Sunday, May 5, 2019

Timun Betik Menggamit Kenangan


Tengah hari Sabtu baru ni, Kakanda Roslena hantar mesej dalam grup SIBLINGS, 
"kalau nak makan timun betik, datang ke rumah Bonda".  
Rasanya hanya kami tiga beradik sahaja yang suka makan timun betik... Saya, Kakak sulung dan Noni.  Adik-adik yg lain rasanya tak makan dan tak kenal pun timun betik ni.  Suami sendiri pun tak pernah makan.  Katanya tak ada di kampungnya di Batang Merbau Bt. 8, TM.  Betul ke...hahaha?Anak-anak sekarang dalam kalangan Gen Y dan Gen X lagilah tak kenal.

Timun betik betul-betul menggamit kenangan zaman kami kanak-kanak dulu.  Mama dan Papa selalu beli timun betik daripada penjaja yang lalu di depan rumah kami.  Masih ingat lagi, timun betik yang sudah agak masak tu dibalut dengan daun pinang.  

Kalau dah merekah, tu tanda dah matang sangat untuk diolah jadi dessert.  Isi timun betik ini gebu, wangi seperti tembikai susu tapi tak berasa apa-apa, manis tidak, masam pun tidak, tawar.

Mama akan belah dua buah timun betik tu.  Buang kulitnya yang nipis.  Dipotong dadu. Mama sediakan santan fresh dan dimasukkan secebis garam.  Mama akan sediakan juga rincisan nise.  Boleh juga nise itu dicampur sebati dalam santan yang telah disediakan tu.

Masa nak makan, semua bahan itu dimasukkan dalam mangkuk.  Tambah sedikit ais agar terasa sejuk dan nyaman.  Erm... sedapnya, gebu dan harum, dapat rasa manis nise lemak berkrim.

Buah timun betik seakan-akan sama dengan timun / mentimun.  Di luar macam timun, di dalam macam betik.

Dalam bahasa Inggeris timun betik ni dikenali sebagai apple cucumber, atau dikenali juga dengan nama timun suri dalam kalangan masyarakat seberang Selat Melaka.  Timun betik merupakan buah-buahan dalam famili cucurbitae, satu famili dengan timun, tembikai dan labu. Timun betik lebih menyerupai mentimun tapi saiznya berkali ganda besar iaitu sebesar buah betik kampung. 

Buah timun betik yang masak boleh dimakan segar, dijadikan jus, dimakan bersama santan+garam+gula / nise.  

Orang dulu-dulu mana ada almari yang dinamakan peti sejuk, jadi selepas semua ramuan bergaul mesra, bolehlah disantap begitu saja.  

Tapi lagi best kalau disejukkan seketika dalam peti sejuk sebelum dihidangkan.

Bahan-bahan
Buah timun betik
Santan
Air nise / rincisan nise
Ais

Cara-cara 
Potong buah kecil kecil, masukkan santan dan nise.  Enak dimakan bila dicampur ais.




Friday, May 3, 2019

Balik Kampung Sambut Ramadan....

3 Mei - usai waktu persekolahan sesi pagi, kami terus bertolak balik ke KB.  Seperti biasa, cucuanda bongsu ni kami bawa bersama.  Kali ini, CikDya Mikhail juga turut serta.

Cuti berderet mulai 4 - 7 Mei, memberi peluang kepada saya untuk balik ke kampung buat seketika menjenguk insan tersayang kedua-dua Ayahanda Bonda sambil menyambut Ramadan bersama Papa Mama.

4 Mei - Sabtu - Cuti hujung minggu  
5 Mei - Ahad - Cuti hari minggu 
6 Mei - Isnin - Cuti Peristiwa 
7 Mei - Selasa - Cuti Hari Hol










Wednesday, May 1, 2019

MENGIMBAU KENANGAN JURUHEBOH PADA HARI BURUH

1 MEI merupakan hari cuti umum kepada semua pekerja.  Pagi ini tiada apa-apa yang hendak dibuat.  Sarapan sudah disediakan.  Cucuanda ke rumah Mama pengasuhnya.  Nak mengemas rumah, tak berapa rajin.  Bersantailah di depan laptop ni...


Terkenang 4 tahun lepas,  kami warga SMKTP 'bekerja' @ bertugas untuk satu program sekolah yang agak besar juga yang jatuh pada hari JUMAAT 1 MEI 2015.  Kami tiada pilihan kerana hanya pada pada tarikh tu VVIP yang dijemput merasmikan program itu kelapangan.


Tugasan saya adalah sebagai JURUHEBOH...hihihi... tak lena tidur jg kerana melibatkan VVIP dan pihak Istana... Tp amanah yang diberi  perlu diambil dengan penuh tanggungjawab... biarlah itu menjadi kenangan pertama dan terakhir.


Sebenarnya, sebelum bertugas di SMKTP mulai 2006, saya tidak pernah terlibat dengan tugasan sebagai juruacara majlis / Juruhebah  / Juruheboh.  Tidak pernah terlintas dalam fikiran saya akan diberi tugasan itu.   Saya rasa saya tidak berbakat dan tidak berkebolehan.  Berbeza dengan Kakanda saya CIKGU ROSLENA dan juga adinda saya CIKGU NORBANILAWATEY, mereka memang selalu menjadi juruacara majlis bukan sahaja di peringkat sekolah, malah di peringkat PPD dan JPN.

Segalanya bermula pada tahun 2006.  AJK Kelab Staf yang diketuai oleh Cikgu Awang Mahadi telah memberi tugasan sebagai juruacara kepada saya untuk majlis persaraan Pn. Kan, Penyelia Petang pada masa itu.    

Saya ketika itu merupakan guru baharu di SMKTP dan bertugas di sesi petang.  Agaknya kerana saya guru baharu, agak senior pula tu, jadi saya menjadi 'mangsa' utk tugasan tersebut.  Sudahlah itu merupakan pengalaman pertama, malah solo pula tu.  Tak ada partner.   Saya tak tahu nak rujuk kepada siapa.  Tapi saya terima dengan positif.  Saya terus menghubungi kakak saya yang biasa menjadi pengacara majlis untuk mendapat panduan dalam mengacarakan sesuatu majlis.

Begitulah asalnya.... hmmm rupa-rupanya berbakat juga, bakat terpendam dalam lumpur...hahaha...

Selepas itu, bermulalah beberapa siri  pengacaraan majlis.  Ada yang memang dilantik dlm AJK awal, ada yang secara bidan terjun.  Terima sahajalah.  ALAH BISA TEGAL BIASA.


Sepanjang menjadi pengacara majlis itu, saya digandingkan dengan beberapa orang rakan guru yang lain.  Secara solo hanyalah semasa persaraan Pn. Kan dan Malam Juara-Juara kali ke-2.  Saya diminta  menggantikan Pn. Rohani Deraman pada saat-saat akhir kerana beliau terpaksa hadir kursus pada tarikh tersebut, yg tinggal 2 hari sebelum Malam Juara-Juara.


Berganding suara dengan        Pn. Fauziah Abu Hassan dan    Pn. Chan Mee Lan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik SMKTP 2007.












1) Bersama Pn. Surani Awang - Kejohanan Sukan Tahunan 2010 di Stadium Darul Makmur. Masa RUMAH BIRU menjadi Juara Keseluruhan.
Kebetulannya pula pada masa yang sama di luar stadium ada program JOM HEBOH

2) 2012 - Bersama Cikgu AB Malek di Mini Stadium UIAM.  Partner hilang tinggalkan saya seorang mengendalikan majlis.  Muncul setelah majlis bersurai... Macam-macam ragam...hahaha...

3) 2013 - Sekali lagi berganding dengan Pn. Suriani Awang di Mini  Stadium UIAM jg.

Begitulah antara memori menjadi pengacara majlis di SMKTP.  Kenangan yang mewarnai perjalanan hidup seorang guru biasa di sekolah harian biasa; yang menyimpan segala ragam citra watak yg menghidupkan cerita...  

CUTI HARI BURUH @ PEKERJA


Selamat datang MEI.  Cepatnya masa meninggalkan kita... suku pertama 2019 sudah berlalu.  Mei bulan peperiksaan untuk anak-anak didikku.  Tahun ini kita menyambut Ramadan pada bulan Mei,

Hari ini, 1 MEI 2019, RABU - cuti umum sempena Hari Pekerja. Saya tidak merancang untuk ke mana-mana.... Santai dan berehat di rumah melayan cucuanda Mikhail sambil menyiapkan kerja-kerja yang tertangguh.   

Mogok Haymarket 1886 di Chicago, Illinois
Hari Pekerja atau Hari Buruh merupakan  salah satu nama untuk pelbagai cuti tahunan yang diraikan pada 1 Mei (atau dalam permulaan bulan Mei). 

Hari ini juga disebut sebagai Hari Pekerja Antarabangsa, yang diraikan bagi memperingati kejayaan pergerakan buruh melalui mogok umum dan Mogok Haymarket pada tahun 1886 yang menuntut lapan jam waktu bekerja di Amerika Syarikathttps://en.wikipedia.org/wiki/Haymarket_affair


SELAMAT MENYAMBUT HARI PEKERJA.... bekerjalah dengan ikhlas dan jujur, ganjarannya besar di dunia dan akhirat.