Thursday, July 30, 2009

Mencari Erti Sebuah Kebahagiaan...



Kadang-kadang kita tidak tahu apa yang kita cari dalam hidup. Walaupun mungkin usia sudah menjangkau setengah abad, tapi jiwa masih dalam pencarian. Apakah yang kita cari...?

Sukar untuk kita menilai erti kebahagiaan buat diri seseorang. Mungkin ada yang mengukur kebahagiaan dari segi material, dan ada juga yang melihatnya daripada aspek lain. Kadang-kala kita perlu reda, menerima sesuatu seadanya tanpa meminta lebih barulah rasa bahagia itu datang. Yang penting, hati mesti sentiasa dekat dengan Tuhan, barulah jiwa kita akan tenang dan tenteram. Kita juga akan rasa lebih berlapang dada dalam menerima sesuatu keadaan; tidak akan mengharapkan sesuatu yang menjangkaui kemampuan diri.

Jangan juga cuba mengukur kebahagiaan anda dengan kebahagiaan orang lain! Setiap orang ada sebab berbeza-beza yang membuatkan mereka bahagia. Oleh itu jangan sekali-kali menganggap anda akan bahagia jika jadi seperti mereka. Mungkin andainya benar terjadi, anda seperti mereka, tidak mustahil anda tetap tidak bahagia!

Tip untuk bahagia...
1) Jangan menyimpan dendam
2) Jangan hidup dengan masa lalu
3) Bersyukurlah selalu

Semoga kita semua berbahagia dengan cara kita...

Sumber : MIDI 1 Ogos 2009

Wednesday, July 29, 2009

Abe beransur baik



Sehingga hari ini, Abe masih dirawat di PUSRAWI. Sehari dua lagi mungkin baru boleh keluar.

Sunday, July 26, 2009

Buku baru


Semasa di KL menjaga Abe di PUSRAWI, sempat ke MPH Wangsa Maju. Lama tak beli buku. Dapatlah 2 buah buku.
1) Aisyah Ummul Mukminin - Keanggunan Sejati
(PTS) - pelengkap kepada koleksi bukuku sebelum ini - Biografi Muhammad b. Abdullah dan Kisah Cinta Sejati Khadijah...
2) Memoir Johari Salleh - Tegar Meladeni Industri Muzik (UKM).

Membaca sebagai terapi mindaku.

Friday, July 24, 2009

Anak Buah Baru

Tepat 12.05 tengah malam tadi bersamaan 24 JULAI 2009, Kakak (Melisa Kamelia @ Cik Lis) telah selamat melahirkan puteri yang kedua. Syukur alhamdulillah kerana kedua-dua anak dan emak dalam keadaan yang baik.

Dapat sms daripada Jai pukul 2.55 pagi tadi. Terkejut juga, ingatkan sms daripada Abe yang sedang dirawat di PUSRAWI. Tahniah untuk Kakak & Jai. Sekarang Mimie dah jadi Kak Long...

Bertambah seorang lagi cucu Tok Pa & Tok Ma.

Wednesday, July 22, 2009

Senamrobik & PUSRAWI




Petang semalam dapat tahu Abe tidak sihat. Jangkaanku mungkin disebabkan keadaan berjerebu di Lembah Kelang dan juga setiap hari hujan di sana. Abe memang sensitif dengan keadaan sejuk. Malam tadi di masukkan ke wad di PUSRAWI.

Pagi tadi, lepas habis senamrobik (sempena Bulan Kecergasan 2009), aku tel Abe, tapi tak dapat bercakap dengannya kerana dia batuk. Nurse yang jawab telefon. Aku difahamkan dia kena athma. Dalam keadaan kualiti udara yang tidak sihat akhir-akhir ni, mudahlah dia kena serang.... Aku tidak berkesempatan bercakap dengannya kerana sepanjang hari ni, dia dimasukkan oxygen.

Serba salah jadinya. Lepas kelas tengah hari tadi jumpa dengan Pengetua minta CRK esok untuk lawat Abe. Nak tahu keadaannya. Asalnya memang hujung minggu ni nak ke KL lawat dia.

Semoga Abe cepat sembuh...

Sedang tunggu hubby balik, kemudian terus bertolak ke KL.

Foto : senamrobik RIMUP

Monday, July 20, 2009

PIBG & HAC SMK Jengka 2




HAC SMKTP Sabtu lepas mengingatkan aku pada Mesyuarat Agung PIBG & Hari Kecemerlangan SMKJ2 2003. Itu merupakan majlis HAC terakhir aku di SMKJ2 kerana tahun berikutnya aku telah berpindah ke SMK Sultan Ismail, Kota Bharu.

Pada hari tersebut, semua guru memakai baju batik sekolah. Kehadiran ibu bapa sangat memberangsangkan. Melimpah dewan besar SMKJ2. Antara strategi untuk menarik ibu bapa yang rata-ratanya terdiri daripada peneroka di J2, cabutan bertuah diadakan berselang seli dengan majlis penyampaian hadiah. Atas inisiatif Puan Pengetua pada waktu itu (Hjh Maimunah Bt. Hj Taib - kini Ketua Sektor Penilaian & Peperiksaan JPNP) dan PIBG, banyak hamper disediakan yang bernilai antara RM15.oo - RM20.00.

Hamper ini disumbangkan oleh PIBG dan juga mendapat tajaan daripada beberapa pihak tertentu. Walaupun nilainya tidak besar, tetapi ibu bapa sanggup menunggu sehingga majlis berakhir dengan harapan mendapat hadiah cabutan bertuah. Mereka berasa sangat seronok dan berpuas hati, terasa diri dihargai oleh pihak sekolah. Begitulah masyarakat 'kampung', ... berbeza dengan masyarakat di bandar.

Selain itu, ibu bapa/ penjaga dibekalkan dengan bungkusan makanan & air kotak semasa mereka mendaftar diri di meja pendaftaran.

Memang, suasana amat berbeza antara di bandar berbanding dengan di kawasan perkampungan felda, khususnya Felda J2. Lain padang lain belalangnya….

Friday, July 17, 2009

Hari Anugerah Kecemerlangan 2009



Esok akan diadakan majlis Hari Kecemerlangan Akademik dan Hari Pelaporan Akademik. Majlis bermula pukul 8.00 pagi. Aku bersama Pn. Kuek bertugas bahagian pendaftaran, jadi kami kena mula lebih awal lagi.

2 orang ahli lagi Wan Rosliza, yang masih bercuti kerana patah kaki selepas tersilap langkah pada hari sukan yang lepas. Masih belum sembuh betul. Dengar-dengar simen pada kakinya sudah dibuka. Seorang lagi Puan Arbaayah (GSTT), juga tidak berapa sihat sehari dua ni. Nampaknya hanya kami berdua ajelah esok dengan dibantu oleh beberapa orang pengawas sekolah.

Tema warna pakaian ialah warna merah. Esok suasana pasti ceria dan meriah, merah di mana-mana... Rasanya tak banyak baju merah yang saya ada. Tak kisahlah, pakai aje mana-mana baju asalkan berwarna merah.

Selepas tu, diteruskan dengan sesi menyerahkan buku laporan kemajuan murid kepada ibu bapa / penjaga. Berapa keratlah agaknya dari kelas 3K2 kali ni. Harap-harap lebih baik daripada bulan Mac lepas.

Lepas program, terus ke Jengka, jumpa Adik. Bermalam di Mercu View.

Monday, July 6, 2009

UMRAH WAJIB

Rancangan awal, kami akan bertolak dari Madinah ke Makkah sebelum Asar. Atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, kami bertolak agak lewat. Kelewatan ini ada hikmahnya. Sempatlah kami solat Asar berjemaah Masjid Nabawi untuk kali terakhir.

Selamat tinggal Madinah. Pasti aku akan berkunjung lagi ke kotamu.

Kami bertolak ke Makkah melewati 4.30 petang waktu tempatan.
Bas yang kami naik berhenti di Bier Ali untuk mengambil miqat. Bier Ali merupakan sebuah kampung yang terletak 7 km dari Kota Madinah. Jemaah lelaki menukarkan pakaian dengan memakai ihram dan kami berniat umrah di sini.

Jarak dari Madinah ke Kota Makkah lebih kurang 450 km. Dalam perjalanan, kami singgah di sebuah masjid (tak pasti nama masjid ni) untuk solat jamak Isya' dan Maghrib. Ada sebuah restoran berhampiran masjid dan ramai jemaah yang dalam perjalanan ke Madinah berhenti minum serta makan di sini. Kami sekeluarga hanya minum tea-o panas.

Selepas lebih 7 jam perjalanan, kami sampai di destinasi kami. lebih kurang pukul 11.30 malam. Sesampainya di hotel penginapan di Makkah, kami rehat sekejab, makan, dan terus ke Masjidil Haram untuk menyempurnakan umrah wajib kami.
Kami memulakan tawaf hampir pukul 1.30 tengah pagi waktu tempatan. Kami tidak mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan 7 pusingan kerana jemaah tidak begitu ramai waktu itu. Selepas sembahyang sunat dan berdoa di hadapan multazam, kami terus menuju ke bukit Safa untuk memulakan Saei. Semasa kami menghala ke tempat Saei, barulah kelihatan berbondong-bondong jemaah secara berkumpulan masuk untuk melakukan tawaf. Jangkaan kami jemaah dari Turki.

Kami memulakan saei dengan tenang dan selesai sahaja pusingan ke-4, kedengaran azan subuh yang pertama berkumandang di udara. Kami meneruskan saie dan selesai bertahalul setelah azan kedua dilaungkan. Kemudian, kami terus mengambil tempat di dalam ruang masjid untuk menunaikan solat subuh. Jemaah sudah agak ramai ketika ini.

Aku berasa sangat gembira dan sangat bersyukur kerana dapat menunaikan umrah wajib dengan sempurna bersama Hubby, Emi dan Adik.


Selesai solat subuh, kami balik ke hotel untuk berehat buat seketika...

Saturday, July 4, 2009

selipar & rak kasut


Aku dan Adik ke masjid berdua pada setiap waktu solat. Sebelum masuk pintu masjid, kami akan memasukkan selipar ke dalam karung yang berwarna biru firus yang kujahit sendiri. Seorang satu karung. Karung ini biasa akan diletakkan di dalam rak kasut yang disediakan di muka pintu masjid. Terdapat beberapa jenis rak kasut yang disediakan di Masjid Nabawi. Kadang-kadang aku membawa masuk karung selipat tu dan diletakkan di dalam beg sandang.

Pada hari kedua, waktu solat zohor, aku memilih untuk meletakkan karung seliparku di dalam rak kasut (sebagaimana dalam foto di atas). Waktu tu, ruang (petak) rak masih banyak yang kosong. Walaupun banyak petak yang masih kosong, entah mengapa aku memilih rak yang ada sebelah selipar di dalamnya. Andaian aku, sebelah lagi selipar kemungkinan jatuh ke bawah. Kedua-dua karung dimasukkan ke dalam rak itu. Aku berasa yakin, pasti selamat. Kelihatan di tepi rak banyak selipar berselerakan.

Selepas solat zohor, kami beredar untuk balik makan tengah hari. Kami terus menuju ke tempat rak kasut. Aku nampak ada satu karung selipar sahaja. Aku menyelukkan tangan ke dalam rak untuk memeriksa, kalau-kalau ada hamba Allah yang menolaknya ke dalam. Rak itu taklah dalam sangat. Sah, memang ada satu karung sahaja. Yang 'ghaib' itu ialah karung seliparku. Aku menelefon suami untuk memaklumkan perkara itu dan memintanya tunggu kami di dataran masjid menghala ke hotel penginapan kami.

Jadi, terpaksalah aku berlari-lari anak dan berjingkit-jingkit berjalan di atas dataran masjid yang panas itu. Nasib baik kaki lima hotel letaknya beberapa meter sahaja dari dataran masjid Nabawi. Di tingkat bawah hotel tu, ada kedai menjual selipar.

Sebelum ni aku pernah mendengar cerita jemaah yang kehilangan selipar, kini aku sendiri yang mengalaminya walaupun jemaah bukanlah ramai sangat ketika itu. Sesungguhnya, jika Allah berkehendakkan sesuatu itu berlaku, maka berlakulah ia.... Aku anggap ini ujian daripada Allah s.w.t.

Selipar yang kubeli di Mydin Kuantan berganti dengan selipar 'made in China' yang dibeli Madinah. Selipar baruku ni aku tinggalkan di hotel penginapanku di Makkah..