Saturday, November 1, 2014

secebis kenangan....kacar sugho di bulan Muharam....


Hari ini 1 NOVEMBER 2014, bersamaan dengan 8 Muharam 1436H.  2 hari lagi, 10 Muharam menandakan tibanya hari yang dikenali sebagai Hari Asyura.

Dah lama rasanya saya tidak merasai “sugho” @ bubur asyura ala Kelantan ni...tahun ni rasa teringin sangat untuk merasainya... Chek Yah kata, sugho Hjh Nik Meriam, Jalan Kelocor tempat saya selalu beli murtabak frozen dan akok tu paling best... nampaknya nak kena telefon untuk tempah sugho dengan Hjh Nik.

Teringat semasa zaman kanak-kanak dulu, melihat Nenek buat sugho bersama-sama jiran tetangga. Sehingga kini, masih ada masyarakat kampung yang meneruskan tradisi membuat bubur asyura beramai-ramai dalam bulan Muharam...

Dulu-dulu, orang kampung juga memanggil bulan Muharam sebagai bulan sugho... di sana-sini pasti ada kumpulan yang berpakat secara gotong-royong 'mengacar sugho' ni. Memang meriah sungguh walaupun mengambil masa yang lama, sehingga 8 - 9 jam untuk menukarkan bahan-bahan yang dijerang di dalam kawah itu menjadi sugho... Malangnya, anak-anak saya kini sudah tidak berkesempatan melalui pengalaman seperti itu....malah, mereka tidak begitu menyukai juadah turun-temurun ini...

Paling akhir, pengalaman bersama-sama (melihat orang) kacar sugho adalah semasa bertugas di SMK Sultan Ismail, Kota Bharu beberapa tahun lepas. Sudah menjadi tradisi warga SMKSI mengadakan majlis keagamaan begini bagi merapatkan hubungan silaturahim antara guru-murid-ibu bapa. Kalau tak kacar sugho, kami bekwah potong lembu sempena Maulidur Rasul.

Walaupun hanya sempat 2 tahun (2004-2005) bertugas di SMKSI sebelum berpindah ke Kuantan, kenangan bersama-sama rakan guru amat meninggalkan kesan di hati. Kami diagihkan tugas untuk menyediakan ramuan sugho tu. Kalau tidak silap, saya da
n beberapa orang teman guru diberi tugas menyediakan daging untuk digunakan sebagai ramuan sugho itu. Setiap orang menyediakan 1 @ 2 kilo daging. Daging ini kami rebus. Kemudiannya tongkolan daging yang telah direbus itu disiat-siatkan menjadi urat daging yang halus. Semua ni kami buat di rumah.

Keesokan paginya, kami bawa semua bahan yang telah disediakan itu ke sekolah. Hari kami buat majlis 'kacar sugho' tu kebetulannya jatuh pada hari Khamis, hari pakai baju batik ke sekolah. Jadi, berbaju batiklah kami pada hari itu. Tak sangka pula, ramai yang berbatik biru....macam uniform pula. Kami sama-sama berkumpul di atas wakaf berbumbung atap nipah di tepi kantin SMKSI untuk menyediakan apa-apa yang patut. Semuanya menjadi kenangan yang indah walaupun sudah lebih 8 tahun berlalu...


kenangan buat sugho di SMKSI...2005

Sebenarnya, bubur Asyura @ sugho ini ialah bubur yang dibuat dengan pelbagai campuran ramuan pada 10 Muharam iaitu pada Hari Asyura. Setiap negeri, terutama negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, mempunyai Bubur Asyura yang berlainan rasa dan ramuan. Bubur asyura @ sugho di Kelantan berbeza dengan bubur asyura yang terdapat di tempat lain…

Antara bahan yang digunakan untuk buat sugho ni ialah beras, ubi keledek, kacang merah, kacang hijau, kacang putih, jagung, rempah "sugho" (ramuan yang paling penting yang boleh membezakan rasa...), santan, daging , bawang merah, bawang putih, halia, gula dan garam secukup rasa. (Tak pasti pula, kalau-kalau ada yang tertinggal...!)

Tempoh mengacaunya ialah selama 7-8 jam... Mula-mula tidaklah terasa penat sangat kerana ramuan masih cair dan berwarna putih (campuran santan dan beras). Tetapi, selepas beberapa jam, setelah (telah dicampurkan dengan bahan-bahan di atas), sugho tadi menjadi semakin pekat, barulah mula terasa kepenatannya. Sugho ni perlu dikacau sehingga betul-betul sering, supaya tahan lama dan lambat basi. Selepas 7 atau 8 jam, dan sugho ni betul-betul sering, barulah disejukkan di dalam bekas... Masa kecil-kecil dulu Nenek akan sejukkan sura ni di dalam tempurung kelapa. Dulu, manalah ada bekas-bekas plastik yang tahan panas seperti hari ini...

Peristiwa Asyura berkaitan dengan peristiwa Nabi Musa a.s.,
Ibn Abbas r.a. menceritakan bahawa Nabi s.a.w. tiba di Madinah dan melihat orang Yahudi berpuasa pada hari 10 Muharam. Nabi s.a.w. bertanya apa yang yang mereka lakukan? Orang Yahudi menjawab bahawa hari ini (10 Muharam) ialah hari soleh (baik). Allah s.w.t. menyelamatkan pada hari ini Musa a.s. dan Bani Israel daripada musuh mereka. Maka Musa berpuasa pada hari tersebut. Maka Nabi s.a.w. bersabda bahawa baginda lebih berhak dengan Musa daripada kamu (orang Yahudi). Nabi s.a.w. berpuasa pada hari itu dan mengarahkan sahabatnya berpuasa. (Riwayat Bukhari).

Ada juga anggapan bahawa hari Asyura berkait dengan peristiwa Nabi Nuh.
Kononnya, selepas diselamatkan daripada banjir besar, maka dibuatlah makanan daripada apa yang ada. Makanan yang dimasak itu ialah bubur. Lalu terbitlah satu makanan namanya bubur Asyura. Apa pun yang pasti hari 10 Muharam berkait dengan peristiwa Nabi Musa dan ada anggapan ia berkaitan dengan juga dengan Nabi Nuh.

Puasa hari Asyura pula merupakan sunah Nabi Muhammad s.a.w. Ini ditegaskan dalam satu sabda maksudnya: Sesungguhnya hari ini hari Asyura dan tidak diwajibkan atas kamu puasa padanya. Sesiapa yang mahu maka berpuasalah, dan sesiapa yang tidak mahu maka berbukalah. (Riwayat Bukhari).


....Makan sugho makan juga, tapi penghayatan itu lebih penting. Menggabungkan kedua-dua niat itu alangkah lagi bagus. "Memasak dengan niat menjamu dan sedekah + menghayati peristiwa dan Kisah Nabi Nuh as".

No comments: