Saturday, March 5, 2011

Kemboja


Sama ada kita sedar ataupun tidak, Sambutan Hari Landskap Negara baru saja berlalu.
Pada tanggal 4 Mac 2001, Tun Dr. Mahathir, mantan Perdana Menteri Malaysia telah melancarkan hari Landskap Negara di Dataran Putra , Putrajaya. Menurut beliau, kerajaan telah bersetuju untuk menjadikan 3 MAC pada setiap tahun sebagai tarikh Sambutan Hari Landskap Negara.
Tujuannya adalah untuk menyedarkan dan menyuburkan lagi rasa tanggungjawab bersama untuk memelihara dan memulihara khazanah alam yang kita warisi. Sebenarnya, Pelancaran Hari Landskap Negara ini adalah sebagai lanjutan kepada Kempen Menanam Pokok yang telah disempurnakan pada 3 MAC 1999.

Pada tahun ini, Sambutan Hari Landskap Kebangsaan jatuh pada hari Khamis lepas... 3 MAC 2011. Pada hari tersebut kami memakai baju batik hijau bermotifkan flora ke tempat kerja....

Sempena Hari Landskap Negara juga, saya terpanggil untuk menulis mengenai tumbuh-tumbuhan, khususnya bunga yang ada di sekeliling kita yang boleh digunakan sebagai sumber perubatan semulajadi. Kini, perubatan semulajadi atau perubatan herba ini semakin popular dalam kalangan masyarakat.

Siapa kata bunga itu sekadar perhiasan semata-mata? Sebenarnya bunga mempunyai pelbagai kegunaan. Selain aromaterapi, bunga juga sering digunakan semasa upacara tertentu seperti mandi bunga. Warna bunga yang pelbagai itu juga merupakan satu terapi. Ada aura! Kini, terdapat banyak produk aura, asasnya ialah pati bunga.

Khasiat bunga kemboja. Kemboja. Ada yang menggelarnya sebagai bunga kubur kerana banyak orang tanam bunga ini di kawasan kubur, mungkin disebabkan oleh keharumannya... Tapi sebenarnya, khasiat bunga kemboja lebih daripada mewangikan kawasan perkuburan! Marilah sama-sama kita teroka kegunaan bunga ini.

Nama saintifik bunga kemboja ialah Plumeria rubra l. Kita kongsikan khasiat pokok bunga kemboja ini dari akar hinggalah bunganya.

Akar pokok kemboja ini boleh diminum. Akarnya direbus, airnya diminum untuk mendetoksifikasikan usus kita atau untuk mencuci perut kita. Selain itu, bagi yang ada penyakit bisul bernanah, air rebusan akar atau kulit akar kemboja ini boleh membantu anda.

Getah dari pokok kemboja pula sangat berguna bagi merawat demam panas, kusta, pelawas dan membantu peredaran darah terutamanya bagi mereka yang mengalami haid yang tidak teratur. Selain itu, getah yang segar boleh digunakan untuk menjadi penawar patukan ular sementara mendapatkan rawatan selanjutnya, dapat merawat rekahan kulit pada bahagian tumit kaki, bisul bernanah dan juga sebagai ubat tahan sakit gigi.

Daun kemboja pula, amat berguna kepada mereka yang sakit-sakit pinggang. Ambil daun, lumat-lumatkan dan sapu kepada pinggang yang sakit. Bunga kemboja sendiri sangat berjasa dalam penyembuhan penyakit dalaman, contohnya merawat batuk, bengkak usus, cirit birit, bronkitis, disenteri,hepatitis, masalah penghadaman, penyakit dada, radang usus dan selesema. Caranya, rebus bunga kemboja dan minum air rebusannya.

Wah...banyak rupanya khasiat pokok kemboja ini. Sama-samalah kita kongsikan khasiat tumbuhan alam ini sebagai rawatan alternatif...

Hargailah alam, kerana alam itu sahabat kita sepanjang masa.


No comments: