Saturday, February 8, 2014

SURATAN ATAU KEBETULAN


Kita sering bertemu dengan peristiwa yang kita anggap sebagai kebetulan dan kita akan sering berkata "tidak sangka......".    Pada hakikatnya, semua yang terjadi itu merupakan perencanaan Pencipta kita Yang Maha Agung.  

Kisah yang kecil tetapi sangat signifikan.

Tengah hari tadi usai makan tengah hari di rumah Kak Ha dan Abe Him, kami sempat berbual-bual dengan menantu baru Kak Ha dan Abe Him, AJWAD yang baru seminggu bergelar suami kepada DIK SUE @ SUWAIBAH BT. AWANG, puteri kepada besan saya, ....

Daripada sembang santai itu, rupa-rupanya Atok kepada Ajwad merupakan jiran kami yang dekat semasa kami menetap di Taman Sri Watan (1989 - akhir 1991) Tuan Haji Abu Bakar, yang dipanggil Tok Bah oleh Ajwad merupakan Imam di Surau Taman Sri Watan.  Rumah saya di Jln Watan 9, manakala rumah Tn. Hj Abu Bakar di Jalan Watan 11 - susunan jalan @ lorong mengikut angka ganjil.  Rumah saya berhadapan dengan Tadika Seri Desa, manakala rumah Atuk Ajwad beralas dapur dengan Tadika Seri Desa.  Tadika ini diusahakan oleh Kak Siti @ kini dikenali sebagai Puan Sri Siti Juliana, isteri kepada Tan Sri Abdul Aziz Yusoff. (Pengerusi SPR sekarang).   

Emi bersama murid Tadika Seri Desa bergambar berlatarbelakangkan rumah Tn. Hj Abu Bakar, 1992...

Tn. Haji Abu Bakar pernah mengetuai majlis cukur jambul anakanda SITI NADIAH yang dilahirkan pada akhir Julai 1989, hampir 25 tahun yang lalu.

Anakanda SITI NADIAH ketika berusia sebulan lebih...
Tn. Hj Abu Bakar jugalah yang datang ke rumah kami bersama beberapa jemaah Surau Taman Sri Watan ketika Kak Moh, pembantu rumah kami 'disampuk' makhluk halus suatu ketika dahulu di sekitar tahun 1991....

Ketika Ajwad sekali-sekala balik bertandang ke rumah Atuknya di Jalan Watan 11 dan  berulang-alik berjalan kaki ke Pasar Raya Watan, ketika itu saya sekeluarga telah berpindah ke Taman Seri Ampang, kawasan kejiranan Taman Seri Watan mulai akhir 1991... 

Siapa sangka,  AJWAD B. ZULQARNAIN cucunda kepada Tn. Hj Abu Bakar ini kini menjadi biras kepada anakanda kami MOHD FAHMI B. NAIN apabila kedua-duanya menjadi menantu kepada TN. HJ AWANG @ ABE HIM dan KAK HA... 


Semua kejadian yang berlaku sesungguhnya sudah tertulis di Luh Mahfuz....Kita hanyalah pelaku yang menjadikan perancangan Allah s.w.t menjadi realiti.






Thursday, February 6, 2014

HANNAN SUDAH ADA KAWAN


Hari ini, KHAMIS, 6 FEBRUARI 2014 
bersamaan 
6 RABIULAKHIR 1435 Hijriah.



Alhamdulillah, tepat pukul 3.58 petang tadi, saat yang ditunggu-tunggu sejak semalam tiba jua.  

Anakanda NURUL AINA selamat melahirkan seorang lagi puteri di Hospital Sultanah Nur Zahirah, KT.  

Dengan hadirnya puteri kecil ini, 
bermakna Hannan sudah mempunyai adik yang akan menemaninya main masak-masak....





 Kak Long, jangan 'buli' adik,ye...!
 
Kakak dan Adik...
Tahniah anakanda MOHD FAHMI dan NURUL AINA atas kehadiran puteri yang kedua dalam keluarga anakanda.  

Semoga Allah terus melimpahkan kasih sayang buat anakanda sekeluarga dan sentiasa berada 
dalam perlindungan-Nya.   

Insya-Allah.  

Alhamdulillah.



 

Sunday, February 2, 2014

Bertemu Cinta Hati...


Terkenang akan keletahnya yang makin galak, rindu menjadi semakin sarat.  Jarak dan ruang waktu tidak mengizinkan kami kerap bertamu untuk bertemu Hannan.  Hanya gambar yang dititip bisa mengubat rindu yang sering bersarang di hati kami.


Dini hari awal Februari yang nyaman.  Usai solat Subuh kami terus bertolak ke Banggol Peradong, buat memenuhi undangan majlis kesyukuran sempena perkahwinan Dik Sue, puteri kepada besan kami, Abe Him dan Kak Ha.  Tidak sabar rasanya untuk sampai ke sana.  Di sana, ada Cintahati kami... Hannan, Emi dan Na.... Ingin cepat-cepat kuleraikan rindu ini, tak terdaya lagi hendak kukendung.   


Seperti yang dijangka, saat awal pertemuan, Hannan susah untuk kami dekati....kami amat faham dan sentiasa bersedia, inilah hakikat yang perlu kami terima.  Sabarlah wahai hati.

Rindu kami terlerai jua akhirnya pabila melihat kelibat Hannan dan mata bertemu mata, biarpun belum boleh dipangku, dipeluk dan dicium....


Dalam keriuhan majlis yang meriah itu, dapat juga kupujuk Hannan untuk berada di sampingku.  Duduk di atas ribaanku, bergurau senda buat seketika sambil melayan keletahnya.  


Walaupun berat hatiku untuk meninggalkan Cintahati kami, tetapi kami terpaksa beredar juga ketika matahari sudah mula condong ke barat.  Kami meninggalkan BP tatkala Hannan diulit mimpi siang hari yang indah di bilik peraduannya.  


Pastinya seperti ada yang tertinggal di sana....