Monday, July 6, 2009

UMRAH WAJIB

Rancangan awal, kami akan bertolak dari Madinah ke Makkah sebelum Asar. Atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, kami bertolak agak lewat. Kelewatan ini ada hikmahnya. Sempatlah kami solat Asar berjemaah Masjid Nabawi untuk kali terakhir.

Selamat tinggal Madinah. Pasti aku akan berkunjung lagi ke kotamu.

Kami bertolak ke Makkah melewati 4.30 petang waktu tempatan.
Bas yang kami naik berhenti di Bier Ali untuk mengambil miqat. Bier Ali merupakan sebuah kampung yang terletak 7 km dari Kota Madinah. Jemaah lelaki menukarkan pakaian dengan memakai ihram dan kami berniat umrah di sini.

Jarak dari Madinah ke Kota Makkah lebih kurang 450 km. Dalam perjalanan, kami singgah di sebuah masjid (tak pasti nama masjid ni) untuk solat jamak Isya' dan Maghrib. Ada sebuah restoran berhampiran masjid dan ramai jemaah yang dalam perjalanan ke Madinah berhenti minum serta makan di sini. Kami sekeluarga hanya minum tea-o panas.

Selepas lebih 7 jam perjalanan, kami sampai di destinasi kami. lebih kurang pukul 11.30 malam. Sesampainya di hotel penginapan di Makkah, kami rehat sekejab, makan, dan terus ke Masjidil Haram untuk menyempurnakan umrah wajib kami.
Kami memulakan tawaf hampir pukul 1.30 tengah pagi waktu tempatan. Kami tidak mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan 7 pusingan kerana jemaah tidak begitu ramai waktu itu. Selepas sembahyang sunat dan berdoa di hadapan multazam, kami terus menuju ke bukit Safa untuk memulakan Saei. Semasa kami menghala ke tempat Saei, barulah kelihatan berbondong-bondong jemaah secara berkumpulan masuk untuk melakukan tawaf. Jangkaan kami jemaah dari Turki.

Kami memulakan saei dengan tenang dan selesai sahaja pusingan ke-4, kedengaran azan subuh yang pertama berkumandang di udara. Kami meneruskan saie dan selesai bertahalul setelah azan kedua dilaungkan. Kemudian, kami terus mengambil tempat di dalam ruang masjid untuk menunaikan solat subuh. Jemaah sudah agak ramai ketika ini.

Aku berasa sangat gembira dan sangat bersyukur kerana dapat menunaikan umrah wajib dengan sempurna bersama Hubby, Emi dan Adik.


Selesai solat subuh, kami balik ke hotel untuk berehat buat seketika...

No comments: