Tadi sambil mencari maklumat berkait dengan pisau toreh getah untuk melengkapkan Galeri Sekolah, teringat saya kepada Mok Lijah (nenek sebelah Mama) yang pernah menoreh getah (sebagai sumber pendapatan sambilan selain bertani). Saya juga sentiasa teringat kenangan bersama Che Daud (atuk sebelah Papa) yang pernah memiliki dan mengusahakan beberapa ekar ladang getah). Kenangan ini akan saya kongsi dengan 5 orang adik, anak-anak saya, serta anak-anak buah yang tidak berpeluang melalui pengalaman 'indah' ini.
susu getah mengalir masuk ke dalam mangkuk porcelin khas.... |
Pisau khas digunakan untuk menoreh lapisan kulit kayu getah. Ini dilakukan dengan teliti sekali supaya tidak merosakkan batang pokok getah. Torehan ini menembusi sel-sel pokok dan lateks akan mengalir dengan perlahan ke dalam mangkuk yang disediakan di bahagian bawah batang pokok. Lateks ini pekat dan putih. Ia kelihatan seperti susu. Lateks akan berhenti mengalir dalam masa 2 atau 3 jam.
Nenek akan pergi semula dari pokok ke pokok untuk menuang lateks dari mangkuk ke dalam baldi besar. Setelah dibawa pulang ke rumah, susu getah ini akan ditapis dan dimasukkan ke dalam takung (dibuat daripada tin minyak tanah dibelah menjadi dua untuk dibekukan dengan campuran asid formik (cuka getah). Saya, Kak Ros dan Noni akan mengelilingi tempat nenek membekukan getah ini. Setelah selesai, nenek akan membersihkan diri untuk solat Zohor , makan tengah hari dan berehat sekejab.
Hari ini, saya dapati penoreh getah tidak lagi 'mengutip' susu getah dan dibekukan menjadikan kepingan getah, sebaliknya, susu getah dibiarkan beku dalam mangkuk dan dijadikan getah sekerap. Dari segi kualiti / harga, getah keping lebih bermutu dan mahal harganya... Tidak pasti mengapa penoreh getah hari ini memilih untuk menjadikan getah skrap!
mesin getah licin |
Apabila susu getah telah menjadi beku, kami bertiga akan ikut nenek ke bangsal mesin getah. Pada masa itu tidak ramai penduduk di kg saya yang mempunyai mesin getah. Nenek guna mesin getah di rumah Tok Nik Weil (Tok Guru Ngaji Quran kami) yang letaknya lebih 1 km daripada rumah kami.
Kami berjalan kaki beramai-ramai ke sana ikut jalan kampung. Nenek akan menjunjung 2 buah takung yang berisi getah yang telah beku. Sampai di bangsal mesin getah, nenek akan menuangkan isi takung itu ke atas simen. Kami bertiga pun akan memijak-mijak getah itu/ atau kadang-kadang ditekan-tekan saja dengan tangan agar menjadi agak nipis atau leper sebelum dimesin.
Ada mesin getah licin dan ada mesin getah bunga. Kami berebut-rebut untuk menggunakan mesin getah licin kerana kerja menggelek masih ringan. Proses menggelek ini diulang beberapa kali sehingga menjadi kepingan getah yang nipis. Pusingan/ gelekan yang akhir, menggunakan mesin getah bunga, agak berat, nenek lah yang menyempurnakannya. Kini, semua itu hanya tinggal kenangan - Nenek Lijah sudah lama kembali ke rahmatullah. Kadang-kadang Nenek muncul dalam mimpi...
mesin getah 'bunga'.... |
Kenangan semasa cuti pada hujung tahun 1981 di ladang getah atuk sebelah Papa - Che Daud di Estet Kuala Pertam, Keroh (dalam daerah Kuala Krai) bersama Noni juga tidak dapat dilupakan. (K.Ros tidak menyertai kami kerana dia memang jenis 'perumahan' sikit...)
ketika di ladang getah Che Daud suatu ketika dahulu.... |
Kami ke sana bersama Che Daud dan Nek Bidah serta 3 orang sepupu. Ini merupakan kali kedua dan terakhir saya dan adik ke sana. Selepas melanjutkan pengajian di UM pada tahun 1982, saya tidak berkesempatan lagi ke sana kerana selepas itu Che Daud kembali ke rahmatullah (1983). Beberapa tahun kemudian, ladang tersebut dijual kerana tidak ada orang yang mampu menguruskannya. (Papa hanya 2 beradik dan pada masa itu masih bekerja di Kota Bharu).
Buat adik-adik : Melisa, Anggerek, Nadia, Idayu; Anak-anak : Abe, Emi, Adik; Anak-anak buah : Along Aina, Along Natasha, Fifi, Najwa, dan Eka - inilah secebis kenangan buat mengisi ruang sepanjang jalan pulang.... Kalian pasti tidak berpeluang melaluinya ...
3 comments:
Erm skrg ni, kadang kalau jumpa pokok getah pun dh tak kenal.. thanx coz citer memori ni yg tak mungkin kami rasai sepanjang hayat.
along pernah tgk n pernah ikot mek n cek menoreh dlu..cume bile da msuk skolah peluang tu dah tak ade..huhuhu
thanx sharing cite dlu2..:)
sharing is caring. kenangan terindah walaupun x sempat untuk merasainya
Post a Comment