Thursday, November 16, 2017

Hari-hari Terakhir di Meja Tulisku Ini.....

Meja tulisku
sarat kertas dan buku
pena gagah menari
tangan bersimpang-siur
memikirkan tugas dan peranan
merenung arah dan tujuan
mengelamun sedetik rasa.

Meja tulisku
menjadi saksi
bahawa aku memerah minda
mencari jawapan dan penyelesaian
kekadang hilang pertimbangan
apabila menuntut kesegeraan
apabila mengejar masa
sedangkan diri dimamah lelah.

Meja tulisku
juga saksi kelegaan
pabila kerja dibereskan
idea dapat dicurahkan
dapat memecah kebuntuan
dapat menyulam kegigihan
dalam keterbatasan.

 (selesai sudah PT3 bertulis 2017, SKPMg2, SAPS 1M,....)

Sunday, October 8, 2017

Jejak Simba Jalinan Ukhuwah Di Bukit Gambang Resort






7 OKT di Bukit Gambang Resort 


Rakaman kenangan Malam SMJKTP 2017, himpunan warga SMJKTP era sebelum CAS hingga ke era CKW. 

Tahniah AJK KELAB STAF SMKTP 2017, yang diketuai oleh Puan Rohani Deraman atas usaha yang 'awesome' mengikat kukuh ukhuwah antara kita semua... Tidak mudah untuk berkumpul dalam sebuah keluarga yang besar ini.

di lokasi 2212 sebelum bergerak mencari simba...
Biarlah gambar yang berbicara.  Rakaman kenangan ini akan sentiasa diingati sampai bila-bila, lebih-lebih 
lagi setelah saya meninggalkan SMJKTP suatu hari 
nanti.


tidak mengapalah walaupun 'tergugur' satu 'E'...hihihi







































Kesempatan bermalam bersama-sama rakan sehati sejiwa di lokasi bernombor 2212, rehat minda seketika di Bukit Gambang Resort pasti menjadi antara momen indah selama berada di SMKTP.


geng borak sampai pagi....

tetap senyum walaupun masih rasa mengantuk....

sarapan yang sungguh menyelerakan di Oriental Oasis


gendang gendut tali kecapi....


Selamat tinggal Simba.... entah bilakah dapat bertemu lagi....













Rasa lemau dan mengantuk belum hilang sepenuhnya lagi akibat leka berbual santai, minum kopi cicah biskut kering hingga hampir dini hari 081017 di 2212. 

Berjumpa lagi pada pertemuan tahunan siri 2018... bila dan di mana, sama-sama kita tunggu?   

Semoga diberi kesempatan oleh-Nya untuk bersama-sama lagi.  In shaa Allah. 

Friday, October 6, 2017

Menjelang PT3 2017

Beberapa hari lagi, atau lebih tepat pada 9 OKTOBER 2017, iaitu hari ISNIN, peperiksaan PT3 2017 akan bermula.

Hari-hari terakhir sebelum PT3, suasana di sekolah agak sibuk.  Agenda penting menjelangnya PT3 ialah  Majlis Restu Ilmu, Solat Hajat, Taklimat Akhir PT3 dan penyusunan dewan / bilik peperiksaan.    

Semalam, 5 OKTOBER, tepat pukul 7.30 pagi bertempat di Dewan Wawasan, bermulalah Majlis Restu Ilmu untuk  calon PT3 2017. Tujuan majlis ini diadakan adalah untuk memberi peluang kepada murid yang terlibat memohon restu agar guru mendoakan kejayaan mereka.   

Usai ucapan oleh wakil murid dan GPK HEM, majlis diakhiri dengan setiap calon peperiksaan PT3 menemui setiap guru yang mengajar Ting 3 untuk memohon restu agar mereka memperoleh keberkatan daripada-Nya dan saling bermaaf-maafan. Semua murid Ting. 3 beratur untuk bersalaman dan memohon restu daripada guru-guru. Semoga dengan restu yang diberikan oleh guru-guru, semua murid akan dapat menduduki peperiksaan pada 9hb ini dengan penuh yakin dan tenang, seterusnya memperoleh kejayaan yang cemerlang.

LAFAZ RESTU DARI GURU
"Kami berdoa dan merestui serta gunakanlah segala ilmu yang telah dicurahkan untuk mencapai kecemerlangan. Kami ikhlas mendidikmu. kami rela melepaskanmu untuk pergi berjuang berbekalkan ilmu yng telah dicurahkan. Gunakanlah sebaik-biknya. Jawapan ada ditanganmu..buatlah yang terbaik..kerana anda adalah yang terbaik bagi kami...selamat berjuang"

Kami berharap agar semua calon PT3 bersedia bukan sahaja dari segi ilmu, malah persediaan mental, emosi dan fizikal juga sangat penting. Ibu bapa perlu memainkan peranan memberi sokongan kepada mereka agar terus bermotivasi dan membuat persediaan yang secukupnya untuk menghadapi peperiksaan ini. Kami sedar, tekanan dan sasaran bukanlah jalan terbaik untuk memberi kata-kata semangat. 

Sesungguhnya kami warga SMJKTP sentiasa mendoakan agar calon-calon PT3 tahun ini dapat menjawab soalan dengan tenang dan akhirnya memperoleh kejayaan yang cemerlang kelak. Insya-Allah.
 


Pagi tadi melalui Program Bina Insan, Majlis Solat Hajat yang dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Islam dengan kerjasama semua guru Muslim telah diadakan di Dewan Prestasi. 




Antara objektif Majlis Solat Hajat ini adalah untuk :
1) Mendidik murid agar sentiasa bergantung kepada Allah dalam semua urusan hidup.
2) Merapatkan hubungan silaturahim antara warga SMKTP dan ibu bapa. 
3)     3) Menjalankan aplikasi solat Hajat secara praktikal kepada calon-calon PT3 dan SPM.

4)    4) Memohon kepada Allah agar memberikan ketenangan dan kejayaan cemerlang kepada semua calon PT3 dan SPM 2017.



Antara pengisian Program Bina Insan semalam, selain mendirikan solat hajat, kami juga melaksanakan solat sunat Dhuha beramai-ramai yang dipimpin oleh CIKGU ZAIDAN HUSIN, diikuti bacaan Yaasin yang diketuai oleh CIKGU KHAIRUL FADHIL,  amanat terakhir daripada Tuan Pengetua SMJKTP iaitu ENCIK CHAN KOK WAI, dan diakhiri dengan tazkirah daripada GPK HEM, ENCIK JOHARI BUDIN.   



Kami telah menyediakan sedikit jamuan untuk semua murid yang terlibat dengan solat hajat ini hasil sumbangan ikhlas daripada guru-guru Islam SMJKTP.  Kami juga turut berterima kasih dan bersyukur kerana menerima sumbangan daripada ibu kepada seorang murid dari kelas 3K6, berupa sedikit makanan dan senaskhah Yaasin dalam setiap pek 'goodies' itu. 

Selepas rehat, lebih kurang pada pukul 10.20 pagi, telah diadakan taklimat akhir PT3 yang dikendalikan oleh SUPT3, PUAN NURUL ASRANI ABDUL MANAF.  Seterusnya kerja-kerja penyediaan bilik dan dewan peperiksaan.  SMJKTP yang tidak mempunyai dewan tertutup terpaksa 'membuka' 4 buah kelas untuk dijadikan dewan peperiksaan dan menggunakan beberapa buah bilik darjah untuk menempatkan lebih kurang 360 calon PT3, pusat peperiksaan CK025.... Urusan penyediaan dewan / bilik peperiksaan dimulakan sebaik sahaja taklimat akhir selesai, iaitu lebih kurang pada pukul 11.20 pagi.  Penyusunan dewan dan bilik peperiksaan dapat diselesaikan dalam masa lebih kurang 1 jam sebagaimana yang telah ditetapkan dengan kerjasama daripada semua guru dan murid.

Nampaknya penantian dan perjuangan murid menengah rendah selama tiga tahun sudah hampir sampai ke matlamatnya.   Sudah tentu guru, ibu bapa, pihak PPD malah JPNP sekalipun sedang memfokuskan kepada PT3 yang akan dijalankan pada 9 - 12 OKTOBER 2017 nanti.
   

Bagaimana pula untung nasib calon-calon PT3 SMKTP, khususnya anak-anak didikku... 3K11, 3K8 dan 3K2 ?

SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN PMR KEPADA ANAK-ANAK DIDIK KAMI....

Saturday, September 30, 2017

Tirai Persaraan 2017 Berlabuh Sudah


2017, SMK Tanah Puteh telah meraikan 10 orang rakan guru dan seorang staf yang bersara... Ada yang bersara wajib 60 tahun, ada yang genap 55 tahun dan juga yang bersara pilihan.   

Tirai Majlis Lambaian Kasih Junjungan Budi dan Majlis Seluhur Budi Sejambak Memori SMKTP bagi tahun 2017 telah dilabuhkan semalam,  29 SEPTEMBER usai majlis persaraan PUAN RENUHA a/p RATNASINGAM.  Beliau akan mula bersara pilihan pada 1 OKTOBER 2017. 

Berikut ialah senarai nama warga SMKTP yang bersara pada tahun ini.




























































SAHABAT SEMUA, selamat menempuh fasa baru dalam hidup. Semoga KALIAN bahagia dengan aktiviti selepas bersara dan dapat meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga tercinta.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada barisan Kelab Staf 2017 yang dipimpin oleh Puan Rohani Deraman. 





Tuesday, September 19, 2017

SEPTEMBER YANG SENTIASA DI HATI....

Raikan 55 - 32 - 54...  Alhamdulillah.

55 tahun yang lalu, pada bulan SEPTEMBER, hari yang  KE SEMBILAN BELAS, aku dilahirkan sebagai puteri yang kedua kepada pasangan sejoli HJH CHE HALIMAH dan HJ JUSOH ...  Alhamdulillah, kini Mama dan Papa masih sihat dan masih boleh bersama-sama meraikannya....



19 SEPTEMBER 1985  kami disatukan....sedar tak sedar, sudah lebih 3 dekad usia perkahwinan kami hari ini.


Dalam meniti 32 tahun hidup bersama, aku berasa sangat beruntung dan bersyukur kerana Encik Kasihku seorang yang penyabar kepadaku dan anak-anak. Dia menyayangi kedua-dua ibu bapaku sebagaimana dia menyayangi kedua-dua ibu bapanya dan dia menerima semua ahli keluargaku. 



Begitu juga di pihakku, aku juga menyayangi kedua-dua ibu bapanya, ARWAH CHE POK MAT dan ARWAH MEK KIAH serta seluruh ahli keluarganya.  Aku menerima mereka seadanya.


Dalam tempoh itu, pelbagai dugaan dan cabaran telah kami tempuh dalam melayari bahtera kehidupan sebagai seorang ibu dan ayah, yang mendidik anak-anak demi membentuk sebuah keluarga yang bahagia. Bahagia dunia dan akhirat. Semoga jodoh pertemuan kami berkekalan dan diberkati oleh ALLAH s.w.t hingga ke akhir hayat dan dipertemukan semula di syurga Firdaus….


Setelah 32 tahun membina mahligai bahagia, perjalanan yang perlu kami tempuh masih jauh di hadapan. Masih banyak cabaran yang perlu dilalui. Di samping merenung masa depan, sesekali aku menoleh ke belakang mengimbau pengalaman lebih 3 dekad yang telah berlalu....

19 September 1985 – 
19 September 2017

Selamat ulang tahun perkahwinan kami yang ke-32  
190917

Kepada Encik Kasihku, terima kasih kerana masih menerima diriku sebagaimana hari pertama aku bergelar isteri. Terima kasih yang tidak terhingga kerana membuatkan diriku sentiasa istimewa di sisimu, sentiasa sabar dengan diriku dan anak-anak. Terima kasih kerana menjadi sahabat yang paling akrab, kekasih yang sentiasa dirindui dan suami yang terus setia bersama dalam susah atau senang....terima kasih atas segala-galanya....

26 OGOS 1984
Segalanya bermula tanpa diduga. Segalanya ALLAH s.w.t yang tentukan, kita hanya merancang dan berdoa... Ikatan ini berawal dari hati atas nama cinta.  Jalinan ini bermula dari rasa atas nama sayang.  Pautan ini berasal dari angan-angan atas nama rindu.  Sesungguhnya ini adalah cinta, sayang dan rindu yang akhirnya menyatukan kami berdua...


OKTOBER 2016
Sejarah awal pertemuan dan seterusnya membawa kami ke alam perkahwinan, sangatlah ringkas. Biarlah sejarah itu menjadi kenangan kami berdua dan akan tetap diingati setiap saat, tidak hanya pada hari ulang tahun perkahwinan…. Kampus biru menjadi saksi dua hati berbicara dalam rahsia....


Kami sedar, berkahwin pada usia muda banyak cabarannya. Sesungguhnya, apa yang penting dalam perkahwinan ialah bagaimana suami isteri itu akan melayari bahtera kehidupan berkeluarga. Hal ini bukanlah tanggungjawab satu pihak sahaja. Kedua-duanya ada peranan masing-masing. Anak-anak merupakan buah dari cinta dan kasih sayang sepasang suami isteri yang datang bersama amanah yang terpikul di bahu.



Sedar tak sedar, kini sudah 32 tahun kami hidup bersama-sama untuk saling melengkapi; dihiasi 3 orang permata hati, MOHD FARIS, MOHD FAHMI dan SITI NADIAH dan dua orang menantu kami, anakanda NURUL AINA AWANG dan SITI NUR AISHAH yang telah melengkapkan hidup kami sekeluarga.… 



Istimewa sekali, kehadiran cucuanda FARHAH HANNAN BT. MOHD FAHMI (5 tahun), FALISHA SALSABILA BT. MOHD FAHMI (3 tahun), dan MUHAMMAD FALIQ MIKHAIL B. MOHD FARIS (6 bulan) si cilik yang sentiasa menghiburkan kami semua....rindunya Mak Tok....






















Ya Allah, berkatilah kehidupan keluarga kami. Tunjukkanlah kami jalan yang lurus dan jalan yang KAU redhai. Amin.








SEPTEMBER kali ini juga membawa berita gembira buatku. Gembira seorang penjawat awam, merangkap pendidik anak bangsa tercinta; 
yang setia dengan gelaran CIKGU akademik yang biasa-biasa; 
dan yang sentiasa seronok dengan tugas hakiki  sejak mula 
mengajar anak didik tulis dan baca

....Alhamdulillah, pada tahun-tahun terakhir perkhidmatanku  ini, setelah berkhidmat lebih daripada 3 dekad
 sempat jugalah aku merasa....

Alhamdulillah, semuanya rezeki daripada Allah s.w.t.   Rezeki yang dipinjamkan dan untuk dikongsi bersama-sama....