah paginya. Masjid tu letaknya di tepi Jalan P.Mas - T.Merah. Sehingga hari ini apabila melalui jalan tersebut menuju ke rumah Mek di Batang Merbau, Tanah Merah, nostalgia 40 tahun yang lalu kembali singgah dalam kotak ingatanku.

Sepanjang bersama Mama di Kg. Sg Keladi dan di rumah Tok Nik, aku lihat Mama tidak ceria sebagaimana kebiasaannya. Apalah yang boleh dimengertikan sangat oleh seorang kanak-kanak yang berusia 6 tahun ini. Dalam diam, aku memerhatikan Mama. Mama tabah menghadapi setiap dugaan yang mendatang. 2 hari selepas itu, Tok Nik telah membawa Mama, aku dan Noni balik ke rumah kami di Kg Kota.

Setelah usia meningkat, aku semakin mengerti kemelut yang Mama hadapi. Walaupun masih di usia kanak-kanak, mungkin disebabkan aku anak yang kedua selepas kakak yang beza umur hanya setahun, aku menjadi cepat matang dan cepat memahami apa yang berlaku.

Itulah secebis kenangan bersama Mama yang akan tersimpan kemas dalam album kenanganku sampai bila-bila. Sebahagiannya, akan terus menjadi rahsia peribadi....

Aku bersyukur kerana mempunyai seorang Mama yang tidak pernah jemu memberi semangat dan kekuatan kepada kami anak-anaknya, walau dalam apa keadaan sekalipun.

Sebutir permata tidak akan berkilat tanpa digosok, begitu juga seorang insan, tidak akan sempurna tanpa ujian kehidupan.

Sesungguhnya Allah s.w.t sentiasa menguji ketabahan dan kesabaran hamba-NYA.


Foto : 1) Bersama Papa & Mama di Pantai Sabak (1967), bersama Tok Nik di rumah Mama (2001), 2) Atok dengan Tok Nik Seman (1993)

HARI SABTU DI BPJENGKA

Hari Sabtu merupakan 'hari besar' kepada segolongan masyarakat Jengka, terutama masyarakat peneroka. Pasar Malam di Bandar Pusat Jengka pada hari Sabtu menjadi tumpuan ramai penduduk Jengka. Penuntut UiTM Jengka juga akan 'turun' ramai-ramai ke pasar malam itu untuk bertukar selera setelah seminggu dihidangkan dengan menu yang hampir sama di asrama. Bas UiTM / van penumpang persendirian akan berulang-alik memunggah mereka seawal pukul 4 petang.

Hari Sabtu di BPJengka menjadi lebih meriah semasa Ekspo Perdagangan diadakan. Banyak gerai jualan disediakan untuk menjual pelbagai jenis barangan keperluan khususnya bagi masyarakat peneroka di Jengka. Biasanya ekspo ini berlangsung untuk beberapa minggu, kadang-kadang mencecah lebih daripada sebulan. Dalam setahun, adalah beberapa kali diadakan. Maklumlah, di Jengka tidak ada East Coast Mall atau Parkson atau Pasar raya Giant atau Carefour....!

BP Jengka juga kerap menjadi tuan rumah bagi beberapa pertandingan yang menjadi minat masyarakat setempat. Saya masih ingat semasa pertandingan Tomoi Siam dan Perlawanan Sepak Takraw peringkat negeri, suasana BP Jengka menjadi sungguh meriah. Ramai pengunjung dari luar daerah memenuhi BPJengka.

BPJengka juga menjadi sibuk semasa musim pendaftaran penutut baru di UiTM. Mulai tahun ni, bertambah satu lagi pusat pengajian tinggi dengan pembukaan Pusat Matrikulasi yang baru bersebelahan dengan kampus UiTM (dulunya SM Teknik Jengka, yang beroperasi untuk beberapa tahun sahaja : 2004-2008).

Suasana sebegini sebenarnya memberi peluang perniagaan yang memberangsangkan kepada penduduk setempat, terutama pengusaha kedai makan (gerai & restoran) yang banyak terdapat di BPJengka.

Satu masalah yang timbul apabila ramai orang luar berkunjung ke BPJengka ialah kekurangan tempat penginapan. Yang ada hanyalah Mercu View Resort, Rumah Tamu UiTM dan beberapa unit Rumah Rehat yang diubahsuai daripada rumah kedai. Kadang-kadang pengunjung terpaksa menginap di Jerantut ataupun di Tekam Resort yang letaknya lebih daripada 20km dari BPJengka.

Petang ni, sepatutnya saya ke Jengka, bermalam di sana, tengah hari esok balik semua ke Kuantan. Tujuannya adalah untuk mengambil Adik yang akan sampai di kampus UiTM pada awal pagi esok. Adik bersama penuntut 'dean list' mengikuti kursus di Langkawi, mulai hari Ahad lepas. Mereka dijangka sampai di UiTM pada pukul 3 pagi esok.

Pada mulanya suami bercadang agar kami terus sahaja ke Jengka, tak perlu buat tempahan bilik! Sambil berseloroh, saya katakan lebih baik telefon dulu, manalah tahu ada program PM baru singgah di Jengka, pasti bilik penuh. Dia seperti yakin sangat tak ramai orang luar di BPJengka sekarang sebab UiTM sudah mula bercuti....

Jangkaannya meleset, bila telefon Mercu View, rupa-rupanya bilik sudah 'f'ully booked' sejak hari Selasa lagi.... nasib baik, kalau tak kenalah tumpang di masjid. Katanya ada 'Konsert....' di sana.

Semuanya berlaku pada hujung minggu. Jadi, kalau nak bermalam di Jengka terutama pada hari Sabtu, perlu buat tempahan awal. Inilah senario yang berlaku di BPJengka

Jadi, terpaksalah ubah program. Kami terpaksa bertolak ke Jengka setelah bas UiTM yang membawa rombongan tu sampai di KL, tak kiralah pukul berapa. Tempoh perjalanan antara KL - Jengka dan Kuantan - Jengka, lebih kurang sama.

Sementara menunggu tu, bolehlah kami membuat 'ulangkaji' doa-doa untuk umrah nanti.

Semuanya DIA-lah yang menentukannya.

Monday, May 11, 2009

WARNA CERMIN DIRI



Warna merupakan ciptaan Allah s.w.t yang sangat cantik. Warna yang terbaik adalah warna pelangi, warna yang Allah s.w.t pamerkan selepas hujan.

Mengapa ketika solat Nabi galakkan memakai pakaian berwarna putih? Ketika peperangan, Nabi memakai pakaian berwarna hitam?

Semua orang mempunyai warna kegemaran. Warna kadang-kadang mencerminkan diri seseorang. Warna juga boleh mempengaruhi seseorang dalam melakukan sesuatu.

Warna diri menggambarkan keadaan kekuatan dan kelemahan diri pemiliknya. Mengetahui rahsia warna, kita akan mengetahui kekuatan, kelebihan serta kelemahan diri yang dialami atau yang akan dilalui pada masa akan datang.

Kelemahan ini apabila dielakkan akan mengelakkan penyakit yang mungkin kita alami. Perlu dijelaskan bahawa penyakit yang dialami berpunca daripada ketidakseimbangan sel yang berlaku di dalam organ tubuh. Mengawal keseimbangan kesemua sel di dalam organ ini secara berkesan dapat mengelakkan diri daripada dijangkiti penyakit. Penyakit ini sebelum terjadi , ia bermula dengan sikap yang negatif seperti degil, pemarah, cepat bosan, hilang arah matlamat, kesedihan dan sebagainya.

Warna diri ini berkait rapat dengan ragam, perangai, tingkah laku, cara berfikir, perasaan, semangat, perlakuan dan tindak tanduk setiap individu. Apabila tidak mengetahui warna diri atau warna alah kepada dirinya, seseorang itu akan menyukai warna-warna tertentu sebagai warna kegemaran yang tanpa disedari itulah lambang kelemahan yang sedang dilaluinya.

Setiap individu mempunyai warna yang melindungi dirinya. Warna pelindung diri ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu bahagian luaran dan dalaman. Warna luaran mendominasikan 80% sifat individu berbanding warna dalaman. Warna diri ini dikenali sebagai aura yang tidak kelihatan yang bertindak sebagai perisai halus atau benteng diri manusia. Warna-warna tersebut mewakili empat level diri manusia iaitu Spiritual (Putih), Emosi (Merah Jambu), Mental (Hijau) dan Fizikal (Biru).

Atas segala sesuatu yang berlaku, hanya Allah s.w.t yang menentukannya...Dekatilah diri kepada-NYA sentiasa.

Saturday, May 9, 2009

Ibu Serikandi Sejati




Setiap insan pasti mempunyai ibu. Misi ibu adalah berjuang dan berkorban untuk kebahagiaan anak-anak dan keluarga tanpa menghiraukan keperitan diri. Tetapi bagi kita, itu adalah lumrah seorang ibu, berkorban untuk keluarga. Kita menganggap tugas mendidik dan membesarkan anak-anak adalah di bawah kewajipan ibu sehingga ada kala kita alpa dan memandang remeh akan pengorbanan ibu.

Tetapi apabila berjauhan ataupun setelah ketiadaan ibu, barulah kita terasa betapa hebatnya ibu kepada kita. Ketika itu, barulah kita terkenang kebaikan ibu.

Kita mula rindukan senyuman ibu, belaian ibu, air tangan masakan ibu yang lazat dan segala keistimewaan yang ada pada ibu.

Sememangnya kehebatan ibu tiada tandingan. Sejak kita dalam kandungan sehinggalah dilahir kan dan membesar, ibu tidak pernah jemu memberi nasihat dan dorongan kepada anak-anaknya untuk dijadikan panduan. Ibu membimbing dan mengajar anak-anaknya supaya berjaya dari segi akademik dan agama.

Perjuangan ibu dalam memberi keselesaan kepada anak-anak tidak pernah padam. Ibu rela mengharungi kepayahan asalkan kehidupan anak-anak selamat dan terjamin.

Ibu adalah serikandi sejati. Ibu berjuang tanpa meminta sebarang balasan. Apa yang diharapkan adalah perjuangannya akan berakhir dengan kebahagiaan keluarga.


"SELAMAT HARI IBU" Mama.

Foto : Mama dulu (1959) dan kini ...

Friday, May 8, 2009

TENTANG CINTA

Setiap insan mempunyai sejarah cinta masing-masing. Ada yang kecewa akibat putus cinta, ada yang cintanya tidak berbalas, ada yang berkorban demi menurut pilihan keluarga dan macam-macam lagi panahan cinta.

Melodi cinta juga berbeza antara satu sama lain. Ada cintanya menjelma pada pandangan pertama, ada yang mencanai rasa cara secret admirer, ada yang berjumpa di perhentian bas, ada yang berputik 'di kampus biru', ada yang bertemu setelah melanggar keretanya, ada yang hanya kenal selepas bernikah, dan pelbagai ceritera lagi.

Setiap kali mengingatkannya, pasti membuatkan kita tersenyum sendirian. Secara tidak langsung membuatkan kita sedar bahawa kita sangat mencintainya suatu ketika dulu.

Jika insan yang anda cintai itu berada di sisi anda kini, cintailah dia selamanya. Jangan biarkan waktu yang berlalu itu membuatkan hubungan menjadi hambar.

Percayalah, mengingatkan kisah cinta lalu mampu menyemarak dan menghangatkan hubungan pada usia yang beransur senja ini. Setiap pengorbanan, suka duka yang dilalui bersama sudah tentu membuatkan kita tidak mudah melupakannya begitu sahaja....

Biarlah kisah cinta kita menjadi rahsia diri ....

Yang pasti, cinta yang abadi adalah cinta kita kepada Yang Maha Esa.

Friday, May 1, 2009

DENGKI & IRI HATI

Masalah dengki merupakan satu penyakit yang kian menular dalam masyarakat kita, dari dulu sehingga sekarang. Saya pasti setiap kita mempunyai pengalaman dengan penyakit dengki dan iri hati dalam keluarga, di tempat kerja dan juga jiran tetangga.

Kadang-kadang penyakit ini boleh memusnahkan seseorang apabila melibatkan bomoh dan pawang. Ia akan menjadi barah yang kronik kalau kita tidak mengambil sikap untuk mendidik "hati" kita supaya menjadi "baik" dalam setiap keadaan.

Akibat dengki dan iri hati, keluarga kami pernah terkena ilmu sihir suatu ketika dahulu. Sekitar tahun 2002 semasa kami menetap di Bandar Pusat Jengka. Salah seorang ahli keluarga (mungkin agak lemah ketika itu) telah 'terkena' gangguan dan terpaksa menangguhkan persekolahan untuk beberapa tahun sehingga kami berpindah ke Kota Bharu. Alhamdulillah, setelah beberapa tahun berikhtiar, Allah telah memakbulkan doa kami. Hanya kepada-NYA kami berserah dan kami redha dengan ujian ini.

Sejak kecil, kita semua dididik untuk menjadi seorang yang baik oleh ibu bapa kita. Saya pula sentiasa ingat pesan ibu bapa saya pada setiap ketika malah setiap hari. Sejak dari kecil saya selalu berbisik pada hati saya, saya mesti jadi baik hari ini, esok pun saya akan berbisik perkara yang sama. Apabila saya sudah dewasa, "saya mesti jadi baik" sentiasa berada di fikiran saya.

Walaupun saya mengalami pelbagai dugaan dalam hidup sejak dari kecil, saya selalu berazam untuk jadi baik dan tidak mahu "kesusahan" hidup memesongkan fokus saya untuk jadi baik. Apabila saya telah biasa dengan sikap untuk jadi baik , ia dengan mudah akan disalurkan kepada pemikiran dan tingkah laku kita.

Saya sentiasa berdoa dan mengingatkan diri saya ....

"Sebagai anak, saya akan jadi anak yang bertanggungjawab; sebagai isteri saya akan sentiasa menjadi isteri yang baik; sebagai ibu saya mesti berusaha menjadikan anak-anak saya berjaya di dunia dan di akhirat; sebagai kakak saya mesti membimbing adik-adik saya, sebagai insan saya mesti terus membantu mereka yang memerlukan, sebagai pendidik saya mesti mempunyai sikap yang jujur serta amanah dalam menjalankan tugas & tanggungjawab...." dan begitulah seterusnya.

Yang penting, kita juga perlu sentiasa bersangka baik dalam apa jua keadaan.

Hanya Allah s.w.t yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui.

Lepas subuh nanti kami akan bertolak balik ke KB untuk beberapa hari... jumpa lagi.