Tuesday, August 29, 2017

CUTI SEKOLAH, BEKWOH NIKOH KAHWIN, BLAROCK & ZIARAH...


Setiap kali musim cuti sekolah, banyak sekali majlis kenduri kahwin atau bekwoh @ 'big work'... Cuti sekolah pertengahan penggal kedua yang lepas, selama seminggu termasuk cuti Hari Kebangsaan kali ke-60 dan Cuti Umum Aidiladha 1438H. Suasana di mana-mana meriah dengan majlis kenduri kahwin dan kesyukuran.

Beberapa majlis kenduri kerabat terdekat dan juga rakan taulan bagi meraikan perkahwinan anak-anak kerabat terdekat dan rakan taulan sudah ada dalam catatan diari kami.
 
 

27 Ogos kenduri menyambut menantu sahabat di Kemahang 3 dan menyertai rombongan blarock anak sahabat ke Kemahang 1.



Dalam perjalanan balik ke KB, kami singgah menziarah worih yang uzur di Kg Batang Merbau.  Sekali-sekala pulang ke kampung halaman suami, pasti akan menggamit kerinduan kepada Mek dan juga adik ipar, Aynun yang telah lebih awal kembali ke alam abadi.  


Bonda sepupu yang agak uzur....
Pada 28 Ogos pula, saya dan suami menghadiri majlis sambut menantu, adik ipar  rakan sekerja, Suriani Awang bertempat di Kg. Tok Kaya, Pulai Chondong.  



Dari Pulai Chondong, kami terus ke majlis perkahwinan anakanda rakan sekampung sejak kecil lagi, Wan Hasmah @ Maheran bertempat di Irama Beach Resort, Bachok.  









Keesokan harinya, kami menghadiri majlis sambut menantu sepupu di Kg. Surau Bachok dan selepas itu terus ke majlis kenduri di rumah Pak Ya, worih sebelah Nenek Bidah di Kg Kuala Tiga, Gual Ipoh Tanah Merah. 

Penat tapi seronok.   Semoga hubungan kekeluargaan dan silaturahim antara kerabat dan sahabat akan terus utuh dengan majlis seumpama ini.  Alhamdulillah.

Thursday, August 24, 2017

Peringatan buat diri....

Kita mungkin menjadi insan yang baik apabila kita diuji dengan kesusahan tetapi ramai yang gagal mengawal dan mengurus minda serta iman apabila diuji dengan kesenangan.


Tetamu Senja
Kita datang ini sebagai tetamu senja
Bila cukup detik kembali kita kepada-Nya
Kita datang ini kosong tangan kosong dada
Bila pulang nanti bawa dosa dan pahala
Pada tetamu yang datang dan kenal jalan pulang
Bawalah bakti kepada Tuhan kepada insan


Pada tetamu yang datang dan lupa jalan pulang
Usahlah derhaka kepada Tuhan kepada insan
Bila kita lihat manusia lupa tempat
Atau segera sesat puja darjat puja pangkat
Segera kita insaf kita ini punya kiblat
Segera kita ingat kita punya tekad


Bila kita lihat manusia terbiar larat
Hingga mesti merempak ke laut biru kekuningan darat
Harus kita lekas sedar penuh pada tugas
Harus kita tegas sembah seluruh rasa belas
Kita datang ini
Satu roh satu jasad
Bila pulang nanti
Bawalah bakti pada berkat

... A. samad Said



Friday, August 11, 2017

SELAMAT BERSARA SAHABAT SEUSIA


Sehingga coretan ini ditulis, dalam tempoh MEI - OGOS 2017.... 
4 orang rakan seusia yang sama-sama menabur bakti di SMK Tanah Puteh melangkah ke dunia persaraan.  Selamat bersara wajib, sahabat.   


Sahabat,
kita seusia berbeza bulan
tentu sekali dengan penuh ceria 
kalian ucapkan SAYONARA 
kepada semua tugasan yang menyesak jiwa :


SAPSNKRA
SPLG
APDM
SSDM
HRMIS
Modul Offline
FrogVle
e-Operasi
dan pelbagai 'e' lagi....


terasa sayu dan syahdu sekali
tatkala kalian mula berlalu pergi
persis isyarat tak lama lagi
saya akan memohon diri.
Semoga saya terus diberi
kekuatan untuk berdiri di sini
cekal menabur bakti
demi anak bangsa pertiwi
 dan pasti 
tiba saatnya suatu hari nanti,
 saya jua akan melangkah pergi.


Catatan kenangan buat sahabat....  

Puan Sepinah -  pertengahan Mei 2017




MEI 1982 - kita bertemu di Lembah Pantai,
sama-sama di FSSS dan mengikuti kursus Dip. Ed. bersama-sama...kemudian berpisah.


Tanggal MEI 1986, kita sama2 posting di Darul Makmur tetapi berbeza daerah;
Saya di Pekan, Nah di Kuantan.

JANUARI 2006, bertemu semula kita
 di SMKTP tanpa duga.


dan MEI 2017, kita kembali berpisah...
























Puan Ezmah @ Hasanah - Pertengahan Mei 2017



Puan Megawati - Julai 2017

































Puan Chan Mee Lan - Ogos 2017


HARI-HARI TERAKHIR BERSAMA PN. CHAN MEE LAN DI SMKTP










































Di ruang ini, ingin saya catatkan seloka khusus buat rakan SEUSIA yang telah bersara...  


Salam sejahtera pembuka bicara
Madah disusun mengungkap rasa
Suasana suram pagi yang hiba
Bagai mengerti gelodak jiwa.

        Nah, Ezmah, Mega, Mee Lan panggilan mesra
        Guru veteran yang banyak berjasa
        Mendidik anak bangsa bukan sebentar cuma 
        Berdekad-dekad begitulah lama.

Dari muda hingga berusia
Menjalankan tugas dengan  setia
Menabur bakti mencurah jasa
Tak terbalas dek pelajar semua.

         Kini sudah tibanya masa
         Berundur kalian kerana bersara
         Hilanglah permata yang berharga
         Hilang seri hilang cahaya.

Sudah biasa kita dengari 
patah tumbuh hilang berganti
namun tak sama guru yang ini
Tak mungkin ada galang ganti.

        Kenangan manis kekal selamanya
        Jasa kalian tak mungkin dilupa
        Pemergian kalian tetap kami reda
        Sudah suratan berpisah akhirnya.

Seloka ini sampai di sini 
Tidak berakhir hubungan ini
Silaturahim  terus terpatri
Biarpun kalian tiada di sisi.

        Ampun dan maaf saya pinta
        Andai pernah mengusik rasa
        Jenguklah kami  sekali sekala
        Andai rindu datang menjelma.
        
Semoga kalian sihat sejahtera
Menyusuri hari-hari yang ceria
Di samping beribadat pada yang Esa
Moga dilindungi Allah sentiasa.

SELAMAT BERSARA, SAHABAT

Tuesday, August 1, 2017

MUSIM HAJI TIBA LAGI... Nostalgia TokBae gi Haji

Di sana-sini ramai orang memperkatakan tentang ibadat haji yang bakal bermula tidak lama lagi. Pada tahun ini ramai kenalan dan sanak saudara yang mendapat jemputan untuk ke rumah Allah. Alhamdulillah. Saya turut gembira dengan perkhabaran tersebut. Bilakah pula giliran saya....?

Setiap kali musim haji tiba, saya sering teringat pengalaman buat pertama kalinya menghantar ahli keluarga terdekat ke tanah suci. Kenangan hampir 5 dekad yang lalu....

Saya masih ingat lagi, pada tahun 1968, ketika itu saya masih belum bersekolah. Saya bersama rombongan keluarga terdekat menghantar Tok Bea Saadiah dan suaminya yang kami panggil Wak Aji untuk pergi menunaikan haji ke Mekah melalui jalan laut. Kami menghantar Tok Be di Stesen Kereta Api Tumpat. Tok Bea akan menaiki kereta api terus ke Kuala Lumpur sebelum bertolak ke Jeddah dengan kapal di Pelabuhan Kelang. 


Barangkali, masih ada generasi kita yang tidak tahu bagaimana nenek moyang kita dahulu mahu menunaikan haji di Makkah setiap kali menjelangnya Musim Haji. Sebelum Sistem penerbangan udara diperkenalkan, bakal jemaah kita ke sana dengan menaiki kapal laut dan perjalanan mengambil masa sebulan atau lebih barulah tiba ke destinasi, bergantung pada keadaan cuaca dan angin dilaut. Tapi berbeza zaman sekarang ini, bakal Jemaah Haji hanya perlu naik kapal terbang dan dalam masa yang singkat sahaja untuk sampai ke sana. 
Sebenarnya, terdapat dua buah kapal Haji yang masyhur iaitu "Malaysia Kita" dan "Malaysia Raya".
Kapal "Malaysia Kita"
Nama asal kapal "Malaysia Kita" ialah "Vietnam" dan ia dilancarkan pda 14 Oktober 1951 bagi perkhidmatan Indo-China-Pacific. Pada bulan September 1967 nama "Vietnam" ditukar kepada "Pacific" dan menjalankan perkhidmatan Australia - Tahiti. Pada tahun 1967 kapal ini dibeli oleh syarikat Great Malaysian Lines dan namanya ditukar kepada "Malaysia Kita" dan digunakan untuk mengangkut Jemaah Haji dari Malaysia ke Jeddah. Nasib malang menimpa kapal ini apabila mengalami kebakaran pada tahun 12 Mei 1974 ketika sedang berlabuh di Teluk Katong, Singapura dan akhirnya tenggelam.
Kapal "Malaysia Raya" 
Nama asal kapal "Malaysia Raya" ialah "Laos" dan ia mula dilancarkan pada 21 Disember 1952. Sebagaimana "Vietnam", Laos ialah milik Messageries Maritimes bagi perkhidmatan Indo-China-Pacific.  Pada tahun 1971 "Laos" dibeli oleh syarikat Great Malaysia Line untuk dijadikan "Kapal Haji" dan ditukar namanya kepada "Malaysia Raya". Kapal ini juga mengalami nasib yang sama dengan "Malaysia Kita" iaitu mengalami kebakaran pada 23 Ogos 1976 di Pelabuhan Kelang dan tenggelam. Selepas peristiwa itu, sistem penerbangan diperkenalkan untuk membawa jemaah haji ke Makkah dan sistem pengangkutan laut terus dilupakan.

Tok Bea (Saadiah) merupakan kakak sulung kepada nenek Lijah. Nenek Lijah mempunyai 5 orang adik beradik. 4 perempuan dan seorang lelaki. Yang lelaki saya tidak sempat kenal. Kata nenek, dia pernah dikerah menjadi buruh paksa membina Jalan Kereta Api Maut (semasa Zaman Pendudukan Jepun di Tanah Melayu) dan meninggal dunia tidak lama selepas itu. Nenek Lijah merupakan adik bongsu. 2 lagi ialah Tok Chik (Zainab) dan Tok Ngah (Esah). Dalam empat beradik ni, Tok Be merupakan orang yang pertama sekali ke Mekah dan dialah yang paling akhir kembali ke rahmatullah. Tok Bea meninggal dunia pada tahun 2005.

Ingat-ingat lupa, kami menaiki bas @ menyewa kereta untuk ke Tumpat. Di stesen kereta api Tumpat (stesen paling akhir), orang sangat ramai. Pada masa tu, kalau ada orang pergi haji, hampir satu kampung akan turut serta mengiringi keberangkatan mereka. Maklumlah, bukan mudah untuk ke sana pada waktu itu, dalam satu kampung tu tak ramai yang pergi; tidak seperti hari ini.

Sebaik sahaja Tok Bea menaiki kereta api menuju stesen Kuala Lumpur, saya ingat lagi, kami melambai-lambai dengan kain sapu tangan kecil sehingga kereta api hilang daripada pandangan mata. Mereka akan meneruskan perjalanan ke Pelabuhan Kelang kerana pada masa tu, bakal haji pergi ke Mekah menaiki kapal laut. 

Perjalanan dengan kapal laut mengambil masa berbulan-bulannya   lama. Berbulan-bulan lamanya jika diambil kira pergi dan balik. Tabung Haji belum ada lagi waktu tu untuk menguruskan jemaah haji, jadi semuanya diuruskan sendiri dengan bantuan kenalan, biasanya yang dah lama menetap di Mekah (mungkin orang yang mengetuai rombongan haji).   Jemaah haji kena bawa bekalan makanan seperti ikan kering, beras dan lain-lain, kain baju dan perkakas memasak. Semua barang itu itu dimasukkan ke dalam kotak kayu yang besar. 

Perpisahan di stesen kereta api, kadang-kadang dirasakan sebagai perpisahan terakhir.  Hanya doa dan air mata yang mengiringi TokBea agar selamat pergi dan kembali. Daripada apa yang diceritakan oleh Mama, Tok Bea terpisah dengan Wak Aji (suami TokBea) ketika di Mekah. Mereka bertemu semula setelah kembali ke tanah air.

Pada masa tu, kami yang masih kecil tidak begitu faham erti perpisahan...

Buat sahabat yang akan / telah berangkat ke tanah suci, selamat menunaikan fardu haji dan selamat menyempurnakan ibadah, semoga mendapat haji yang mabrur....