Jumaat lepas, kami sekali lagi berkesempatan untuk balik ke kampung menjenguk ayahanda bonda. Kembali untuk melihat kerja-kerja pembikinan teratak kami yang masih belum siap....! Kami bertolak usai solat Jumaat dan tiba di KB lebih kurang pukul 6 petang. Dalam perjalanan, kami singgah di Jabi untuk merasa sate Jabi yang tersohor suatu ketika dahulu... tapi kini rasa sate Jabi tidaklah sesedap beberapa tahun yang lalu.
Sate Jabi tidak lagi seenak dulu.... |
Hari Sabtu yang permai. Pagi-pagi lagi kami keluar untuk menjenguk teratak kami yang masih dalam pembinaan. Sebelum itu kami singgah bersarapan nasi kerabu Che Awang di Kg. Salor. Kami sempat beberapa ketika ketika berada di tapak teratak kami di Kg Parit Cina. Dari jauh kelihatan kelibat Papa berjalan masuk ke kawasan teratak kami.
Nasi kerabu Che Awang... yang istimewanya ialah ayam & daging bakar |
Papa nampaknya semakin sihat. Waktu senggang yang ada dihabiskan untuk beriadah di kawasan teratak kami. Menebas pokok-pokok renek yang mula berpucuk setelah dimesin beberapa minggu yang lepas. Mengutip papan dan kayu-kayu kering untuk dibakar. Mencabut tunggul yang masih tersisa selepas induknya ditebang. Tunggul pokok durian dan tunggul pokok duku langsat yang sudah uzur di tepi pagar.... Memungut bungkusan kertas yang digunakan untuk mengisi debu simen. Menebas rumput yang sudah nampak panjang. Lalu dimasukkan ke dalam api yang sedang marak menyala.
aktiviti riadah Papa.... |
Inilah antara aktiviti riadah yang Papa lakukan. Kata Papa, sekurang-kurangnya dapat mengeluarkan peluh. Dapat melatih tangan kanan Papa yang masih belum betul-betul kuat. Kata Mak Usu, semalam Papa sudah boleh menggateh basikal. Aktiviti yang sudah lama ditinggalkan... sejak empat bulan yang lalu...sejak Papa diserang 'mild stroke' pada awal April 2012.... genap 4 bulan sudah. Alhamdulillah, kini, Papa kelihatan sudah semakin sembuh dan dapat menjalani aktiviti harian seperti biasa.
pembakaran terbuka yang 'sihat'.... |
Kami hanya sempat bersembang dengan Papa buat seketika sebelum memohon diri untuk beredar ke Tanah Merah dengan janji untuk ke Rantau Mas selepas solat Asar nanti.
Sebenarnya, ada urusan penting yang perlu kami selesaikan di TM. Sebaik sahaja memakir kereta, kami terus menuju ke Kedai Emas Cap Kuda yang terletak di sebelah kiri Pasar Besar Tanah Merah. Sambil menunggu barang yang dihantar siap diproses, kami naik ke tingkat 1 Pasar Besar pekena mi celup yang tersohor sejak dulu lagi.
mi celup yang tersohor di pasar besar TM.... |
Sementara masa yang telah dijanjikan tiba, saya mengambil kesempatan untuk singgah di Cathay Beauty & Saloon yang letaknya di sebelah kanak Pasar Besar Tanah Merah untuk 'mencuci muka'...!
Selepas solat Asar, kami bersama Papa, Mama, Mak Usu dan dua kanak-kanak cilik itu bertolak ke Rantau Panjang. Lebih kurang 40 minit juga perjalanan kami untuk sampai ke Taman Rantau Mas. Inilah pertama kali kami menjejak kaki di rumah Na (kecuali Papa). Kunjungan untuk mengeratkan silaturrahim dan sebagai membalas kunjungan Na sekeluarga yang sebelum ini sudah tiga kali berkunjung ke rumah kami di Kg Kota....
kunjungan mesra mengeratkan silaturrahim... |
Kami disambut mesra oleh Na sekeluarga. Mek nampak sungguh gembira, mungkin kunjungan kami ini sudah lama dinanti-nantikan. Selepas berbasa-basi buat seketika, saperah dihampar menandakan juadah akan dihidang. Juadah 'makan malam' yang sungguh memecah liur.... Asam pedas talapia, ayam paprik, ikan cencaru goreng bertaucu ? dan sayur campur benar-benar membuka selera kami. Maklumlah Na sangat pakar memasak. Tidak dilupakan akok dan kuih cara berlauk hasil air tangan Na sendiri.
pasti meninggalkan kenangan yang bermakna.... |
Papa yang tidak makan nasi, tidak henti-henti menyuap akok yang kena benar dengan seleranya bersama air suam. Bukan setakat dijamu makan, lauk-pauk itu ditapau pula untuk dibawa balik. Semoga Na sekeluarga terus dimurahkan rezeki.
teruja.... |
Tentu sekali jejak pertama ini menjadi catatan istimewa dalam lipatan sejarah keluarga. Jejak pertama yang bakal membawa kepada terjalinnya ikatan yang lebih kukuh antara dua keluarga. Semoga apa yang dirancang berjalan lancar dan diberkati Ilahi.
No comments:
Post a Comment