Saturday, October 30, 2010

Kerinduan 4 : Umrah Wajib....


Sekali lagi kami bermusafir dari satu bandar Nabi yang diharamkan Dajjal memasukinya ke sebuah lagi tempat suci yang sama... Makkah al-Mukarramah.

Rancangan awal, kami akan bertolak dari Madinah ke Makkah sebelum solat Asar, tetapi atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, kami bertolak agak lewat. Kelewatan ini ada hikmahnya. Sempatlah kami menunaikan solat Asar berjemaah sekali lagi di Masjid Nabawi. Kami bertolak ke Makkah pada 2 Jun 2009, melewati pukul 4.30 petang waktu tempatan .

Selamat tinggal Madinah. Pasti kami akan berkunjung lagi ke kotamu....

Kami memulakan perjalanan yang cukup selesa walaupun mengambil masa agak lama. Perjalanan yang dipenuhi rasa berdebar-debar sambil ditenangkan dengan kalimah zikir dan talbiah. Di dalam bas, aku duduk bersebelahan anakanda Siti Nadiah @ Adik, manakala suami duduk bersama anakanda Fahmi.

Bas yang kami naik berhenti di Bier Ali untuk mengambil miqat. Bier Ali merupakan sebuah kampung yang terletak 7 km dari Kota Madinah. Jemaah lelaki menukarkan pakaian dengan memakai ihram dan kami berniat umrah di sini.

Jarak dari Madinah ke Kota Makkah lebih kurang 450 km. Dalam perjalanan, kami singgah di sebuah masjid (tak pasti nama masjid ini) untuk solat jamak Isya' dan Maghrib. Ada sebuah restoran berhampiran masjid dan ramai jemaah yang dalam perjalanan ke Madinah berhenti minum serta makan di sini. Kami sekeluarga hanya minum tea-o panas.

Selepas hampir 7 jam perjalanan, lebih kurang pada pukul 11.30 malam, sampailah kami di destinasi yang dituju....

Setibanya di tempat penginapan di Makkah, kami berehat sekejab, makan dan terus menyiapkan diri menuju ke Masjidil Haram untuk melakukan umrah wajib kami. Tidak sabar rasanya untuk melihat Kaabah. Hayunan kaki yang tidak sampai pun 10 minit telah membawa kami berada di pintu masuk Masjidil Haram. Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, tanpa sedar air mata berlinangan, mengalir tanpa dapat ditahan-tahan lagi... air mata tanda rasa syukur kepada Ilahi kerana memberi peluang kepada kami untuk beribadat di Masjidil Haram.... hajat yang sudah sekian lama terpendam, akhirnya tertunai juga....

Kami memulakan tawaf hampir pukul 1.30 pagi waktu tempatan. Kami tidak mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan 7 pusingan kerana jemaah tidak begitu ramai pada waktu itu. Selepas sembahyang sunat dan berdoa di hadapan multazam, kami terus menuju ke bukit Safa untuk memulakan Saei. Semasa kami menghala ke tempat Saei, barulah kelihatan berbondong-bondong jemaah secara berkumpulan masuk untuk melakukan tawaf. Jangkaan kami, mereka ialah jemaah dari Turki.

Kami memulakan saei dengan tenang dan selesai sahaja pusingan ke-4, kedengaran azan subuh yang pertama berkumandang di udara. Kami meneruskan saie dan selesai bertahalul setelah azan kedua dilaungkan. Kemudian, kami terus mengambil tempat di dalam ruang masjid untuk menunaikan solat subuh. Jemaah sudah agak ramai ketika ini.

Aku berasa sangat gembira dan sangat bersyukur kepada Ilahi atas kurniaan kesihatan yang baik sehingga dapat menunaikan umrah wajib dengan sempurna bersama suami, dan dua orang anak, Emi dan Adik.

Selesai solat subuh, kami balik ke hotel untuk berehat buat seketika...

Subhanallah, timbul rasa yang sungguh menakjubkan apabila menjadi tetamuNya. Semuanya menjadi ringan. Mudah untuk bangun malam, mudah untuk berjemaah, mudah untuk mengerjakan fardhu, mudah untuk melakukan yang sunat, mudah untuk beriktikaf. Tiada langsung ingatan keduniaan. Seingatku, kami tidak pernah menghitung jumlah jam untuk tidur, tidak pernah mengeluh kerana mengantuk.

Betullah, semua yang pernah menjadi tetamuNya akan rindu untuk kembali ke sana. Bukannya rindu atas sebab-sebab lain, tetapi rindu akan perasaan 'mudah untuk beribadat' dan terasa amat dekat denganNya.
"Ya Allah, jadikanlah aku tetamuMu lagi Ya Allah, menjadi tetamu pada musim Haji Ya Allah...."

Hakikatnya, bukannya semata-mata 100,000 kali pahala bersolat di Masjidil Haram, bukannya 1,000 kali pahala bersolat di Masjid Nabawi yang kami kejar untuk dicongak, dikira, dicampur, ditolak dan dibahagi dan dilangsaikan di situ. Itu adalah pahala ganjaran yang telah dijanjikan Allah. Aku mencari keredhaanMu, aku mengharapkan penerimaan taubatku dan bukan untuk membuat perhitungan denganMu. Sesungguhnya, Engkaulah Yang Maha Mengetahui...

Aku bersyukur untuk menjadi tetamuMu ya Allah. Sesungguhnya tidak semua yang dapat memenuhi syarat istiqa'ah, Ya Allah ampunilah dosa kedua-dua ibu bapaku Ya Allah....

... betapa rindunya aku untuk ke rumahMu lagi....

No comments: