Thursday, September 13, 2012

Kampung Kota @ Kg Wakaf Sena yang kucintai....


Dalam tempoh sebulan ini, pada setiap petang saya akan singgah di channel C318... saluran khusus sempena kempen Negaraku pada bulan Kemerdekaan tahun ini.   Saluran ini akan bersiaran sehingga 17 September ini.  My Hometown.

Seronok menonton filem-filem pendek bertemakan kampung masing-masing.  'My Hometown'  merakamkan kenangan manis di kampung halaman dengan mengetengahkan pelbagai kisah menarik.  Semua orang ada kampung kelahiran sendiri.  Kampung yang sentiasa dekat di hati, yang sering menggamit memori zaman kanak-kanak.... 


Hujung minggu ini saya akan pulang sekali lagi ke kampung.  Cuti sempena Hari Malaysia pada Ahad akan dibawa ke hari Isnin.  Dapatlah cuti 3 hari berturut-turut.  Sempatlah melepaskan lelah dan melunaskan rindu terhadap Papa dan Mama serta ahli keluarga yang lain...
 
Sesekali pulang ke kampung halaman, ingatan singgah pada kenangan zaman kanak-kanak apabila melihat tali air terbentang di tengah-tengah sawah padi ketika melalui lebuh raya KB - Pasir Mas, melalui persimpangan Bt. 4 Jalan Kuala Krai, Jelutong, Tunjung, Kampung Kota hingga ke persimpangan lampu isyarat untuk ke Mulong, Pasir Mas atau ke Tendong.  Walaupun pemandangannya sudah berubah berbanding lebih 30 tahun yang lalu, namun kenangan itu tetap singgah di minda.   

Dulu, di Kg Kota, salah satu aktiviti ekonomi masyarakatnya ialah menanam padi. Sekali setahun. Bermula dengan kerja-kerja menenggala (membajak tanah dengan tenggala), menabur benih, mencabut semai (anak padi) dan mencedung atau menanam semula anak padi di tapak semaian. Sementara menunggu padi masak, penduduk kampung yang terlibat akan melakukan aktiviti lain seperti menoreh getah, menanam sayur, bertukang rumah dll. Setelah padi masak bertukar warna menjadi kuning keemasan, bermulalah proses mengetam atau memukul @ membanting padi.... Penanaman padi bergantung kepada bekalan air, jadi "tali air" telah membawa perubahan kepada masyarakat petani di seluruh negara, termasuklah petani di Kg Kota. Penanaman padi 2 kali setahun bermula dengan adanya tali air.
tali air nadi ekonomi penduduk Kg Kota suatu ketika dahulu....
"Tali Air" - kata yang tidak memberi apa-apa makna kepada seorang kanak-kanak yang baru berusia 6 - 7 tahun lebih 4 dekad yang lalu... kanak-kanak itu hanya tahu menyebut, tetapi tidak pasti maksud sebenarnya tali air.

Dulu, di seberang jalan depan rumah kami terbentang luas sawah padi yang menghijau. Berpetak-petak dengan keluasan yang berbeza-beza. Pernah suatu ketika, pada pertengahan tahun 1960-an kerajaan berura-ura untuk membina sebuah sekolah menengah di situ, tetapi tidak dipersetujui oleh penduduk setempat. Sawah inilah punca ekonomi sebahagian besar penduduk Kg Kota pada waktu itu. Pembinaan sekolah mengorbankan kawasan sawah padi yang luas. Ini bermakna mereka akan kehilangan mata pencarian. 


Awal tahun 1969... penduduk kampung, lebih-lebih lagi kanak-kanak begitu teruja melihat beberapa buah jentera berat, terutama sekali jentolak dan jengkaut masuk ke kampung kami meredah sawah padi yang sedang 'berehat' kerana musim menuai baru berakhir. Di seberang jalan, di belakang rumah Tok Wan Yusof Tauke Kain, dengan jarak serelung bendang padi, kerja-kerja menggali tanah dijalankan tanpa henti. Di luar musim menanam, tapak sawah di belakang rumah Tauke Kain ini tidak digunakan. Tanah rang ini akan bertukar menjadi gelanggang untuk kami bermain bola wa atau bola kaki tiga pada waktu petang sehingga musim menanam padi kembali semula pada tahun berikutnya.

Jentera-jentera berat ini terus gagah menukar lanskap bumi. Daripada seela menjadi serantai dan seterusnya berantai-rantai, berangkai-rangkai.... Hari bertukar minggu, minggu bertukar bulan... Sambil bermain, kami asyik melihat dari jauh kerja-kerja pengorekan @ penggalian tanah.... Kadang-kadang, pada hari-hari mereka tidak bekerja, naluri ingin tahu telah membawa kami untuk menjenguk lubang panjang yang siap digali... tidak terfikir oleh minda kanak-kanak seusia 6 @ 7 tahun, apakah sebenarnya yang hendak dihasilkan....? Tanah di sebelah kiri dan kanan korekan itu diratakan menjadi laluan bertebing @ jalan tak berturap. Kami sering kali berkejar-kejaran di atas laluan itu.

Pernah pada suatu petang, kami masuk ke dalam terowong yang menghubungkan antara dua tali air. Panjang terowong ini lebih kurang 20 meter. Sesuatu yang baharu bagi kami. Sebagai kanak-kanak, sebenarnya kami masih belum mengerti fungsi atau tujuan terowong itu ada di situ....

Setelah beberapa bulan berlalu... sedar-sedar, korekan tanah yang panjang berantai-rantai panjangnya, dengan kedalamannya lebih daripada 10 kaki itu telah dipenuhi air. Tidak pernah terlintas di minda kami untuk ambil tahu, bagaimana talian korekan tanah itu dipenuhi air. Pada kami, itu berlaku secara semula jadi. Kanak-kanak, apalah sangat yang boleh mereka fikirkan. 

(Beberapa tahun selepas itu, setelah belajar Geografi semasa di sekolah menengah, baharulah terjawab semua persoalan zaman kanak-kanak dahulu...)
Akhirnya, oh, begini rupanya yang dikatakan "TALI AIR ". Panjang seperti tali, kemudian dipenuhi air....! Tali air yang dibina di bawah Rancangan Pengairan KEMUBU ini merupakan salah satu projek Rancangan Pembangunan Ekonomi negara yang bertujuan untuk meningkatkan pendapatan golongan petani di luar bandar melalui DEB, iaitu penanaman padi dua kali setahun...!

Aku masih ingat, aku juga sering menghabiskan masa bersama Noni mengikut bapa saudara, Arwah Che Abe menangguk udang @ anak-anak ikan di tali air. Kadang-kadang aku dan Noni curi-curi mandi (walaupun tidak tahu berenang) di tali air. Langsung tidak terfikir akan bahaya bermain di tali air.... memang tidak tahu takut...!

Dalam tempoh 12 tahun pertama selepas pembinaannya, tali air ini 'terpelihara' dengan baik. Dari rumah Mama kami boleh lihat ibu bapa membawa anak-anak bersiar-siar di atas tali air pada waktu petang sementara menunggu senja, terutama sekali pada musim menuai padi.

Yang paling aku suka ialah meniti di atas titi kayu atau titi yang dibuat daripada 2 batang pokok kelapa yang merentangi tali air..... Kenangan hampir 30 tahun yang lalu... selepas melanjutkan pelajaran ke luar daerah, aku sudah tidak berkesempatan lagi berjalan-jalan di atas tali air ini, apatah lagi setelah berkeluarga dan sekali-sekala pulang ke kampung ...!

Kini, persekitaran tali air di kampungku ini tidak seindah 30 tahun yang lalu. Airnya keruh dan banyak rumput dan rumpai air tumbuh sehingga menjadikan alirannya tersekat! Di sesetengah tempat, tali air kini dijadikan tempat membela ikan dalam jaring. Sawah bendang yang memisahkan jalan raya dengan tali air sudah dipenuhi rumah-rumah kediaman. Jadi, dari rumah Mama kami sudah tidak dapat melihat tali air yang dahulunya menjadi tumpuan kami bersama adik-adik bersiar-siar sebelum menjelang senja.
mengimbau kenangan...suatu waktu dahulu kami pernah berlari-larian di sini....

Pada Aidilfitri yang lepas, setelah sekian tahun tidak menjenguk tali air, kami sempatlah meninjau dan bergambar kenangan di tali air ketika singgah berhari raya di rumah sepupu kami... Za, anak Pok Muda Leh.  Tapak rumahnya ini, dulunya menjadi tempat Atok Che Yusof menanam sayur ketika di luar musim menanam padi, dan di tapak itu jugalah tempat semaian anak-anak padi....  Rumah Za di tepi tali air yang suatu ketika dahulu, lebih 30 tahun yang lalu menjadi tempat kami bersiar-siar pada waktu petang.
Kini, tiada lagi kelihatan penduduk kampung berjalan-jalan mengambil angin pada waktu petang di tali air sambil melihat kanak-kanak bermain wau... semuanya sudah berubah.  
membelakangi bangunan pejabat persekutuan....

Di seberang tali air sekarang, kelihatan bangunan RTC atau dulunya dikenali sebagai TEMAN (Teminal Makanan), beberapa buah bangunan pejabat persekutuan yang sudah siap dibina dan ada juga yang masih dalam pembinaan.  Bangunan-bangunan ini bakal mengubah lanskap kampungku...bandar Baru Tunjung dalam pembikinan....  

Kenangan ketika bermain-main di tali air akan tetap indah di hati dan sering menggamit kerinduan akan zaman kanak-kanak....saya sayang kampung saya... Kampung Kota @ Kampung Wakaf Sena yang terletak dalam Mukim Kota, Daerah Kota Bharu di Negeri Kelantan Darul Naim....Tanah Serendah Sekebun Bunga....

Tali air... tersimpan banyak memori di sepanjang jalan pulang... tali air yang memberi rezeki.... tali air yang merentap jiwa ...





No comments: