Saturday, December 31, 2011

CORETAN PENGHUJUNG TAHUN 2011....

Alhamdulillah, saya baru sahaja selesai menyempurnakan tugasan rutin akhir tahun. Lega rasanya....

Syukur juga kerana saya masih diberi kesempatan untuk menghirup udara segar tahun 2011 yang disulami hujan yang mula turun renyai-renyai membasahi bumi....

Kita semua tahu, mentari 2011 bakal terbenam dan akan diganti dengan fajar 2012 beberapa jam lagi. Tentu sekali banyak kenangan yang terakam dalam memori sepanjang 12 bulan kita berada di tahun 2011. Pasti ada yang manis dan ada juga yang pahit. Semuanya akan terpahat kukuh dalam ingatan sampai bila-bila.

Secara peribadi, 2011 membuka lembaran baru kepada kami sekeluarga. Yang paling indah, tahun ini kami menerima ahli baru dan bakal bertambah lagi ahli baru pada tahun hadapan. Beberapa hari lepas, keluarga kami diceriakan dengan kehadiran anak saudara yang baru, MOHAMMAD ZARIF ZIKRY... hadiah penutup tirai 2011....

Dalam pada itu, kami juga kehilangan seorang ahli keluarga... kakak ipar sulung telah kembali menemui Penciptanya buat selama-lamanya pada 11 Zulhijjah 1433 yang lalu. Kami tidak henti-henti diuji sehinggalah saat-saat 2011 akan berakhir.... Sesungguhnya, semua peristiwa yang berlaku akan kami jadikan teladan dan sempadan buat menempuh perjalanan menuju jalan pulang yang masih jauh....


Mungkin ada yang beranggapan bahawa tahun yang bakal berlalu sebagai tahun yang tidak pernah diduga akan hadir di dalam diari hidup mereka, lantaran ujian dan cabaran yang betul-betul menekan. Jangan lupa, seperti yang selalu diperkatakan orang, ujian dan cabaran ialah rempah ratus kehidupan.

Tanpa ujian dan cabaran, hidup kita akan berlalu bak air yang mencurah keluar daripada pancur, sekadar mencurah turun, tak ada langsung nilai-nilai yang boleh dikenang dan dijadikan teladan.

Sebaliknya jika perjalanan hidup kita seperti air sungai yang sekejap cetek dan sekejap melimpah ke tebing, kemudian perlu mengharung segala batu, kayu termasuk sampah sarap… ketibaan kita di muara nanti merupakan sesuatu yang amat bermakna.

Paling penting juga, ingatlah, bukan kita sahaja diuji. Ada insan lain yang lebih teruk ujiannya daripada kita. Lantas, jadikan ujian Ilahi sebagai pendekat diri kita kepada-Nya dan percayalah…. YANG PAHIT AKAN MANIS AKHIRNYA…

Tak kisahlah apa-apa sekali pun peristiwa yang kita lalui di sepanjang 2011, yang pasti kita perlu bersyukur ke hadrat Ilahi kerana kita masih diberi kesempatan untuk terus melihat fajar tahun baharu yang bakal muncul nanti....

Tahun baharu bermakna usia sudah tidak baharu lagi. Hayat bertambah menjadi semakin lama... SELAMAT TAHUN BAHARU 2012 dan ucapan untuk diri sendiri "selamat menempuh usia separuh abad....

Semoga kita semua terus diberi kelapangan dan kekuatan mental serta fizikal bagi membolehkan kita memantapkan amal ibadat buat bekalan di akhirat kelak...juga dapat kita berbakti kepada keluarga, agama dan negara. Semoga kita terus berada dalam peliharaan dan keberkatan-Nya... Amin.


- pantun SELAMAT TAHUN BAHARU nukilan Cikgu Naim Daipi...


Wednesday, December 21, 2011

DIA yang menentukan segala-galanya...

Terasa lama sungguh tak singgah di sini... Ilham tak kunjung tiba dek minda sarat dengan tugasan yang lebih penting... demi melaksanakan amanah dan misi negara....

Alhamdulillah, tugasan penting hampir selesai. Tinggal lagi kerja-kerja perkeranian yang perlu disiapkan. Yang ini kena tunggu "sampul misteri" dulu daripada anak-anak buah. Selepas cuti Hari Natal nanti barulah boleh selesaikan.... jadi bolehlah 'terapi minda' di sini buat seketika.

Sebenarnya, banyak peristiwa berlaku seminggu dua ini yang tidak sempat dikongsikan di sini. Ada yang menggembirakan, tak kurang juga yang mengharukan.... Semuanya DIA yang menentukannya... dan sesungguhnya, setiap yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya....

Ujian daripada Allah...



ISNIN pertama Disemb
er 2011, lebih kurang pukul 10 malam.... sedang saya sibuk menyiapkan bahan untuk mesyuarat, tiba-tiba saya dikejutkan dengan panggilan telefon daripada adinda MUTIA ANGGEREK yang ketika itu sedang bertugas di luar KL....
"Kak La dah tahu ke pasal Abe..." perlahan aje suara Ya, walaupun sebenarnya orang lain tak akan dengar perbualan kami....

"Apa cerita...?" Hati memang berdebar-debar kerana baru semalam kami bertemu di Danau Kota, Setapak sebelum saya bertolak balik ke Kuantan.

"Abe accident...., tapi tak serius. Kalau nak tahu lebih, telefon Wan..."
Saya terus menghubungi adinda NADIA HANUM untuk mengetahui perkembangan selanjutnya.... Ketika itu Wan dan ALONG AINA ada bersama Abe di HKL... setelah mengetahui sedikit sebanyak keadaan sebenar dan boleh bercakap sendiri dengan Abe, barulah lega sikit rasa hati. Tulang belakang T12 Abe patah sedikit akibat terjatuh daripada motosikal yang dilanggar dari belakang.... Kata doktor, nasib baik patah ke luar; jika patah ke dalam, akan memberi kesan pada saraf ....

Saya amat terkilan juga kerana tidak dapat bersama Abe, malah tidak sempat untuk menjenguknya selama 4 hari Abe di HKL kerana terpaksa menjalankan amanah negara. Kebetulannya pada waktu itu saya bermesyuarat dengan 'anak-anak buah' selama 3 hari di SMKTP Kuantan. Hati meronta, Tuhan sahajalah yang tahu naluri seorang Ibu ketika berada dalam situasi begini. Hanya doa yang dapat saya titipkan dari jauh, semoga Abe reda dan tabah dengan ujian ini.

Walau apa sekalipun ujian yang mendatang, kami tetap memanjatkan rasa syukur
kepada Ilahi kerana keadaan Abe tidak serius. Abe perlu memakai 'brace' untuk menstabilkan tulang belakangnya ketika hendak berdiri atau duduk.

Selepas 4 hari di hospital, Abe dibenarkan pulang. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga untuk Ibu Jam, Adinda Bariyah dan Adinda Nadia kerana meluangkan masa untuk membawa Abe balik ke rumah adinda Noni di Taman Bukit Serdang....
Abe dinasihatkan berehat selama 1 bulan sebelum pemeriksaan susulan dibuat pada 4 Jan 2012. Harap-harap dalam masa beberapa minggu ini Abe akan kembali pulih... Nampaknya, kena cuti lagilah, Abe.

Kepada adinda SAHAZALI AD dan NORBANILAWATEY JUSOH, terima kasih banyak-banyak. Walaupun sibuk dengan tugasan harian di pejabat, tetapi kalian masih punya waktu untuk menjaga makan minum Abe...

Kepada Anak-anak saudara yang tersayang... A B C yang dengan rela hati menjadi misi @ jururawat separa terlatih untuk menjaga Abe dengan tunjuk ajar anakanda AISYAH... Tidak lupa kepada ahli keluarga yang lain, termasuk sahabat-sahabat Abe yang turut bersusah payah menjaga Abe, terima kasih banyak-banyak...Hanya Allah sahaja yang akan membalas budi baik kalian.


Sesungguhnya kita semua tidak pernah terlepas daripada ujian Allah....

Allah Maha Mengetahui dan Maha Mengasihani....


2 hari selepas Abe kemalangan, dalam keadaan resah gelisah dan rasa terkilan bersilih ganti - antara tugas dengan melawat Abe di HKL, kami dihadiahkan satu perkhabaran lagi.... Kali ini khabar yang menggembirakan. Khabar yang dinanti-nantikan oleh seluruh ahli keluarga....

Tidak lama lagi Papa HJ JUSOH DAUD dan Mama HJH CHE HALIMAH CHE YUSOFF bakal menerima cicit pertama.... Anakanda MOHD FAHMI NAIN dan NURUL AINA AWANG bakal menimang cahaya mata yang pertama pada pertengahan Ramadan tahun depan. Sebagaimana Syawal tahun ini, kami sekali lagi akan mendapat ahli baru dalam keluarga menjelang Syawal 1433....

Alhamdulillah... DIA-lah yang menentukan segala-galanya....




Sunday, December 11, 2011

Eeka genap sepuluh tahun....



11.12.2011...

genaplah 10 TAHUN usianya...

NUR HANIS SHAFIQAH

puteri bongsu

NORBANILAWATEY JUSOH

dan

SAHAZALI AWANG DERAMAN...



Semoga Eeka akan terus menjadi

anak yang solehah.



Selamat

menyambut

ulang tahun

kelahiran.....



Eeka yang sentiasa menghiburkan.....


Daripada : Cik La, Ayah Chik, Abe Faris, Abe Emi & Kak Aina dan Kak Uti....




Saturday, December 3, 2011

Warna Cermin Diri

Warna merupakan ciptaan Allah s.w.t yang sangat cantik. Warna yang terbaik adalah warna pelangi, warna yang Allah s.w.t pamerkan selepas hujan.

Mengapa ketika solat Nabi galakkan memakai pakaian berwarna putih? Ketika peperangan, Nabi memakai pakaian berwarna hitam?

Semua orang mempunyai warna kegemaran. Warna kadang-kadang mencerminkan diri seseorang. Warna juga boleh mempengaruhi seseorang dalam melakukan sesuatu. Setiap orang mempunyai warna diri.

Warna diri ini berkait rapat dengan ragam, perangai, tingkah laku, cara berfikir, perasaan, semangat, perlakuan dan tindak tanduk setiap individu. Apabila tidak mengetahui warna diri atau warna alah kepada dirinya, seseorang itu akan menyukai warna-warna tertentu sebagai warna kegemaran yang tanpa disedari itulah lambang kelemahan yang sedang dilaluinya.

Setiap individu mempunyai warna yang melindungi dirinya. Warna pelindung diri ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu bahagian luaran dan dalaman. Warna luaran mendominasikan 80% sifat individu berbanding warna dalaman. Warna diri ini dikenali sebagai aura yang tidak kelihatan yang bertindak sebagai perisai halus atau benteng diri manusia. Warna-warna tersebut mewakili empat level diri manusia iaitu Spiritual (Putih), Emosi (Merah Jambu), Mental (Hijau) dan Fizikal (Biru).

Atas segala sesuatu yang berlaku, hanya Allah s.w.t yang menentukannya...Dekatilah diri kepada-NYA sentiasa.


Thursday, December 1, 2011

Selamat Ulang Tahun Kelahiran, Sayang....

Buat suami,
insan yang penuh dengan cinta dan sayang,
ingin kutitipkan ucapan...

"SELAMAT MENYAMBUT ULANG TAHUN KELAHIRAN YANG KE-51..."

Kupanjatkan rasa penuh kesyukuran pada Allah s.w.t. kerana memberikan masa untuk aku mengenali erti kasih sayang dari insan dan Tuhan, menghayati pengorbanan luar biasa yang mencetus keinsafan dan memberikan aku waktu untuk mengecap cinta sedingin salju. Lebih bermakna lagi kerana 2011 diraikan bersama ahli baru dalam keluarga, anakanda NURUL AINA AWANG. Kita memasuki fasa baru dalam melayari hidup bersama....

Buat suami tercinta, kutujukan doa khusus buatmu. Tika sujud yang panjang, aku memohon agar kehidupanmu sentiasa dalam rahmat Tuhan. Semoga Allah panjangkan umurmu, diberikan kesihatan yang baik dan rezeki yang penuh keberkatan....

Kudoakan, biarlah hanya yang terbaik berlaku dalam kehidupan, dunia dan akhirat bersama kita gapai penuh kesyukuran. Harapan dan impianku, agar aku mampu membuatmu sentiasa tersenyum dan tertawa saat kita bersama meniti usia. Moga Allah berikan aku kekuatan untuk membekalkan tenang dihatimu walaupun ketika hidup kita dihempas gelombang.

Terima kasih Tuhan kerana Kau jadikan dia untukku....
Terima kasih sayang kerana hadirmu begitu membahagiakan....