Monday, December 31, 2012

CATATAN DI PENGHUJUNG TAHUN 2012....

Alhamdulillah, saya baru sahaja selesai menyempurnakan tugasan rutin akhir tahun. Lega rasanya....
Syukur juga kerana kita masih diberi kesempatan untuk menghirup udara segar tahun 2012 yang disulami hujan yang masih turun renyai-renyai membasahi bumi.... 

Kita semua tahu, mentari 2012 bakal terbenam dan akan diganti dengan fajar 2013. Tentu sekali banyak kenangan yang terakam dalam memori sepanjang 12 bulan kita berada di tahun 2012. Pasti ada yang manis dan ada juga yang pahit. Semuanya merupakan asam garam kehidupan yang akan terpahat kukuh dalam ingatan sampai bila-bila.

2012 melihat Ayahanda jatuh sakit.  Buat pertama kalinya Ayahanda tiba-tiba diserang 'mild stroke' pada awal April 2012.  Syukur alhamdulillah, kini Papa sudah semakin sihat walaupun masih dalam proses pemulihan.  Papa belum pulih sepenuhnya.   Syukur kepada Ilahi, Papa sempat melihat cicit sulungnya, Hannan yang dilahirkan pada 30 Julai 2012.
Papa di Restoran Sun Hwa, KB bulan lepas...

cicit sulung Papa : FARHAH HANNAN BT. MOHD FAHMI....

Beberapa bulan lepas,  kami adik-beradik telah sepakat untuk membaikpulih teratak Papa & Mama agar mereka berdua dapat berehat dengan lebih tenang dan selesa dalam meniti sisa-sisa usia  yang semakin menipis sebelum dijemput pulang olehNya.   Di teratak  inilah tempat kami dilahir, dididik dan dibesarkan oleh Papa dan Mama.  Kami berasa seronok melihat Papa berehat sambil menghirup udara petang di anjung yang baru dibina itu....

Secara peribadi, 2012 membuka lembaran baru kepada kami sekeluarga. Yang paling indah, tahun ini kami menerima ahli baru dan bakal bertambah lagi ahli baru pada tahun hadapan. Kami memasuki fasa baru dalam kehidupan.... bergelar Tok Ayah dan Mak Tok kepada FARHAH HANNAN, cucu sulung kami dan cicit sulung kepada Papa dan Mama.... 
minggu-minggu awal usia Hannan....

di pagi Aidiladha, Hannan bersama Onyang, pertama kalinya Hannan balik ke KB....

Pada tahun 2012, ketiga-tiga anakanda telah menamatkan pengajian mereka.  Emi sudah mula bekerja di sebuah hospital kerajaan di KT dan Adik sedang menunggu tawaran untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana.

kenangan sempena majlis konvo Emi pada 6 Okt 2012

Adik berjaya menamatkan pengajian di peringkat ijazah pertamanya dengan Kepujian Kelas Pertama pada 1 Dis 2012

Yang lebih manisnya lagi ialah Abe akhirnya berjaya juga menamatkan pengajiannya walapun terpaksa menghadapi pelbagai liku, dugaan dan ujian sejak tahun 2002 lagi.... Semoga kedatangan tahun baharu 2013 nanti, sinar kejayaan dan kebahagiaan dalam hidupnya akan lebih menyerlah.   Abe akan menamatkan zaman solonya pada awal tahun 2013 dengan Siti Nurr Aishah....

majlis pertunangan Abe & Echah pd 4 Syawal yang lepas....

Di penghujung 2012, lebih tepat lagi pada 24 Disember bandar Kuantan dilanda banjir kilat yang berlaku dalam sekelip mata sahaja.  Sekolah tempat saya mencari rezeki dan rumah sementara kami di IM8 dinaiki air bah.   Ketika itu kami berada di kampung menjenguk keluarga tersayang.   Sedikit ujian yang Allah berikan agar kita semakin dekat dengan-Nya.  

air bah di Taman Polo, kawasan kejiranan IM8....
Sesungguhnya, semua peristiwa yang berlaku di sepanjang tahun 2012 akan kami jadikan teladan dan sempadan buat menempuh perjalanan menuju jalan pulang yang masih jauh....

Mungkin ada yang beranggapan bahawa tahun yang bakal berlalu sebagai tahun yang tidak pernah diduga akan hadir di dalam diari hidup mereka, lantaran ujian dan cabaran yang betul-betul menekan jiwa. Jangan lupa, seperti yang selalu diperkatakan orang, ujian dan cabaran ialah rempah ratus kehidupan.

Tanpa ujian dan cabaran, hidup kita akan berlalu bak air yang mencurah keluar daripada pancur, sekadar mencurah turun, tak ada langsung nilai-nilai yang boleh dikenang dan dijadikan teladan.

Sebaliknya, jika perjalanan hidup kita seperti air sungai yang sekejap cetek dan sekejap melimpah ke tebing, kemudian perlu mengharung segala batu, kayu termasuk sampah sarap… ketibaan kita di muara nanti merupakan sesuatu yang amat bermakna.

Paling penting juga, ingatlah, bukan kita seorang sahaja yang diuji. Ada insan lain yang lebih teruk ujiannya daripada kita. Lantas, jadikan ujian Ilahi sebagai pendekat diri kita kepada-Nya dan percayalah…. YANG PAHIT AKAN MANIS AKHIRNYA…

Tak kisahlah apa-apa sekali pun peristiwa yang kita lalui di sepanjang 2012, yang pasti kita perlu bersyukur ke hadrat Ilahi kerana kita masih diberi kesempatan untuk terus melihat fajar tahun baharu yang bakal muncul nanti....

Tahun baharu bermakna usia sudah tidak baharu lagi. Hayat bertambah menjadi semakin lama...baki usia menjadi semakin susut.

SELAMAT TAHUN BAHARU 2013  

Semoga kita semua terus diberi kelapangan dan kekuatan mental serta fizikal bagi membolehkan kita memantapkan amal ibadat buat bekalan di akhirat kelak...juga dapat kita berbakti kepada keluarga, agama dan negara. 

Semoga kita terus berada dalam perlindungan dan kasih sayangNya....Amin. 



Thursday, December 20, 2012

Hannan balik 'kampung' di IM8....



Rindu yang tersimpan beberapa minggu terlerai sudah...



Tengah hari semalam Hannan balik 'kampung' bersama Abah & Mummynya... kebetulan anakanda Fahmi off 3 hari....



Gelagatnya yang semakin keletah membuatkan hati kami terhibur.  Sudah pandai posing....Hannan suka sangat tengok kamera. 

Hannan hadiahkan kek hari jadi untuk Tok Ayahnya.... 


Walaupun hanya satu malam, tetapi cukup untuk mengubat kerinduan kami.





Pagi 19.12.12, saya ke sekolah kerana keputusan PMR akan diumumkan.  Masa tu Hannan baru bangun dari tidur.   Hannan dibawa oleh Abah dan Mummynya ke ECM.  Cik Dya juga ikut sekali.  Katanya nak pergi cari baju Hannan untuk majlis Paklong Ayiehnya nanti....tapi tak ada.  Nantilah, Tok Ayah belikan untuk Hannan....
 
Sekembalinya Hannan dari ECM, lebih kurang pukul 3.00 petang kami sama-sama berkonvoi ke KT..... 

Syukur alhamdulillah....


Tuesday, December 11, 2012

Eeka genap 11 tahun....



11.12.2012...
genaplah 11 TAHUN usianya...
NUR HANIS SHAFIQAH
puteri bongsu

NORBANILAWATEY JUSOH
dan

SAHAZALI AWANG DERAMAN...



Semoga Eeka akan terus menjadi

anak yang solehah.



Selamat

menyambut

ulang tahun

kelahiran.....



Eeka yang sentiasa menghiburkan.....


Daripada : Cik La, Ayah Chik, Abe Faris, Abe Emi & Kak Aina dan Kak Uti....

Saturday, December 1, 2012

ALHAMDULILLAH....syukur kita masih bersama....

Buat suami,
insan yang penuh dengan cinta dan sayang,
ingin kutitipkan ucapan...

"SELAMAT MENYAMBUT ULANG TAHUN KELAHIRAN YANG KE-53..."


Kupanjatkan rasa penuh kesyukuran pada Allah s.w.t. kerana memberikan masa untuk aku mengenali erti kasih sayang dari insan dan Tuhan, menghayati pengorbanan luar biasa yang mencetus keinsafan dan memberikan aku waktu untuk mengecap cinta sedingin salju.  


Lebih bermakna lagi kerana 2013 diraikan bersama ahli baru dalam keluarga, cucunda FARHAH HANNAN BT. MOHD FAHMI yang kini sudah berusia satu tahun setengah dan sudah boleh berjalan laju dengan pelbagai aksi yang menghiburkan.   Kita memasuki satu lagi fasa baru dalam melayari hidup bersama....



Buat suami tercinta, kutujukan doa khusus buatmu. Tika sujud yang panjang, aku memohon agar kehidupanmu sentiasa dalam rahmat Tuhan. Semoga Allah panjangkan umurmu, diberikan kesihatan yang baik dan rezeki yang penuh keberkatan....

Kudoakan, biarlah hanya yang terbaik berlaku dalam kehidupan, dunia dan akhirat bersama kita gapai penuh kesyukuran. Harapan dan impianku, agar aku mampu membuatmu sentiasa tersenyum dan tertawa saat kita bersama meniti usia. Moga Allah berikan aku kekuatan untuk membekalkan tenang dihatimu walaupun ketika hidup kita dihempas gelombang.

Terima kasih Tuhan kerana Kau jadikan dia untukku....
Terima kasih sayang kerana hadirmu begitu membahagiakan....

Wednesday, November 14, 2012

Salam Maal Hirah 1434


Dalam hitungan minit maka tahun hijriah akan terganti dari 1433 menuju 1434, dan dalam hitungan minggu maka tahun masehi juga akan terganti dari 2012 menuju 2013. Alangkah eloknya jika HIJRAH dijadikan iltizam TAHUN BARU 1434H / 2013M...

UMUMNYA hijrah bermaksud berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain atau berubah daripada satu keadaan kepada satu keadaan lain. Dari sudut istilah pula, hijrah bermaksud meninggalkan sesuatu yang dilarang.
Ia berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Habsyi, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah." (Hadis riwayat Abu Dawud)

Maknanya, hijrah difahami sebagai perpindahan daripada suatu keadaan tidak baik kepada keadaan yang lebih baik. Contohnya, meninggalkan ajaran bertentangan dengan Islam dan kembali kepada ajaran Islam sebenar.
Penghijrahan komuniti Muslim pada zaman Rasulullah S.A.W berlaku sebanyak tiga kali. Pertama, hijrah ke Habsyah pada 615 Masihi, kedua juga ke Habsyah pada 617 Masihi dan ketiga ialah hijrah Rasul SAW ke Yathrib pada 622 masihi.
Sesungguhnya penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah telah memberi nafas baru kepada suatu perubahan yang besar dalam sejarah kebangkitan ummah. Penghijrahan beberapa orang sahabat ke Habsyah misalnya adalah sekadar penghijrahan biasa saja bagi melarikan diri dari kezaliman, cemuhan dan seksaan Musyrikin Makkah, dan penghijrahan Rasulullah SAW ke Yathrib adalah penghijrahan yang dilakukan atas arahan dan perintah Allah bagi meneruskan perjuangan untuk menegak, mengukuh dan mempertahankan Islam
Kalangan ulama bersepakat meletakkan peristiwa hijrah sebagai ‘ZAMAN BARU' yang memberi ‘nafas baru’ kepada misi penyebaran Islam. Selain daripada tahun hijrah diguna pakai sebagai penanda TAKWIM BARU umat Islam, hijrah juga menandakan bermulanya method kehidupan baharu melalui pembinaan semula sahsiah dan keperibadian Muslim seperti yang dibentuk dan diperkasakan agama. Perpindahan daripada amalan yang memaparkan kejahilan setelah hilang panduan hidup kepada amalan yang berasaskan disiplin agama yang berpandukan al-Quran.... jadi elok sangatlah HIJRAH dijadikan iltizam tahun baru...
Hari ini dan ketika ini, cerita penghijrahan Rasulullah SAW hanya sekadar catatan yang diabadikan dalam buku sejarah. Seperti cerita-cerita sejarah yang lain, cabaran penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah menjadi rakaman sejarah sekadar untuk dibaca sebagai bekalan bagi menjawab soalan peperiksaan. Lebih malang lagi amalan membaca berasaskan orientasi itu akan lupus selepas zaman persekolahan berakhir. Maka jadilah sejarah penghijrahan yang memberi implikasi yang besar maknanya kepada penyebaran Islam itu dilupakan secara berperingkat, jauh sekali untuk dihayati. Sedangkan inti pati dan mesej penghijrahan itu sangat besar dan amat mendalam pengertiannya di sisi agama.
Sabda Rasulullah yang bermaksud:
“Tiada lagi hijrah sesudah pembukaan kota Makkah, tetapi yang tetap ada ialah jihad dan niat untuk berhijrah (apabila keadaan memaksa) dan apabila dipanggil untuk berjihad (atau sebagainya) hendaklah kamu bersiap sedia.” – (Hadis Riwayat Bukhari)
Fajar tahun Hijrah 1434 yang bakal menjenguk kita nanti diharapkan dapat mengubah persepsi Muslim berkaitan isu itu melalui iltizam yang penuh untuk diterjemahkan ke dalam bentuk pelaksanaan.


Sabda Rasulullah yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang mukmin apabila melakukan dosa bererti ia membuat noda dengan sebuah titik hitam di dalam hatinya. Apabila ia bertaubat, meninggalkan perbuatannya, dan memohon ampun kepada Allah, maka hatinya jernih kembali. Tetapi apabila ia menambah dosanya, maka bertambah pulalah titik hitam itu hingga menutupi seluruh hatinya.” – (Hadis Riwayat Ahmad)
...mengingatkan pada diri ... HIJRAH - iltizamku sambut tahun baru....
"Ya ALLAH jadikanlah sebaik-baik umur saya pada hujungnya, dan sebaik baik amal an saya adalah pada akhirnya dan sebaik-baik hari adalah pada saat saya menemuiMU... Jika esok atau pada tahun hadapan nafas tidak lagi ENGKAU titipkan kepada saya, maka permudahkan saya pada saat sakaratul maut ya ALLAH dan terimalah segala ibadah saya yang tak sempurna ini..." Amin.

Monday, October 29, 2012

Aidiladha : Hannan & Onyang....


10 Zulhijjah 1433 H.  Aidiladha pertama Hannan di Negeri Che Siti Wan Kembang....

Pertama kali Hannan dibawa balik ke tanah kelahiran Abah, Mak Tok dan Tok Ayah, serta Enyang-nyangnya.... 

Alhamdulillah, Enyang Hannan di Kota sempat bersama cicit sulungnya.  Enyang di TM akhirnya sempat meriba Hannan walaupun untuk seketika....

Mama menyambut cicit sulungnya di muka pintu pada pagi Aidiladha....



Sempat juga Papa bertemu dan meriba cicit sulungnya....



Bonda Nik Zakiah bersama Hannan, cicitnya yang ke-6....


pertama kali anakanda Aina dan cucunda Hannan di Batang Merbau....



Alhamdulillah....


Tuesday, October 23, 2012

Senamrobik dan kek.....



Minggu ini hanya dua hari bersekolah, Isnin dan Selasa.  Rabu, 24 Oktober cuti umum sempena Hari Keputeraan KDYMM Al-Sultan Pahang.  Khamis, 25 Oktober pula sekolah mengambil Cuti Peristiwa sempena Hari Raya Aidil Adha yang jatuh pada 26 Oktober 2012.

Selain aktiviti permainan dalaman, badminton dan bola keranjang, aktiviti yang disediakan untuk murid-murid Pra PMR sepanjang minggu selama dua hari ini ialah senamrobik, tilawah al-Quran dan membuat kek coklat.




Aktiviti Panitia BM & BI dan lawatan ke TUDM menyusul selepas hari raya nanti....


Saturday, October 20, 2012

bukan sebarang kayu...


Kayu ini bukan pokok kayu.  Juga tidak bangku kayu, apatah lagi pembaris kayu.  Kayu ini bukan sebarang kayu.  Kayu nama untuk sejenis ubi... makanan ruji nenek moyang era pendudukan Jepun.  


Ubi ... makanan yang enak suatu ketika dulu terutama pada musim bah...makan ramai-ramai adik- beradik. Ada pelbagai jenis ubi... ubi kayu, ubi setelor (keledek), ubi sare, ubi badak, ubi itik, dan ubi keling. Yang paling utama ialah ubi kayu. Pada musim tengkujuh semua ubi perlu digali / dicabut takut ditenggalami air bah.  Ubi kayu boleh juga dibuat tapai.  Nenek Lijah selalu buat tapai ubi kayu yang enak rasanya.

Masih segar dalam ingatan, kami duduk mengelilingi mangkuk besar berisi ubi kayu yang masih berasap serta semangkuk kelapa parut... kadang-kadang sambil berselimut @ berbaju tebal kerana kesejukan....


Ubi kayu ini cukup sinonim dengan orang kampung. Pelbagai masakan yang boleh dihidangkan. Daripada pucuk mudanya boleh dicelur dan dicicah budu atau dibuat kerabu dimakan dengan nasi. Cukup menggodakan selera bila dimakan dengan nasi panas terutama pada musim hujan begini. Suasana makan kena ada, misalnya makan di anjung rumah. Atas pelantar. Tapi hari ni tak banyak rumah moden yang ada pelantar. Kalau di kampung, pelantar sengaja dibuat untuk dijadikan tempat sembang2 pada waktu petang. Sambil bersembang sambil makan, walaupun secawan kopi 'O'.

Khamis lepas, besan kami - Abe Him dan Kak Ha membawa ubi kayu dari KT.  Abe Him rebus ubi kayu semasa singgah sebentar di IM8 untuk membawa anakanda Aina dan cucunda Hannan balik ke KT.  Sedap sungguh makan ubi kayu panas-panas dengan kopi 'O' yang dibancuh oleh Kak Ha.  

Tidak cukup dengan itu, mereka tinggalkan untuk kami ubi kayu yang masih belum direbus.  Hujan-hujan begini sedap juga makan ubi kayu tu....


Friday, October 19, 2012

Aktiviti Pasca PMR 2012 (1)

PMR 2012 yang berlangsung dari 9 - 15 Oktober sudah berlalu.... 

Murid-murid hadir ke sekolah untuk mengikuti pelbagai program yang telah disediakan.  Aktiviti selepas PMR yang dirancang oleh UBK ini sudah pasti memberi banyak manfaat kepada murid.....

Pemulangan buku SPBT diadakan pada hari Rabu (3K7 - 3K13) dan pada hari Khamis (3K1 - 3K6) 

17 Okt 2012 - membantu guru memunggah buku-buku dari bilik Ketua Bidang.... 


menyusun buku....
17 & 18 Okt 2012 ....menerima kunjungan daripada sekumpulan jururawat pelatih....
menunggu giliran untuk menerima suntikan.....
19 Okt 2012 - Ceramah peluang belajar di SM Vokasional....

Satu minggu sudah berakhir, bersambung pula pada minggu hadapan.....



Saturday, October 13, 2012

Seperti Hatiku Dibawa Pergi....

Entah mengapa, hati terasa sayu dan sebak melihat anakanda keduaku bertolak pergi... pergi untuk memulakan fasa baru dalam hidupnya.  Bukannya tidak pernah berpisah dengannya sebelum ini.  Selalu sangat, tetapi perpisahan pada pagi ini terasa syahdu dan  sukar dibayangkan.  Terasa lain sangat....entah mengapa.   

Inilah putaran hidup.  Semua orang akan melaluinya, termasuklah aku sendiri suatu ketika dahulu.  Agaknya, beginilah juga perasaan Mama ketika melepaskan aku untuk hidup sendiri bersama suami dan anak kecilku 26 tahun yang lalu.... 

Yang pasti, selepas ini sudah pasti kami akan jarang-jarang bertemu.   Kesibukan tugas juga akan mengurangkan masa untuk dia bertemu dengan Abe dan Adik kerana ketiga-tiganya berada di tempat yang berasingan....
TAW 6006 meluncur laju menuju destinasi.... pandangan dari IM8

Anakandaku pergi untuk mula bertugas sebagai pegawai pelatih perubatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu selama 2 tahun.  Dia dikehendaki melaporkan diri esok, 14 OKTOBER 2012 -Ahad. 

Lebih kurang pukul 11.30 pagi tadi Anakanda Mohd Fahmi bersama  Nurul Aina dan baby Farhah Hannan yang ditemani oleh Kak Ma bertolak balik ke Kuala Terengganu.    Sebenarnya tinggi harapannya dan juga harapan kami agar dia ditempatkan di HTAA memandangkan anakanda Aina bertugas di UIAM dan mereka baru memulakan hidup berkeluarga di IM8.    Walau apa pun, kami amat bersyukur kepada Ilahi kerana dia ditempatkan di Hospital SNZ, Kuala Terengganu dan bukannya di daerah lain.... Kami percaya ada hikmahnya yang tersembunyi di sebalik penempatannya ini.  Kita hanya merancang tetapi perancangan Allah jauh lebih baik mengatasi segala-galanya.

Anakanda Aina yang mula bertugas di Pusat Pakar UIAM Jun lepas akan melepaskan jawatannya dan akan balik ke KT.    

menunggu Abah dan Mummy bersiap-siap untuk balik ke KT....

Sekurang-kurangnya kami masih ada kesempatan untuk menghabiskan sedikit waktu bersama anakanda Aina dan baby Hannan.  Seminggu, 2 minggu atau 3 minggu lagi....? Belum pasti...!  Yang pasti selepas ini, kami akan merindui mereka bertiga, lebih-lebih lagi baby Hannan.  Ah, 2 jam sahaja untuk ke KT.  Tak jauh.  Apabila rindu semakin sarat, kami pasti akan berkunjung ke sana.... tunggu kami, ya.

Buat Anakanda Mohd Fahmi, kami doakan agar anakanda dapat menyesuaikan diri dengan cepat di tempat bertugas yang baru.  Jalankanlah amanah dan tanggungjawab ini dengan penuh iltizam. Kami doakan agar dipermudahkan segala urusan dan perjalanan kerjaya Anakanda.

Selamat berjaya Anakanda....

...terasa benar seperti hatiku dibawa pergi bersamanya.....



Saturday, October 6, 2012

TAHNIAH ANAKANDA.....



Bersyukur atas rahmat dan nikmatNya....






Disember ini majlis konvokesyen di UiTM pula.... tunggu....





Friday, October 5, 2012

Menjelang PMR 2012.....



Beberapa hari lagi, atau lebih tepat lagi pada 9 OKTOBER 2012, iaitu hari SELASA, peperiksaan PMR akan bermula.

Hari-hari terakhir sebelum PMR, suasana di sekolah agak sibuk. Hari ini Majlis Restu Ilmu dan persiapan dewan dan bilik peperiksaan.

Tepat pukul 7.45 pagi bertempat di dewan yang sama, bermulalah Majlis Restu Ilmu untuk calon PMR 2012. Tujuan majlis ini diadakan adalah untuk memberi peluang kepada murid yang terlibat memohon restu agar guru mendoakan kejayaan mereka.   

Usai ucapan oleh wakil pelajar dan GPK HEM, majlis diakhiri dengan setiap calon peperiksaan PMR menemui setiap guru yang mengajar Ting 3 untuk memohon restu agar mereka memperoleh keberkatan daripada-Nya dan saling bermaaf-maafan. Semua murid Ting. 3 beratur untuk bersalaman dan memohon restu daripada guru-guru. Semoga dengan restu yang diberikan oleh guru-guru, semua murid akan dapat menduduki peperiksaan pada 9hb. ini dengan penuh yakin dan tenang, seterusnya memperoleh kejayaan yang cemerlang.

LAFAZ RESTU DARI GURU
"Kami berdoa dan merestui serta gunakanlah segala ilmu yang telah dicurahkan untuk mencapai kecemerlangan. Kami ikhlas mendidikmu. kami rela melepaskanmu untuk pergi berjuang berbekalkan ilmu yng telah dicurahkan. Gunakanlah sebaik-biknya. Jawapan ada ditanganmu..buatlah yang terbaik..kerana anda adalah yang terbaik bagi kami...selamat berjuang"
Kami berharap agar semua calon PMR bersedia bukan sahaja dari segi ilmu, malah persediaan mental, emosi dan fizikal juga sangat penting. Ibu bapa perlu memainkan peranan memberi sokongan kepada mereka agar terus bermotivasi dan membuat persediaan yang secukupnya untuk menghadapi peperiksaan ini. Kami sedar, tekanan dan sasaran bukanlah jalan terbaik untuk memberi kata-kata semangat.

Sesungguhnya kami warga SMKTP sentiasa mendoakan agar calon-calon PMR tahun ini dapat menjawab soalan dengan tenang dan akhirnya memperoleh kejayaan yang cemerlang kelak. Insyaallah.


Aktiviti seterusnya ialah
penyediaan bilik dan dewan peperiksaan. SMKTP yang tidak mempunyai dewan tertutup terpaksa 'membuka' 4 buah kelas untuk dijadikan dewan peperiksaan dan menggunakan banyak bilik darjah untuk menempatkan lebih kurang 450 calon PMR di dua pusat peperiksaan.... Urusan penyediaan tempat peperiksaan dimulakan seawal pukul 10.15 pagi dan dapat diselesaikan dalam masa yang telah ditetapkan dengan kerjasama daripada semua guru dan murid.

Nampaknya penantian dan perjuangan murid menengah rendah selama tiga tahun sudah hampir sampai ke matlamatnya. Sudah tentu guru, ibu bapa, pihak PPD malah JPNP sekalipun sedang memfokuskan kepada PMR yang akan dijalankan pada 9 - 17 OKTOBER 2012 nanti.


Bagaimana pula untung nasib calon-calon PMR SMKTP ?

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN PMR KEPADA ANAK-ANAK DIDIK KAMI....


Tuesday, October 2, 2012

Hikmah di sebalik ujian....

KITA sering berfantasi... alangkah beruntungnya jika di sepanjang jalan pulang, kita melalui lorong yang luas tanpa liku selekoh atau gunung ranjau yang curam.... kita selalu membayangkan, alangkah bahagianya jika kehidupan di dunia selalunya mudah. Segala keinginan kita tersedia tanpa sebarang rintangan... tidak perlu untuk bersusah payah. Namun begitu, suatu hakikat yang perlu kita tempuh ialah kehidupan ini penuh dengan segala rintangan dan cabaran. Kesenangan dan kesusahan datang silih berganti.


Bahkan, Allah menyatakan dalam al-Quran, kehidupan ini akan silih berganti antara kesenangan dan kesusahan. Firman Allah dalam surah Alam Nasyrah ayat 6 yang bermaksud: "Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan."

Tidak ada jalan mudah bagi manusia. Sebagai makhluk yang lemah, kita terpaksa mengharungi semua rintangan untuk mencapai sesuatu matlamat atau untuk meneruskan kehidupan. Lebih-lebih lagi sebagai manusia biasa kita sememangnya terpaksa bergantung dan berhajat kepada orang lain dalam memenuhi keperluan kehidupan di dunia ini.

Sebenarnya segala masalah dan rintangan ini mengandungi suatu hikmah yang amat besar manfaatnya kepada manusia...yang menyedarkan kita, betapa kita merupakan hamba Allah yang sentiasa bergantung harap kepada-Nya dan berkeadaan serba kekurangan dan kelemahan.

Kita tidak dikurniakan segala macam kesempurnaan oleh Allah dalam mengharungi hidup ini. Bahkan kita perlu menempuhnya dengan pelbagai ujian. Dengan segala masalah, tekanan dan ujian ini manusia menyedari bahawa mereka hanya seorang hamba yang daif di sisi Tuhan Yang Maha Kaya. Firman Allah dalam surah Al-Mulk ayat 2 yang bermaksud: "Tuhan yang mencipta kematian dan kehidupan untuk menguji kamu, siapakah antara kamu yang paling baik amalannya. Dan Dia Maha Mulia dan Maha Pengampun."

Kehidupan dan kematian juga adalah suatu ujian yang telah Allah tetapkan. Ujian yang kita harungi bukanlah sebagai suatu yang sia-sia, sebaliknya merupakan satu proses peningkatan darjat dan kedudukan kita yang lebih tinggi di sisi Allah. Kesabaran, kecekalan dan tawakal dalam menghadapi segala macam pancaroba kehidupan menjadikan seseorang itu beroleh pahala yang banyak dan berganda berbanding orang lain yang tidak diuji dengan ujian dan cabaran itu. Akhirnya kita akan bertambah hampir kepada Allah disebabkan pahalanya itu dan kerana banyak berhubung dengan-Nya melalui doa daripada tawakal.

Atas sebab itulah, darjat mereka yang diuji dengan masalah dan rintangan lebih tinggi dan mulia di sisi Allah, sehinggalah ke satu tahap mereka benar-benar diterima sebagai manusia yang mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah. Oleh itu, seharusnyalah kita bersyukur di sebalik menerima segala permasalahan kerana ia mengandungi hikmah dan rahmat... menyedarkan kita siapa diri kita dan juga mengingatkan diri kita bahawa kita mempunyai tanggungjawab yang perlu ditunaikan kepada Allah s.w.t.

Apabila kita menyedari dan menghayati hakikat ini nescaya kita akan kembali kepada Allah setiap kali menghadapi masalah. Dengan cara ini masalah yang kita hadapi akan menjadi ringan, kerana masalah yang mendatang itu tidak lagi dirasakan sebagai beban bahkan dianggap sebagai jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah...peluang memperbaiki kesilapan dan medan meningkatkan kedudukan kita di sisi Allah. Kita tidak boleh berputus asa dengan hidup ini dan putus harap dengan rahmat Allah.

Orang yang tidak kembali kepada Allah akan mencari cara penyelesaian yang lain, yang bukan sahaja bercanggah dengan tuntutan agama bahkan menyalahi fikiran yang waras. Manusia yang tidak menjadikan agama sebagai cara hidup, akan bergantung kepada akal semata-mata dalam menyelesaikan segala permasalahan dan kesulitan yang dihadapi di dunia ini. Kebingungan, tekanan perasaan, kecelaruan pemikiran dan sebagainya yang biasanya menimpa mereka yang ditimpa masalah akan menjadikan mereka mengambil keputusan penyelesaian yang kurang bijak, terburu-buru dan mengikut perasaan yang jauh daripada lunas-lunas agama dan etika moral.

Orang yang beriman pula akan kembali kepada Allah dengan berdoa, membetulkan kesilapan, memohon rahmat, bertawakal dan seterusnya menyerahkan keputusan untung nasibnya kepada Allah. Mereka juga menyedari bahawa segala masalah yang menimpa adalah tanda kasihnya Allah kepadanya iaitu masalah itu menjadi penyebab kepadanya untuk mendekatkan diri kepada Allah daripada kelalaian dan keterlanjuran. Dengan itu, mereka berkesempatan memperbetulkan kesilapan dan keterlanjuran itu sebelum ajal dengan pintu rahmat dan pintu keampunan sudah tertutup.

Itulah hikmah dan rahmat di sebalik segala ujian dan kesulitan yang sering manusia lupa....sekadar ingatan untuk diri sendiri....

Wednesday, September 19, 2012

Alhamdulillah, 27 tahun yang indah....

Hari ini 19 SEPTEMBER 2012 merupakan hari ulang tahun perkahwinan kami yang ke-27.
1 Syawal 1433 H di rumah Bonda Nik Zakiah
Dalam meniti 27 tahun usia perkahwinan kami, saya berasa sangat beruntung dan bersyukur kerana Encik Kasihku seorang yang penyabar kepada saya dan anak-anak. Dia menyayangi kedua ibu bapa saya sebagaimana dia menyayangi kedua ibu bapanya dan dia menerima semua ahli keluarga saya. Begitu juga di pihak saya, saya juga menyayangi kedua ibu bapa dan keluarganya. Saya menerima mereka seadanya.

Dalam tempoh itu, pelbagai dugaan dan cabaran telah kami tempuh dalam melayari bahtera kehidupan sebagai seorang ibu dan ayah, yang mendidik anak-anak demi membentuk sebuah keluarga yang bahagia. Bahagia dunia dan akhirat. Semoga jodoh pertemuan kami berkekalan dan diberkati oleh ALLAH s.w.t hingga ke akhir hayat dan dipertemukan semula di syurga Firdaus….

Setelah 27 tahun membina mahligai bahagia, perjalanan yang perlu kami tempuh masih jauh di hadapan. Masih banyak cabaran yang perlu dilalui. Di samping merenung masa depan, sesekali aku menoleh ke belakang mengamati pengalaman 27 tahun silam.

19 September 1985 – 19 September 2012 .

Selamat ulang tahun perkahwinan kami yang ke-27. Syukur kepada Tuhan kerana masih memelihara kerukunan rumah tangga ini.

Kepada Encik Kasihku, terima kasih kerana masih menerima diriku sebagaimana hari pertama aku bergelar isteri. Terima kasih yang tidak terhingga kerana membuatkan diriku sentiasa istimewa di sisimu, sentiasa sabar dengan diriku dan anak-anak. Terima kasih kerana menjadi sahabat yang paling akrab, kekasih yang sentiasa dirindui dan suami yang terus setia bersama dalam susah atau senang....terima kasih atas segala-galanya....


Segalanya bermula tanpa diduga. Segalanya ALLAH s.w.t yang tentukan, kita hanya merancang dan berdoa... Ikatan ini berawal dari hati atas nama cinta. Jalinan ini bermula dari rasa atas nama sayang. Pautan ini berasal dari angan atas nama rindu. Sesungguhnya ini adalah cinta, sayang dan rindu yang akhirnya menyatukan kami berdua...
Sejarah awal pertemuan dan seterusnya membawa kami ke alam perkahwinan sangat ringkas. Biarlah sejarah itu menjadi kenangan kami berdua dan akan tetap diingati setiap saat, tidak hanya pada hari ulang tahun perkahwinan…. Kampus biru menjadi saksi dua hati berbicara dalam rahsia....
Semasa majlis ‘berunding’ dijalankan, aku berada nun jauh di Lembah Pantai… Semuanya Papa, Mama serta keluarga sebelah suami yang uruskan, termasuk tarikh perkahwinan kami. Aku terima sahaja keputusan yang diambil… akhirnya aku dapat tahu bahawa tarikh pernikahan ditetapkan pada 19-09-1985 – sama dengan tarikh ulang tahun kelahiranku yang ke-23 tahun... Papa dan Mama akan menerima menantu pertama dalam keluarga untuk puteri mereka yang kedua...

Kami sedar, berkahwin dalam usia muda banyak cabarannya. Sesungguhnya, apa yang penting dalam perkahwinan ialah bagaimana suami isteri itu akan melayari bahtera kehidupan berkeluarga. Ia bukan tanggungjawab satu pihak sahaja. Kedua-duanya ada peranan masing-masing. Anak-anak merupakan buah dari cinta dan kasih sayang sepasang suami isteri yang datang bersama amanah yang terpikul di bahu.

Pernikahan bukan sekadar menghalalkan yang haram tetapi ia lebih daripada itu.

"...Melihat perkahwinan sebagai medan untuk MEMBERI, akan menjadikan kita lebih memikirkan soal PERANAN dan bukannya HAK yang tidak berkesudahan..."

Perkahwinan datang bersama dengan tanggungjawab yang mesti digalas di bahu, saling melengkapi dan saling memerlukan antara satu sama lain....

berlima...  4 Syawal 1433 H

Sedar tak sedar, kini sudah 27 tahun kami hidup bersama sebagai suami isteri; dikelilingi oleh 3 orang permata hati, MOHD FARIS, MOHD FAHMI dan SITI NADIAH dan menantu sulung kami, anakanda NURUL AINA AWANG yang telah melengkapkan hidup kami sekeluarga.…

Hadiah istimewa menjelang ulang tahun perkahwinan kami yang ke-27 ialah, kami menerima seorang lagi ahli baru - CUCU SULUNG dalam keluargaku -   cicit pertama buat Papa dan Mama....FARHAH HANNAN BT. MOHD FAHMI....
Anakanda Fahmi dan Aina bersama baby FARHAH HANNAN....




Ya Allah, berkatilah kehidupan keluarga kami. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus dan jalan yang KAU redhai. Amin.



Thursday, September 13, 2012

Kampung Kota @ Kg Wakaf Sena yang kucintai....


Dalam tempoh sebulan ini, pada setiap petang saya akan singgah di channel C318... saluran khusus sempena kempen Negaraku pada bulan Kemerdekaan tahun ini.   Saluran ini akan bersiaran sehingga 17 September ini.  My Hometown.

Seronok menonton filem-filem pendek bertemakan kampung masing-masing.  'My Hometown'  merakamkan kenangan manis di kampung halaman dengan mengetengahkan pelbagai kisah menarik.  Semua orang ada kampung kelahiran sendiri.  Kampung yang sentiasa dekat di hati, yang sering menggamit memori zaman kanak-kanak.... 


Hujung minggu ini saya akan pulang sekali lagi ke kampung.  Cuti sempena Hari Malaysia pada Ahad akan dibawa ke hari Isnin.  Dapatlah cuti 3 hari berturut-turut.  Sempatlah melepaskan lelah dan melunaskan rindu terhadap Papa dan Mama serta ahli keluarga yang lain...
 
Sesekali pulang ke kampung halaman, ingatan singgah pada kenangan zaman kanak-kanak apabila melihat tali air terbentang di tengah-tengah sawah padi ketika melalui lebuh raya KB - Pasir Mas, melalui persimpangan Bt. 4 Jalan Kuala Krai, Jelutong, Tunjung, Kampung Kota hingga ke persimpangan lampu isyarat untuk ke Mulong, Pasir Mas atau ke Tendong.  Walaupun pemandangannya sudah berubah berbanding lebih 30 tahun yang lalu, namun kenangan itu tetap singgah di minda.   

Dulu, di Kg Kota, salah satu aktiviti ekonomi masyarakatnya ialah menanam padi. Sekali setahun. Bermula dengan kerja-kerja menenggala (membajak tanah dengan tenggala), menabur benih, mencabut semai (anak padi) dan mencedung atau menanam semula anak padi di tapak semaian. Sementara menunggu padi masak, penduduk kampung yang terlibat akan melakukan aktiviti lain seperti menoreh getah, menanam sayur, bertukang rumah dll. Setelah padi masak bertukar warna menjadi kuning keemasan, bermulalah proses mengetam atau memukul @ membanting padi.... Penanaman padi bergantung kepada bekalan air, jadi "tali air" telah membawa perubahan kepada masyarakat petani di seluruh negara, termasuklah petani di Kg Kota. Penanaman padi 2 kali setahun bermula dengan adanya tali air.
tali air nadi ekonomi penduduk Kg Kota suatu ketika dahulu....
"Tali Air" - kata yang tidak memberi apa-apa makna kepada seorang kanak-kanak yang baru berusia 6 - 7 tahun lebih 4 dekad yang lalu... kanak-kanak itu hanya tahu menyebut, tetapi tidak pasti maksud sebenarnya tali air.

Dulu, di seberang jalan depan rumah kami terbentang luas sawah padi yang menghijau. Berpetak-petak dengan keluasan yang berbeza-beza. Pernah suatu ketika, pada pertengahan tahun 1960-an kerajaan berura-ura untuk membina sebuah sekolah menengah di situ, tetapi tidak dipersetujui oleh penduduk setempat. Sawah inilah punca ekonomi sebahagian besar penduduk Kg Kota pada waktu itu. Pembinaan sekolah mengorbankan kawasan sawah padi yang luas. Ini bermakna mereka akan kehilangan mata pencarian. 


Awal tahun 1969... penduduk kampung, lebih-lebih lagi kanak-kanak begitu teruja melihat beberapa buah jentera berat, terutama sekali jentolak dan jengkaut masuk ke kampung kami meredah sawah padi yang sedang 'berehat' kerana musim menuai baru berakhir. Di seberang jalan, di belakang rumah Tok Wan Yusof Tauke Kain, dengan jarak serelung bendang padi, kerja-kerja menggali tanah dijalankan tanpa henti. Di luar musim menanam, tapak sawah di belakang rumah Tauke Kain ini tidak digunakan. Tanah rang ini akan bertukar menjadi gelanggang untuk kami bermain bola wa atau bola kaki tiga pada waktu petang sehingga musim menanam padi kembali semula pada tahun berikutnya.

Jentera-jentera berat ini terus gagah menukar lanskap bumi. Daripada seela menjadi serantai dan seterusnya berantai-rantai, berangkai-rangkai.... Hari bertukar minggu, minggu bertukar bulan... Sambil bermain, kami asyik melihat dari jauh kerja-kerja pengorekan @ penggalian tanah.... Kadang-kadang, pada hari-hari mereka tidak bekerja, naluri ingin tahu telah membawa kami untuk menjenguk lubang panjang yang siap digali... tidak terfikir oleh minda kanak-kanak seusia 6 @ 7 tahun, apakah sebenarnya yang hendak dihasilkan....? Tanah di sebelah kiri dan kanan korekan itu diratakan menjadi laluan bertebing @ jalan tak berturap. Kami sering kali berkejar-kejaran di atas laluan itu.

Pernah pada suatu petang, kami masuk ke dalam terowong yang menghubungkan antara dua tali air. Panjang terowong ini lebih kurang 20 meter. Sesuatu yang baharu bagi kami. Sebagai kanak-kanak, sebenarnya kami masih belum mengerti fungsi atau tujuan terowong itu ada di situ....

Setelah beberapa bulan berlalu... sedar-sedar, korekan tanah yang panjang berantai-rantai panjangnya, dengan kedalamannya lebih daripada 10 kaki itu telah dipenuhi air. Tidak pernah terlintas di minda kami untuk ambil tahu, bagaimana talian korekan tanah itu dipenuhi air. Pada kami, itu berlaku secara semula jadi. Kanak-kanak, apalah sangat yang boleh mereka fikirkan. 

(Beberapa tahun selepas itu, setelah belajar Geografi semasa di sekolah menengah, baharulah terjawab semua persoalan zaman kanak-kanak dahulu...)
Akhirnya, oh, begini rupanya yang dikatakan "TALI AIR ". Panjang seperti tali, kemudian dipenuhi air....! Tali air yang dibina di bawah Rancangan Pengairan KEMUBU ini merupakan salah satu projek Rancangan Pembangunan Ekonomi negara yang bertujuan untuk meningkatkan pendapatan golongan petani di luar bandar melalui DEB, iaitu penanaman padi dua kali setahun...!

Aku masih ingat, aku juga sering menghabiskan masa bersama Noni mengikut bapa saudara, Arwah Che Abe menangguk udang @ anak-anak ikan di tali air. Kadang-kadang aku dan Noni curi-curi mandi (walaupun tidak tahu berenang) di tali air. Langsung tidak terfikir akan bahaya bermain di tali air.... memang tidak tahu takut...!

Dalam tempoh 12 tahun pertama selepas pembinaannya, tali air ini 'terpelihara' dengan baik. Dari rumah Mama kami boleh lihat ibu bapa membawa anak-anak bersiar-siar di atas tali air pada waktu petang sementara menunggu senja, terutama sekali pada musim menuai padi.

Yang paling aku suka ialah meniti di atas titi kayu atau titi yang dibuat daripada 2 batang pokok kelapa yang merentangi tali air..... Kenangan hampir 30 tahun yang lalu... selepas melanjutkan pelajaran ke luar daerah, aku sudah tidak berkesempatan lagi berjalan-jalan di atas tali air ini, apatah lagi setelah berkeluarga dan sekali-sekala pulang ke kampung ...!

Kini, persekitaran tali air di kampungku ini tidak seindah 30 tahun yang lalu. Airnya keruh dan banyak rumput dan rumpai air tumbuh sehingga menjadikan alirannya tersekat! Di sesetengah tempat, tali air kini dijadikan tempat membela ikan dalam jaring. Sawah bendang yang memisahkan jalan raya dengan tali air sudah dipenuhi rumah-rumah kediaman. Jadi, dari rumah Mama kami sudah tidak dapat melihat tali air yang dahulunya menjadi tumpuan kami bersama adik-adik bersiar-siar sebelum menjelang senja.
mengimbau kenangan...suatu waktu dahulu kami pernah berlari-larian di sini....

Pada Aidilfitri yang lepas, setelah sekian tahun tidak menjenguk tali air, kami sempatlah meninjau dan bergambar kenangan di tali air ketika singgah berhari raya di rumah sepupu kami... Za, anak Pok Muda Leh.  Tapak rumahnya ini, dulunya menjadi tempat Atok Che Yusof menanam sayur ketika di luar musim menanam padi, dan di tapak itu jugalah tempat semaian anak-anak padi....  Rumah Za di tepi tali air yang suatu ketika dahulu, lebih 30 tahun yang lalu menjadi tempat kami bersiar-siar pada waktu petang.
Kini, tiada lagi kelihatan penduduk kampung berjalan-jalan mengambil angin pada waktu petang di tali air sambil melihat kanak-kanak bermain wau... semuanya sudah berubah.  
membelakangi bangunan pejabat persekutuan....

Di seberang tali air sekarang, kelihatan bangunan RTC atau dulunya dikenali sebagai TEMAN (Teminal Makanan), beberapa buah bangunan pejabat persekutuan yang sudah siap dibina dan ada juga yang masih dalam pembinaan.  Bangunan-bangunan ini bakal mengubah lanskap kampungku...bandar Baru Tunjung dalam pembikinan....  

Kenangan ketika bermain-main di tali air akan tetap indah di hati dan sering menggamit kerinduan akan zaman kanak-kanak....saya sayang kampung saya... Kampung Kota @ Kampung Wakaf Sena yang terletak dalam Mukim Kota, Daerah Kota Bharu di Negeri Kelantan Darul Naim....Tanah Serendah Sekebun Bunga....

Tali air... tersimpan banyak memori di sepanjang jalan pulang... tali air yang memberi rezeki.... tali air yang merentap jiwa ...