Hujung tahun, bermakna
musim bah akan tiba. Mereka yang tinggal di kawasan yang sering dilanda
banjir @ bah pasti akan sentiasa berjaga-jaga untuk menghadapi
kemungkinan banjir. Yang tidak pasti adalah sama ada bah itu besar atau
kecil..!
|
Stadium Muhammad ke-IV pada 26 Dis 2014 |
|
Boleh dikatakan saban tahun pasti berlaku bah, tetapi bah besar tidak semestinya berlaku pada setiap tahun.
Penghujung 2014, banjir besar melanda banyak kawasan yang belum pernah dibanjiri sebelum ini hampir semua daerah di Kelantan, kecuali di Daerah Bachok. Kesan yang paling teruk adalah di Gua Musang, Kuala Krai, Dabong, Tanah Merah, dan Tumpat. Tidak terkecuali di Kota Bharu. Sejak berdekad-dekad lamanya rumah Bonda dan Ayahanda di Kg Kota tempat kami dilahirkan dan membesar tidak pernah ditenggelami banjir, tetapi kali kali ini air bah paras pinggang di dalam rumah Bonda.
|
SMK Manik Urai yang ditenggelami banjir pada 23 Disember 2014 |
|
Bandar Kuala Krai pada 23 Disember 2014 |
Sebenarnya, ada bah besar, ada bah
kecil. Ada bah disebabkan air hujan yang bertangkung kerana sistem
saliran yang tidak baik. Ada bah disebabkan oleh limpahan air sungai
yang banyak. Bah air hujan cepat surut. Apabila hujan reda, bah pun akan
surut.
Bah air sungai akan berlaku
setelah isipadu air sungai bertambah akibat hujan lebat
berterusan di kawasan hulu. Air sungai berbeza dengan air
hujan... lebih sejuk hingga ke tulang hitam dan warna juga lain. Keadaan akan menjadi lebih gawat
apabila angin monsun bertiup kencang menyebabkan aliran air ke muara
menjadi sebak. Akibatnya, tempat yang rendah akan ditenggelami air dalam
tempoh masa yang lama...
Ramai yang
terkepung dan terkandas. Pelbagai cerita sedih dan menyayat hati
berlaku. Biarlah kisah sedih ini menjadi ikhtibar kepada semua pihak. Banyak harta benda musnah. Ramai kehilangan tempat tinggal terutama sekali di kawasan Gua Musang, Kuala Krai dan Dabung. Kawasan yang ditenggelami banjir penuh lumpur tebal selepas air bah surut.
Tidak dapat dibayangkan perasaan nasib mangsa yang terlibat; berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul...
Banjir di Kelantan pada tahun ini dianggap yang terburuk dalam tempoh lebih 8 dekad, kali terakhir terburuk adalah pada tahun 1929 walaupun pada masa itu air bah tidak menjejaskan penduduk di Kg Kota.
Sesungguhnya
setiap yang berlaku ada hikmah yang terselindung di sebaliknya. Semuanya merupakan perancangan daripada Allah s.w.t dan ini merupakan
antara ujian serta peringatan Allah kepada kita. Banjir menguji
kesabaran dan sejauhmana kita bersyukur dengan nikmat yang telah Allah
kurniakan kepada kita selama ini. Segala yang kita miliki ini
hanyalah pinjaman daripada Yang Maha Esa, bila-bila masa akan
diambil-Nya kembali. Mungkin Allah akan menggantikannya dengan yang
lebih baik lagi.
2 comments:
salam, blog yg banyak info menarik..terimakasih
mohon kongsi sekeping gambar dalam entri ini. sekian terima kasih. sekiranya kelapangan sila lawati blog saya di mdfaiez84.com
Post a Comment