Monday, December 29, 2014

Penghujung 2014 - Ujian Banjir Besar di Kelantan...


Hujung tahun, bermakna musim bah akan tiba. Mereka yang tinggal di kawasan yang sering dilanda banjir @ bah pasti akan sentiasa berjaga-jaga untuk menghadapi kemungkinan banjir. Yang tidak pasti adalah sama ada bah itu besar atau kecil..! 
Stadium Muhammad ke-IV pada 26 Dis 2014

Boleh dikatakan saban tahun pasti berlaku bah, tetapi bah besar tidak semestinya berlaku pada setiap tahun.

Penghujung 2014, banjir besar melanda banyak kawasan yang belum pernah dibanjiri sebelum ini hampir semua daerah di Kelantan, kecuali di Daerah Bachok.  Kesan yang paling teruk adalah di Gua Musang, Kuala Krai, Dabong, Tanah Merah, dan Tumpat.  Tidak terkecuali di Kota Bharu. Sejak berdekad-dekad lamanya rumah Bonda dan Ayahanda di Kg Kota tempat kami dilahirkan dan membesar tidak pernah ditenggelami banjir, tetapi kali kali ini air bah paras pinggang di dalam rumah Bonda.  

SMK Manik Urai yang ditenggelami banjir pada 23 Disember 2014

 Bandar Kuala Krai pada 23 Disember 2014



Sebenarnya, ada bah besar, ada bah kecil. Ada bah disebabkan air hujan yang bertangkung kerana sistem saliran yang tidak baik. Ada bah disebabkan oleh limpahan air sungai yang banyak. Bah air hujan cepat surut. Apabila hujan reda, bah pun akan surut.
Bah air sungai akan berlaku setelah isipadu air sungai bertambah akibat hujan lebat berterusan di kawasan hulu. Air sungai berbeza dengan air hujan... lebih sejuk hingga ke tulang hitam dan warna juga lain. Keadaan akan menjadi lebih gawat apabila angin monsun bertiup kencang menyebabkan aliran air ke muara menjadi sebak. Akibatnya, tempat yang rendah akan ditenggelami air dalam tempoh masa yang lama...

Begitulah yang terjadi pada 24 DISEMBER 2014 di Kota Bharu... Hujan yang sudah berlanjutan beberapa hari turun dengan lebat tanpa henti di kawasan Hulu Kelantan telah menyebabkan berlakunya banjir.   Kawasan yang mula-mula terjejas adalah di kawasan Gua Musang dan Kuala Krai seawal 19 Disember 2014.
 
 Tambatan Diraja, air mula melimpah... pagi 24 Disember 2014


Restoran Terapung TESCO... pagi 24 Disember 2014

Stesen Bas SKMK... pukul 6 petang 24 Disember 2014


Medan Tuan Padang, Kota Bharu pada 26 Disember 2014

Kota Darul Naim juga tenggelam... 26 Disember 2014
Di Kota Bharu, khususnya di Kg Kota air mula melimpah sejak pagi 25hb Dis 2014 dan terus meningkat serta menenggelamkan kawasan di sekitar tersebut.  Ramai penduduk di kawasan yang terjejas terpaksa meninggalkan rumah masing-masing untuk ke pusat pemindahan banjir.  Air yang deras naik secara mendadak membuatkan sebahagian mangsa banjir yang terlibat tidak sempat untuk menyelamatkan apa-apa kecuali nyawa... Hubungan terputus, bekalan elektrik dan air terhenti.   (kisah banjir di rumah Bonda akan diceritakan dalam entri yang lain)

Ramai yang terkepung dan terkandas.  Pelbagai cerita sedih dan menyayat hati berlaku.   Biarlah kisah sedih ini menjadi ikhtibar kepada semua pihak.  Banyak harta benda musnah. Ramai kehilangan tempat tinggal terutama sekali di kawasan Gua Musang, Kuala Krai dan Dabung.  Kawasan yang ditenggelami banjir penuh lumpur tebal selepas air bah surut.   

Tidak dapat dibayangkan perasaan nasib mangsa yang terlibat; berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul...









Banjir di Kelantan pada tahun ini dianggap yang terburuk dalam tempoh lebih 8 dekad, kali terakhir terburuk adalah pada tahun 1929 walaupun pada masa itu air bah tidak menjejaskan penduduk di Kg Kota.  

Sesungguhnya setiap yang berlaku ada hikmah yang terselindung di sebaliknya. Semuanya merupakan perancangan daripada Allah s.w.t dan  ini merupakan antara ujian serta peringatan Allah kepada kita.  Banjir menguji kesabaran dan sejauhmana kita bersyukur dengan nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita selama ini.  Segala yang kita miliki ini hanyalah pinjaman daripada Yang Maha Esa, bila-bila masa akan diambil-Nya kembali. Mungkin Allah akan menggantikannya dengan yang lebih baik lagi. 


Sunday, December 21, 2014

nostalgia bersama KASIC '79


20 Disember 2014, hari Sabtu yang nyaman tatkala bumi Kota Bharu disirami hujan renyai-renyai sekali-sekala lebat... satu pertemuan bersejarah berlaku di tempat kami pernah tumpang  berteduh untuk menimba ilmu....
  
Saya bertolak pulang dari Ktn pada petang 19 Dis 2014 dan sempat bertemu mata dengan PK62 di Restoran Miria Kubang Kerian pada sebelah malamnya.  Sempatlah berbari kisah lama dengan rakan-rakan yang baru tiba dari KL sambil menikmati sup gear box, katanya antara yang tersohor di bandar KB....




Sebagaimana yang telah dirancang, berbulan-bulan juga menyusun dan merencananya...akhirnya Mesyuarat Permulaan KASIC'79 menjadi kenyataan...



Mesyuarat merangkap pertemuan Alumni SIC '79 menggamit seribu kenangan.  35 tahun terpisah membawa haluan masing-masing, akhirnya bertemu dan berkumpul di foyer bersebelahan dewan utama SIC selepas mesyuarat permulaan penubuhan KASIC'79 disempurnakan di Bilik Octagon SIC...




Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang menjadikan pertemuan ini satu kenyataan.  Pelbagai juadah istimewa tersedia di meja memenuhi permintaan yang telah berminggu-minggu disuarakan via Telegram.   Putu halba, nasi tupang, laksam, laksa, sate, pelbagai jenis kuih termasuk ubi kayu rebus.... dan banyak lagi....

Sesungguhnya, tidak mampu untuk diluahkan dengan kata-kata rasa gembira dan terharu yang amat sangat; biarlah sebahagian foto ini yang menceritakan segala-galanya yang tersurat dan yang tersirat....

Pengerusi KASIC'79....













Syukur kepada Ilahi kerana pada usia yang semakin sedikit berbaki ini, kami masih diberi kesempatan bertemu dalam keadaan yang sihat walafiat; dalam suasana mesra dan sungguh ralit mengimbau kenangan yang telah 35 tahun ditinggalkan.... Alhamdulillah.


Agenda tetap, makan-makan setiap kali meraikan pertemuan PK62, diteruskan pada petang keesokan harinya di Restoran Air Asam Perut Muda; sebuah restoran di tepi sawah di Kg Pintu Gerbang Beris Kubur Besar, Bachok...

Semoga keakraban dan kemesraan PK62 ini terus kekal sampai bila-bila...

Insya-Allah.