Wednesday, November 25, 2009

bah 1988... ubah tarikh buka sekolah ....









Hari ini matahari memancar agak terang, menghangatkan suasana.... kain-kain diampaian sekejab lagi akan kering... terasa seolah-olah bukan pada musim tengkujuh, sebagaimana beberapa hari lepas.... Nak tulis pasal bah pun, rasa dah tak berapa teruja. Walau bagaimanapun, sebagaimana yg dijanjikan, kisah hari ni tentang bah besar tahun 1988...


Tahun 1988 - bah besar sekali lagi melanda Kelantan sehingga peperiksaan SPM yang sudah bermula beberapa hari terpaksa ditunda. Hujan spt biasa, taklah lebat sangat, tetapi angin Laut China Selatan agak kencang bertiup sejak bermula musim tengkujuh.

1988 - aku baru setahun lebih tinggal di
Tmn Uda Murni, Jln Pengkalan Chepa. Tahun tu aku bertugas sebagai Pengawas Peperiksaan SPM di SMK Pengkalan Chepa. Tidak ada tanda-tanda awal akan berlaku bah besar. Air di bawah jambatan Bunut Payong seperti biasa sahaja masa aku melaluinya pada tengah malam sebelum berlaku bah besar itu - balik dari rumah Mama di Kg. Kota.

Keesokan paginya, apabila aku hendak keluar rumah untuk ke Pusat Peperiksaan, air di depan rumahku sudah penuh. Dalam perjalanan ke pusat peperiksaan, aku mesti melalui
Gertak (Jambatan) Baung yang memang selalu tenggelam jika berlaku bah. Rupa-rupanya betul, semua kenderaan ringan tak lepas. Aku terpaksa naik trak tentera utk ke SMK PC. Hujan turun seperti biasa... sekejab lebat, sekejab renyai-renyai.

Di SMKPC, peperiksaan bermula seperti biasa kerana belum ada apa-apa arahan daripada KPM untuk menangguhkannya. Kawasan di negeri lain tak terjejas, oleh sebab itulah keadaan lambat disedari oleh pihak berkenaan. Ramai calon terkandas. Hari itu mata pelajaran Sejarah Kertas 2. Perkembangan banjir semakin serius.
Dalam pukul 10.30 pagi, barulah kami terima siaran agar peperiksaan SPM / STPM ditangguhkan. Calon2 boleh menduduki kertas tersebut setelah pep. SPM disambung semula dlm masa 2 minggu lagi.

Balik ke rumah, sekali lagi, aku terpaksa naik trak tentera. Sampai di rumah, air sudah masuk ke dalam rumah. Yg ada di rumah ialah anakanda Mohd Faris & Mohd Fahmi yg masih kecil dan Kak Mah, pengasuhnya. Seronoklah dua beradik tu main air bah di dalam rumah.... Abang Man, jiran sebelah bantu pindahkan barang2 terutama peti ais & washing machine ke tempat yg lebih tinggi. Perabot kayu spt kerusi, meja, almari, katil berendam dlm air. Encik Kasihku masih di pejabat, di sekitar officenya di bangunan SEDC jg sudah dipenuhi air.   Air bah naik dengan cepat sekali. Petangnya, Encik Kasihku redah juga bah utk pulang ke rumah.

Pada sebelah ptg, kami terpaksa berpindah ke rumah Cik Yah (Mak Saudara) di Jln Bayam. Nak balik ke rumah Mama di Kg Kota tak boleh, kerana tersekat di Jambatan Bunut Payong... tapi sempat lagi bawa anak melihat suasana banjir di sekitar bandar KB.

Ekoran tertangguhnya pep. SPM 1988, satu perubahan drastik berlaku berkaitan tarikh permulaan sesi persekolahan. Sesi persekolahan baru yang biasanya bermula pada awal tahun diawalkan.
Sesi persekolahan 1991 bermula pada 1 Disember 1990...! Perubahan ini dilakukan untuk mengelakkan tarikh peperiksaan SPM/ STPM pada tahun-tahun seterusnya tidak bertembung dengan bah besar yang biasanya berlaku pada bulan Nov - Dis.
 Kita hanya merancang, Allah s.w.t jua yang menentukan... musim tengkujuh @ bah besar terus 'menghambat' calon-calon peperiksaan SPM/ STPM walaupun tarikh peperiksaan telah diawalkan. Keadaan tidak banyak berubah.... Setelah beberapa tahun, akhirnya, sesi persekolahan kembali bermula pada awal Januari sebagaimana asalnya...... sehingga sekarang !

Kini, lebih 20 tahun berlalu. Setiap kejadian yang berlaku memberi pengajaran kepada kita. Dengan persediaan awal daripada semua pihak, walaupun bah besar melanda negeri-negeri Pantai Timur pada setiap tahun, peperiksaan dapat diteruskan seperti biasa .



foto : Emi & Abe bermain bah dlm rumah di Tmn Uda Murni - 1988...

Tuesday, November 24, 2009

Sekali Bah Sekali Pantai Berubah....



Kali ni kisah bah @ banjir pula.

Kini, banjir sedang melanda beberapa negeri di Pantai Timur... keadaan di Terengganu sehingga tengah hari tadi sudah menurun sikit, tetapi di Kelantan masih tidak banyak berubah. Jalan menghubungkan Kuantan - KB sudah tidak dapat dilalui oleh kenderaan ringan.

Di Kuantan, hari ni cuaca agak baik... sempatlah kering kain baju yang dibasuh...! Harap2 dlm sehari dua lagi, keadaan akan pulih... dapatlah kami balik kg untuk menyambut Aidiladha.

Ada bah besar, ada bah kecil. Ada bah disebabkan air hujan yang bertangkung kerana sistem saliran yang tidak baik. Ada bah disebabkan oleh limpahan air sungai yang banyak. Bah air hujan cepat surut. Apabila hujan reda, bah pun akan surut.

Bah air sungai akan berlaku setelah isipadu air sungai Kelantan bertambah akibat hujan lebat berterusan di kawasan Ulu Kelantan. Air sungai berbeza dengan air hujan... lebih sejuk dan warna jg lain. Keadaan akan menjadi lebih gawat apabila angin monsun bertiup kencang menyebabkan aliran air ke muara menjadi sebak. Akibatnya, tempat yg rendah akan ditenggelami air dalam tempoh masa yg lama, contohnya Kg Tingkat dan Kg Penambang yang menghala ke PCB.

Boleh dikatakan saban tahun pasti berlaku bah, tetapi bah besar tidak semestinya berlaku pada setiap tahun.

Musim bah banyak meninggalkan kenangan kepada sesiapa sahaja. Dulu, kalau musim bah, di KB jadi macam pesta... Bagi mereka yang terpaksa berpindah tu, lainlah pula ceritanya - bukan pesta lagi tp dah jadi mimpi negeri ..... !


Dulu masa kecik2, kami selalu mengikuti perkembangan banjir melalui siaran radio... bila air
di Tangga Bradley, Kuala Krai -tempat sukat banjir (kini, Tangga Krai) turun, bermakna kawasan hilir akan siap sedia untuk banjir. Di rumah Mama biasanya paling teruk pun, hanya tenggelam 2 anak tangga. Bila bah, jalan ke KB terputus, iaitu di Jambatan Paloh (Pintu Geng) dan di Bunut Payong. (Sekarang jambatan di Bunut Payong dah tinggi). Dari rumah ke Pasir Mas pula, akan tersekat di beberapa tempat, antaranya di Chabang Tiga Pendek dan di Gertak Lembu, dekat Salor. Masa ni Papa pun kenalah bertugas bergilir-gilir 24 jam di Bilik Gerakan Banjir KB.

Tahun 1967, banjir besar di Kelantan dan beberapa negeri lain di Malaysia... saya ingat2 lupa, Papa bawa jalan2 main air... masa tu belum sekolah lagi. Tahun 1971, bah berlaku selepas sehari sesi persekolahan tahun baru 1971 bermula. Sekolah diisytihar tutup. (Bila baca tentang sejarah KL kemudiannya, barulah tahu rupa2nya pada 1971 KL juga dilanda banjir besar....! ) Tahun 1979, bah besar berlaku akibat hujan lebat di kawasan Ulu Kelantan sehingga meruntuhkan Bukit Puteri di Lubok Bongor, Jeli, meranapkan sebuah klinik desa di situ . Dalam tragedi Bukit Puteri ini ramai jg yg terkorban.

Bah 1979 berlaku di beberapa buah negeri di Pantai Timur sehari selepas semua calon SPM/ MCE menduduki kertas terakhir. Ada kawan2 yang bersekolah di SBP @ MRSM @ SMT terkandas dalam perjalanan pulang ke kampung masing2 sebaik selesai peperiksaan.

Bah 1983, berlaku semasa aku di Universiti... jd tengok gambar ajelah.
...

...bersambung - bah besar 1988 - Pep. SPM terpaksa ditunda....


Sekali bah, pasti pantai akan berubah; berubah akibat hakisan....

Kolam mandi awam di PCB dah bertahun-tahun lamanya 'terkubur'. Kubu Pertahanan Jepun semasa Perang Dunia Ke-2 di Pantai Sabak juga dah jauh tenggelam ke dasar laut....! Dalam Rhu @ Pantai Semerak dah tak boleh dipanggil Dalam Rhu lagi... kerana pokok ru dah tak ada. (Yang ada sekarang, yg baru ditanam semula).

(Foto : 1) Pekan Rantau Panjang yg ditenggelami air baru2 ini
2) Anggerek & Melisa bersama Mama di tangga rumah yg tenggelam dalam banjir tahun 1983...)


Monday, November 23, 2009

Cuti Sekolah ... Guru Cuti....???





Selepas menyelesaikan sedikit kerja rumah pg tadi, terus ke sekolah. Cuaca hari ni pun o.k sikit, tak hujan walaupun nampak mendung. Ada urusan sikit di sekolah....

Beberapa orang guru termasuk barisan pentadbir ada di sekolah dengan tugasan masing-masing.

Mula-mula singgah di pejabat... tengok kalau2 ada surat. Kemudian lalu ikut Bilik Guru - ternampak seekor anak kucing dengan ibunya... rupa2nya ibu kucing tu sedang berkira2 @ mencari2 tempat yang selamat utk 5 ekor anaknya. Ke sana ke mari ibu kucing mencari tempat baru .... hari Jumaat lepas, 5 ekor anak kucing ni dimasukkan ke dalam kotak dan dletakkan di luar bilik guru. Terharu melihat bagaimana kasihnya ibu kepada anak-anaknya.... waima seekor kucing.

Sambil tu, jalan-jalan tengok Kelas Intervensi BM yg dijalankan oleh beberapa orang guru baru & GSTT. Kehadiran murid yang terlibat amat tidak menggalakkan. Daripada 5 kumpulan yang sepatutnya setiap kumpulan terdiri daripada 18 orang... hanya 7 orang murid kesemuanya yang hadir dengan 7 orang guru...! Tak tahu apa sebabnya .... mungkin ada yg terlupa kerana hari ni merupakan hari pertama...

Projek menukarkan longkang baru yg telah dimulakan sejak minggu lepas sedang giat dijalankan antara bangunan Blok B dan C. Ada beberapa perkembangan baru selepas naik cuti nanti, mungkin ruang kosong antara 2 blok bangunan itu (depan koperasi & Kedai Buku) akan dijadikan tempat riadah bg murid2.

Di Bilik Peperiksaan Zie sedang mengemaskini senarai nama murid 2010. Imah sedang mengemaskini 'surat-surat cinta' murid Kelas 4A2.... Guru Majalah jg dengar khabarnya sedang bertungkus-lumus menyiapkan e-majalah SMKTP 2009...!

Siapa kata jadi Cikgu cuti banyak - cuti secuti-cutinya setiap kali tiba musim sekolah tutup.

Cuti Sekolah maksudnya murid tak perlu dtg ke sekolah, tetapi guru-guru tetap datang bertugas jika diperlukan @ diminta @ diarahkan.....

Walau apa pun yang kita buat, kita perlu ikhlas dan buat sesuatu dengan bersungguh-sungguh; barulah ada kepuasannya. Insyaalah, ganjaran yg lebih besar yg kita tidak nampak sekarang akan kita peroleh....

Renung-renungkanlah....


Sunday, November 22, 2009

uje tok serek2...












Seperti biasalah bila tiba akhir bulan November setiap tahun maka kawasan Pantai Timur akan mengalami suasana monsun...musim tengkujuh..


Hujan yang berterusan - tok serek-serek....kekadang bila hujan berlarutan tanpa henti .terjadilah banjir...minggu ini dah beberapa hari hujan berterusan...sekejap renyai-renyai..sekejap lebat...kain yang dibasuh pun tak kering. Terasa sejuk hingga ke tulang sum-sum.

Tak banyak aktiviti yang boleh dilakukan...cuma yang pasti aktiviti makan nampak lebih rancak...

Dalam siaran berita TV petang tadi, beberapa kawasan di Kelantan, Terengganu telah ditenggelami air. Calon-calon SPM & STPM di Rantau Panjang telah dipindahkan ke asrama sekolah bagi menghadapi peperiksaan yang sedang berjalan sekarang...

Pengalaman menghadapi peperiksaan musim hujan @ bah bukan perkara baru bagi negeri-negeri yang biasa dilanda banjir.

Saturday, November 21, 2009

Kisah Ubi Kayu (1)


Musim2 hujan begini teringin nak makan ubi kayu rebus....

Ubi kayu senang tumbuh,senang hidup, senang berisi, senang dimakan. Mudah dimasak pelbagai jenis masakan. Boleh dicampur dengan berbagai-bagai bahan masakan. Ia bukan kayu sebarang kayu. Ia bukan ubi sebarang ubi. Ia adalah ubi kayu.

Ubi kayu biasanya ditanam dengan keratan batang yang dicucuk ke dalam tanah. Ubi kayu senang ditanam dan akan menghasilkan akar pada bahagian batang yang dikambus dalam masa beberapa hari sahaja selepas ditanam. Hujung keratan yang terbenam dalam tanah akan mula menghasilkan banyak akar antara dua hingga empat bulan selepas ditanam dan akar ini pula akan menghasilkan ubi. Ubi kayu biasanya dituai antara sembilan hingga 12 bulan.

Ubi kayu sering menjadi makanan pilihan apabila berlaku masalah mendapatkan sumber makanan biasa, seperti ketika musim tengkujuh atau malapetaka awam, atau semasa peperangan seperti semasa Perang Dunia Kedua, khususnya semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu.

Pada masa biasa, ubi kayu hanya dimakan sekali-sekala atau dijadikan sebagai kuih. Kulit ubi kayu mempunyai asid hydrocyanic (asid hidroklorik dan potasium sianida atau sodium sianida (hydrocyanic). Oleh itu ubi kayu tidak boleh dimakan mentah, tetapi perlu dibuang kulit dan dimasak terlebih dahulu.

Ubi kayu ditanam secara komersial untuk menghasilkan tepung ubi. Tepung ubi kayu juga digunakan dalam industri makanan setelah ia diproses menjadi monosodium glutamat (MSG) terutama di negara Timur Jauh dan Amerika Latin.

....jumpa lagi 'Kisah Ubi Kayu (2)'....

Friday, November 20, 2009

BERTEMU & BERPISAH




Sudah menjadi lumrah hidup... setiap pertemuan pasti ada perpisahan.

Pagi tadi rakan2 guru (tak semua sebab ada yg kena jaga kelas Form 4) berkumpul di bilik guru meraikan majlis perpisahan untuk PUAN ZALINA TAMBI yang akan berpindah ke Putrajaya .... Majlis ringkas ini bertemakan 'MERAH'. Warna yang membawa seribu makna....

Majlis yang turut dihadiri oleh pentadbir sekolah ini dihidangkan dengan juadah nasi dagang, pulut kuning + rendang daging tajaan W.Zuwarisah, serta beberapa jenis kuih. Nasi dagang ditaja oleh PUAN ZALINA sendiri.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa selamat yang dipimpin oleh Pengerusi Kelab Staf, Tn Hj. Abdul Razak, diikuti dengan ucapan perpisahan daripada Puan Zalina. Majlis disempurnakan dengan penyampaian cenderamata kenangan daripada Panitia Sejarah dan rakan-rakan sejawat yang lain.

Doa kami semua, semoga PUAN ZALINA akan lebih berjaya di tempat baharu dan berbahagia dengan keluarga tercinta. Janganlah pula lupa kepada kami di sini....

"...BERTEMU DAN BERPISAH ADAT MANUSIA BIASA
HILANG DI MATA DI HATI TIDAK LUPA

BERDOALAH KITA AGAR AMAN DAN SENTOSA
SEMOGA KITA BERJUMPA LAGI DI LAIN MASA..."


Beginilah lumrah hidup... kita datang dan pergi.

Sepanjang jalan pulang, aku juga telah beberapa kali 'beralih angin' dari satu destinasi ke destinasi yang lain. Tidak kupasti berapa lama lagi aku akan berada di SMKTP....

....yang pasti kenangan di tempat kita pernah menabur bakti akan tetap terpahat dalam sanubari....

Thursday, November 19, 2009

hujan Oh hujan...!

Kelmarim, semalam hingga ke hari ini hujan berterusan, sekejab lebat, sekejab renyai-renyai. Merupakan satu medley ala marathon. Pagi tadi aku bangun awal seperti biasa bersiap-siap untuk ke sekolah. Sejuknya menggetarkan dagu. Bayu pagi yang menghembus nipis menikam hingga ke tulang som-som. Beburung tidak bersiul pagi ini. Sayup-sayup kedengaran azan Subuh dari masjid dan surau berdekatan diselang-seli dengan bunyi deraian air hujan... Biji2 manik hujan menitis entah berapa billion trillion jumlahnya. Segala lopak dipenuhi air.

Hujan masih menitis terjun ke bumi. Gara nak rentinya belum pasti. Ia akan turun lagi dan lagi...

Musim hujan banyak meninggalkan kenangan....

Musim hujan @ bah semua urusan menjadi sukar dan lambat.

Syukur, kita masih lagi diberi peluang melihat titisan hujan dan mendengar titisan hujan jatuh ke bumi ......

Wednesday, November 18, 2009

SAHABAT...


sahabat adalah dia yang menghampiri ketika seluruh dunia menjauh. persahabatan itu ibarat tangan dan mata saat tangan terluka, maka mata menangis saat mata menangis maka tangan menghapusnya....

Monday, November 16, 2009

Sahabat Sejati...



Sepanjang perjalanan kehidupan ini, pasti kita bertemu dengan ramai yang sudi ketawa bersama, namun apabila saat kita memerlukan bahu untuk sokongan melalui saat sukar, ketika itu kita akan mulai berasa diri keseorangan. Tiada teman rupanya yang sudi menangis bersama... itulah namanya lumrah kehidupan.

Teman-teman datang silih berganti, namun bukan mudah untuk kita tahu huluran persahabatan sejati. Saat air mata berguguran dan masalah muncul menjenguk, saat itu sesiapa yang ada bersama, itulah sahabat sejati.

Bukan mudah untuk seseorang yang asing sanggup susah dan senang dengan kita; persahabatan dihulur tanpa mengharapkan balasan atau ganjaran. Bukan juga kerana status yang dipegang, kadang-kala itu menyukarkan kita untuk mengenali siapa sahabat dan siapa teman.

Ada... tetapi tidak ramai dan sukar untuk ditelah.

Merenung dan memerhati perjalanan hidup... kadang-kadang ada teman yang suatu ketika amat rapat, tetapi akhirnya renggang, tanpa bicara dan tanpa senyum mesra.

Untuk mendapat sahabat sejati... kita perlu menjadi teman yang sanggup bersama walau dalam susah atau senang....

Thursday, November 12, 2009

Jamuan Oh Jamuan !



Minggu ni boleh dianggap sebagai 'Minggu Jamuan' di SMKTP.

Hari Rabu, 11 Nov - murid Tingkatan 4 dan 5 dibenarkan mengadakan jamuan kelas masing-masing. Pelbagai cerita lucu berlaku pada hari tersebut....

Hari ini, 12 Nov - diadakan Jamuan RIMUP untuk murid Ting. 3. Malam esok, 13 Nov - Jamuan Tahunan Kelab Staf akan diadakan di KODIM, Kuantan. Pada 14 Nov, Sabtu - Jamuan PSS pula akan diadakan di MS Garden, Kuantan.

Jamuan RIMUP bagi murid-murid Tingkatan 3 telah berjaya dilaksanakan pagi tadi bertempat di Dewan SMKTP. Aktiviti ini mengakhiri Progam Selepas PMR yang telah dijalankan selama lebih daripada 3 minggu. Jumlah kehadiran murid pagi tadi dicatat paling ramai selepas peperiksaan PMR berlangsung, iaitu lebih kurang 240 murid. Sesuatu yang sudah dijangka sebab mereka nak makan 'free'.... hari-hari lain mereka tidak berminat untuk hadir ke sekolah kononya tidak ada P & P...!!! Sebenarnya, bukan apa, mereka hadir ramai-ramai ke sekolah hari ini adalah untuk memeriahkan Majlis Jamuan RIMUP yang dianjurkan untuk mereka....!

Semua murid nampak seronok dan gembira berada di meja bulat bersama rakan-rakan yang terdiri daripada pelbagai kaum. Juadah yang enak menambahkan lagi 'warna' majlis pada hari ini. Mungkin bagi sesetengah murid, suasana jamuan seumpama ini merupakan pengalaman pertama buat mereka....

Bercerita tentang jamuan kelas, teringat zaman persekolahan dulu (1979-1981). Dulu, jika jamuan kelas diadakan, kami murid-murid perempuan akan mengagihkan tugas dalam menyediakan makanan. Yang jadi 'mangsa' seterusnya ialah emak di rumah. Emaklah yang akan menyediakan juadah yang telah ditetapkan. Ada pulut kuning, nasi dagang, mee hun goreng, pelbagai kuih-muih dan sebagainya.

Seorang dua murid lelaki yang ada lesen memandu pula akan 'meminjam' kereta ayah mereka untuk mengangkut peralatan dan makanan untuk jamuan daripada rumah murid perempuan yang telah ditetapkan. Masa Form 5, tugas ini dilakukan oleh Tajuddin & Hishamuddin. Masa F6 pula, Zainal Azman & Azmi Nasir yang bertanggungjawab dalam urusan 'pengangkutan'. Catatan perjalanan ini merupakan antara memori yang akan terus segar dalam ingatan sampai bila-bila.

Tidak kira dulu, kini dan selamanya - setiap kali tiba di penghujung sesi persekolahan, pasti murid-murid akan mengadakan jamuan kelas sebagai tanda perpisahan dan penghargaan untuk rakan-rakan dan guru-guru. Perkara yang menjadi suatu kemestian ialah sesi bergambar bersama rakan-rakan dan guru, sama ada secara 'candid' atau 'posing' sakan...! Foto-foto ini akan disimpan untuk dijadikan kenangan setelah masing-masing membawa haluan diri @ merantau ke tempat lain mengejar kejayaan hidup.

Jamuan @ sekolah ... pasti menjadi kenangan....

Wednesday, November 11, 2009

PELABURAN PANJANG

Usia adalah harta yang tidak ternilai. Usia adalah pelaburan yang mahal, sama ada pelaburan itu untuk kehidupan di dunia, mahupun di akhirat.

Ada dalam kalangan kita yang melaburkan usianya untuk dunia. Dia bertungkus-lumus mencari harta, pendapatan, laba, membina kerjaya diri, membina kekayaan dan kemewahan. Pada usia dewasa atau tua, dia puas dengan pelaburannya. Dia dapat menceritakan bagaimana kehidupannya pada usia muda penuh dengan kegigihan. Itulah pelaburan usia. Selepas dia menghembuskan nafas yang terakhir, hartanya menjadi pusaka. Sekiranya anak-anaknya mengurus hartanya dengan baik, maka bermanfaatlah harta itu. Apabila sebaliknya, maka rugilah usahanya selama ini.

Ada pula dalam kalangan kita yang melaburkan usia untuk anak-anak. Segala-galanya ditumpukan supaya anak-anaknya berjaya. Kegigihannya menyara anak-anak akhirnya berhasil dengan kejayaan anak-anaknya. Dia berasa bangga dan seronok menceritakan kegigihannya mendidik anak-anaknya sehingga semuanya berjaya. Namun, selepas dia meninggal, maka anak-anak terus mendoakannya, dapatlah ia melanjutkan usia amalannya, meskipun jasadnya sudah dikandung tanah. Pelaburannya akan menjaminkan ganjaran yang berterusan walaupun selepas kematiannya.

Ada juga orang yang melaburkan usia mencari harta supaya dengan harta itu dapat disedekahkan kepada golongan yang memerlukan. Selama mana harta itu diguna, selagi itu usia amalannya panjang.

Berdoalah. Hidup ini adalah suatu pelaburan yang berisiko tinggi.

Kita tidak tahu apa yang berlaku di sepanjang perjalanan yang panjang ini. Oleh itu kita memerlukan bantuan, pertolongan dan jaminan daripada Yang Sangat Perkasa. Maka, selain daripada berusaha dengan kekuatan yang ada dalam diri kita, pertolongan Allah s.w.t sangat diharapkan melalui doa dan munajat….

Saturday, November 7, 2009

RENUNGAN ....

Kita mungkin menjadi insan yang baik apabila kita diuji dengan kesusahan tetapi ramai yang gagal mengawal dan mengurus minda serta iman apabila diuji dengan kesenangan.

Tetamu Senja

Kita datang ini sebagai tetamu senja

Bila cukup detik kembali kita kepadaNya

Kita datang ini kosong tangan kosong dada

Bila pulang nanti bawa dosa dan pahala

Pada tetamu yang datang dan kenal jalan pulang

Bawalah bakti kepada Tuhan kepada insan

Pada tetamu yang datang dan lupa jalan pulang

Usahlah derhaka kepada Tuhan kepada insan

Bila kita lihat manusia lupa tempat

Atau segera sesat puja darjat puja pangkat

Segera kita insaf kita ini punya kiblat

Segera kita ingat kita punya tekad

Bila kita lihat manusia terbiar larat

Hingga mesti merempak ke laut biru kekuningan darat

Harus kita lekas sedar penuh pada tugas

Harus kita tegas sembah seluruh rasa belas

Kita datang ini

Satu roh satu jasad

Bila pulang nanti

Bawalah bakti pada berkat


... A. samad Said