Wednesday, September 29, 2010

Memberi Kemaafan....




Ramadan datang dan Ramadan pergi. Kini, Syawal juga sudah hampir ke penghujung....

Apa yang paling ketara yang biasa kita lakukan pada Syawal, terkandung dalam ucapan kita apabila menyambut hari raya. Kita mengucapkan "SELAMAT HARI RAYA. MAAF ZAHIR DAN BATIN."

Ya, perkataan keramat yang tersirat di sini ialah MAAF. Sesungguhnya amat besar erti perkataan ini.
Mohonlah kemaafan daripada mereka atas segala salah dan silap. Mungkin ada perkataan yang pernah melukai perasaan, atau mungkin ada juga perbuatan yang pernah mencalar percintaan, persaudaraan dan persahabatan. Jernihkan semula kolam kemesraan. Cantikkan semula taman ukhwah dengan bunga-bunga kasih sayang...
Sesungguhnya, kecemerlangan hidup seseorang amat bergantung kepada kejernihan hatinya. Apabila hatinya jernih, penuh kemaafan, kasih sayang, barulah dia dapat mewujudkan khusyuk atau fokus. Kebolehan untuk fokus dan khusyuk dalam apa-apa sahaja yang kita lakukan itulah rahsianya yang kita dapat melakukan sesuatu itu lebih daripada biasa dan menjadi luar biasa atau cemerlang.

Pada bulan Ramadan kita diseru untuk menahan nafsu kita. Kita berlapar, kita menjaga tutur kata kita, kita membanyakkan amalan dengan mendekatkan diri kita kepada Yang Maha Berkuasa. Kita meningkatkan kualiti hidup kita. Sesiapa sahaja tahu bahawa pada bulan Ramadan, mereka perlu berusaha menjadi lebih baik...!

Ketibaan Syawal, mengajak kita untuk bermaaf-maafan. Suasana hari raya itu sendiri menyediakan kita suatu perasaan tidak mahu lagi menyimpan marah atau dendam. Bukankah telah banyak kita lihat dan dengar, mereka yang tidak bertegur sapa berbulan-bulan lamanya, kesyahduan pada 1 Syawal menggamit hati untuk teringat akan orang yang pernah disakiti, menyakiti dan kerinduan untuk bersua, meminta maaf dan memberi maaf...! Setelah permintaan hati itu ditunaikan, maka tenanglah hati itu....


Namun, sekiranya permintaan hati itu tidak diendahkan dek ego yang masih kuat menguasai diri, maka hati itu menjadi bertambah sakit dan selaput noda hitam bertambah tebal menyelubung hati. Maka, dia akan melalui tempoh setahun lagi berlawan dengan keresahan hati. Apabila hati tidak tenang, maka tidak wujudnya fokus; hilanglah khusyuk. Apabila fokus tiada, dapatkah dia cemerlang dalam hidupnya...?
"Selamat Hari Raya dan Maaf Zahir Batin". Kata-kata yang penuh bermakna. Pujuklah hati untuk memberi maaf dan menerima kemaafan dan tidak lupa juga untuk memberi maaf kepada diri sendiri. Maafkanlah diri kita atas segala kesilapan, kedunguan dan kelalaian yang pernah kita lakukan selama ini. Kadang-kadang, lebih mudah untuk memaafkan orang lain, tetapi kita mengutuk dan tidak mempedulikan jeritan diri sendiri meminta dimaafkan...!
Mungkin ada yang akan mengatakan, "memanglah senang bercakap untuk memberi maaf dan meminta maaf, tetapi hendak buat bukannya senang..." Sememangnya ada orang yang berasa senang dan ada yang berasa sukar, terpulang kepada maksud tersirat yang disemadikan bersama peristiwa yang menyebabkan ketidakmaafan itu. Jika itu berlaku, berdoa dan pohonlah kekuatan daripada Allah s..w.t agar DIA memberi kita taufik dan hidayah untuk kita nampak punca orang itu menyakitkan kita. Berdoalah agar hati yang penuh panas akan kemarahan kembali menjadi sejuk....

Yang penting, kita perlu meminta maaf dan memberi maaf kepada diri sendiri serta mereka yang telah kita sakiti dan menyakiti kita pada bila-bila masa. Kemudian, rasalah ketenangan dalam hati kita dan barulah kita dapat melakar keindahan serta kecemerlangan hidup.....



No comments: